06 March 2014

Majlis Ta'lim 28 Feb 2014



Tafsir Quran




Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi




Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali





Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza telah berjalan lancar pada 28.02.2014 yang lalu. Guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid telah membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 137-140. Dalam perbahasannya, Al Habib telah mengingatkan jemaah bahawa:
Allah menciptakan alam dengan ‘Sunnah al-kaun’, yakni undang-undang alam atau ‘Cause and Effect’.

Misalnya: Tanah  yang subur, akan tumbuh jika ditanam, orang yang bekerja akan dapat rezeki, orang yang belajar dapat faham, dan lain-lain. Oleh itu, orang yang meninggalkan sebab – contohnya dengan tidak bekerja tapi mengharapkan rezeki adalah orang yang menyalahi sunnatul kaun.



Jika alam mempunyai sunatul kaun, begitu juga manusia - yang beriman akan mendapat kejayaan dan kemuliaan, yang kufur akan dihukum Allah SWT. Terdapat banyak kisah bala yang Allah turunkan kepada umat sebelum kita disebabkan kekufuran mereka dan kita diminta mengembara dan melihatnya. Orang yang beriman pergi mengembara bukan untuk melihat bentuk peninggalan fizikal sahaja, tetapi untuk merenung apakah iktibar yang boleh menambahkan imannya kepada Allah SWT.

Dalam perbahasan ayat-ayat seterusnya, Al Habib juga menerangkan tentang 3 jenis hidayah, hukum perbutan ‘at-Tamsil’ dan kedudukan orang syahid di sisi Allah. Untuk mengetahui huraiannya, dipersilakan menonton rakaman video di atas :)

Pengajian diteruskan dengan bacaan kitab Riyadhus Solihin dengan permulaan bab baharu: Keutamaan Sifat Qanaah dan ‘Asas, hadis 1-3 yang akan menekankan kepentingan 4 sifat berikut:

1. Qanaah – merasa cukup dengan apa yang ada
2. Menjaga kehormatan diri daripada meminta-minta
3. Bersederhana dalam memenuhi keperluan diri dan dalam berinfak
4. Kehinaan orang yang suka meminta-minta.

Dalam menerangkan kepentingan sifat-sifat ini, Al Habib memetik kata-kata Imam Al-Haddad:

“Yang Allah dah tentukan kepada orang lain, tak akan sampai kepada kamu. Yang sudah ditentukan Allah untuk kamu, pasti akan sampai kepada kamu. Apa yang kamu cita-citakan itu, sejauh mana, tetap akan berlaku apa yang sudah ditakdirkan oleh Allah SWT.”



Seterusnya, Al Habib menyambung perbahasan dalam Bab Adab Pergaulan Dengan Manusia dalam Kitab Bidayatul Hidayah, m/s 161. Kumpulan pertama yang dibincangkan ialah adab dengan orang tidak dikenali. Antara adab yang perlu kita jaga dengan golongan ini ialah:

- Tidak menyertai mereka dalam percakapan yang kosong
- Jangan mudah berkongsi hal peribadi sebelum mengenali sifat amanah mereka

Terdapat banyak lagi rahsia dan ilmu yang telah dikongsikan bersama. Untuk mendapatkan manfaatnya, sila tonton video rakaman di atas :)

Jangan lupa kongsikan dengan yang lain, kerana ingat-mengingati itu adalah sifat yang terpuji ;).











No comments: