19 April 2012

Tetamu Istimewa MTDM 20 April 2012 - Sheikh AbdulKarim Yahya

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Untuk makluman jama'ah Majlis Ta'lim Darul Murtadza semua, Insya-Allah pada Jum'at 20 April 2012 ini majlis kita di Masjid Muaz bin Jabal akan dihadiri oleh seorang tetamu istimewa, yang juga merupakan anak didik Guru Mulia al-Habib Umar bin Hafidz dari Amerika Syarikat iaitu Sheikh AbdulKarim Yahya. Pada malam tersebut, beliau akan menyampaikan tausiyah serta berkongsi mutiara-mutiara ilmu beliau kepada para jama'ah di dalam Bahasa Inggeris. (The talk will be conducted in ENGLISH)

Berikut diceritakan serba-sedikit mengenai biografi beliau:


Dilahirkan dan dibesarkan di Berkeley, California, Amerika Syarikat, Sheikh AbdulKarim Yahya, dengan izin Allah, memeluk agama Islam pada tahun 1989 di kampung halamannya. Pada tahun 1996, beliau mendapat inspirasi untuk menimba ilmu agama menerusi kitab karya Hujjatul Islam al-Imam Ghazali r.h. Demi menyambut seruan 'Ihya Ulumiddin (Menghidupkan Kembali Ilmu Agama), beliau bersama keluarga mengembara ke Damaskus, Syria di mana beliau meneruskan proses pencarian ilmu secara serius. Selama dua tahun di Damaskus, beliau menumpukan pembelajaran beliau dalam ilmu asas Bahasa Arab dan pembacaan al-Quran yang dipelajari daripada seorang ulama' mahir al-Quran yang dihormati Sheikh Abu Anas hfz. di masjid Rawda di Damaskus. Kemudian beliau bersama keluarga berpindah ke Tarim, Hadramaut di mana beliau kini menetap.

Sebagai pelajar di Darul Mustafa, beliau mengutamakan usahanya untuk menemani para masyaikh dan guru-guru yang mempunyai susur-galur keturunan terus kepada Nabi (dari kalangan keluarga Ba 'Alawi) serta para pencinta mereka dan dalam masa yang sama menuntut ilmu agama daripada mereka. Beliau mengkhususkan kemahiran beliau dalam ilmu fiqh mengikut mazhab Syafi'i r.h. Sheikh AbdulKarim mempelajari kurikulum ilmu fiqh di Darul Mustafa mengikut manhaj Imam Nawawi r.h.

Sejak tahun 1998, Sheikh AbdulKarim mendapat didikan langsung daripada Habib Umar dan abangnya Habib Mashur, kedua-duanya anak kepada Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz, dan juga guru-guru lain di Darul Mustafa, Tarim, Hadramaut. Sheikh AbdulKarim telah diberi keizinan oleh Habib Umar untuk menjawab sebarang persoalan fiqh mengikut mazhab Syafi'i dan juga mengajar ilmu Fiqh, Nahu Bahasa Arab dan disiplin ilmu lain. Beliau juga giat dalam menjadi jurubahasa kepada Habib Umar bin Hafiz dan Habib Ali al-Jifri dalam (rangka lawatan dakwah mereka di negara-negara Barat).


Jom! Ayuh bersama kita sahut seruan untuk sentiasa berusaha mengembalikan ruh ilmu agama dalam diri kita melalui majlis-majlis ilmu yang mulia. Supaya menjadi bekalan ke negeri yang kekal abadi di akhirat sana. :)

Alih bahasa dan diolah semula oleh Majlis Ta'lim Darul Murtadza.
Sumber: http://islamicvillage.me/teachers/shaykh-abdulkarim-yahya/
Sumber gambar: http://www.facebook.com/abdulkarimyahya
Laman Rasmi: http://abdulkarimyahya.com/

No comments: