20 March 2014

Majlis Ta'lim 14 Mac 2014





Tafsir al Quran



Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi



Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali




Tausiyah Istimewa - Al Habib Abdurrahman AsSeggaf


Tausiyah Istimewa - Syeikh Abdul Qadir Al Baihani




Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada hari Jumaat, 14.03.2014 yang lalu bertambah berseri dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu Habib Abdul Rahman As-Seggaf dari Indonesia dan Syeikh Abdul Qadir Al-Baihani dari Hadhramaut, Yaman.



Guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid telah menyambung perbahasan tafsir Surah Ali Imran, ayat 142-144.  Pengajaran penting yang perlu kita ambil daripada ayat 142 ialah ujian yang diberikan Allah kepada kita adalah untuk menguji keimanan kita dan memberikan ganjaran syruga jika kita termasuk orang-orang yang bersabar menghadapinya. Al Habib menegaskan dengan membawakan pepatah bahasa kampung halamannya:

“Syurga lebih mahal daripada apa yang diimpikan manusia daripada hal-hal keduniaan. Untuk keduniaan, semua orang berlumba-lumba mencarinya, bersaing antara satu dengan yang lain, menghentam yang lain kerana tidak mahu disaingi, mengorbankan segala yang dimiliki – tenaganya, fikirannya, hartanya, waktunya. 
Tapi untuk akhirat, cuma berdoa, “Ya Allah, masukkan aku ke dalam syurga.” Doa saja, tapi tak nak berubah. Adakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga tanpa diuji Allah Ta'ala? Jangan mimpi di siang bolong!”



Al Habib turut meminta agar kita semua berdamai kepada Allah dengan berhenti melakukan maksiat dan bertaubat kepada-Nya. Berkemungkinan banyaknya musibah yang berlaku kepada kita kebelakangan ini adalah kerana dosa-dosa salah seorang daripada kita.

Pengajian diteruskan dengan bacaan bab ‘Keutamaan Sifat Qanaah dan Keburukan Orang Yang Suka Meminta-minta” daripada  kitab Riyadhus Solihin,  dari hadis 2 dan 3.

Antara iktibar yang perlu kita ambil ialah betapa cepatnya para sahabat dahulu menyahut seruan Nabi Muhammad SAW . Dalam kisah yang dibawakan, Hakim bin Hizam tidak pernah lagi meminta-minta atau menerima pemberian setelah mendengarkan sabda Rasulullah SAW bahawa tangan yang di atas lebih baik daripada yang di bawah, walaupun dalam menerima harta yang memang menjadi haknya.




Pengajian kitab Bidayatul Hidayah pula disambung pada halaman 162 – Adab Kepada Sahabat Karib. Dalam penerangannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mencari kawan yang berilmu kerana pepatah mengatakan - “Musuh berakal adalah lebih baik daripada sahabat yang bodoh.”

Habib Abdul Rahman As-Seggaf 


Seterusnya, tausiyah khas diberikan oleh kedua-dua tetamu istimewa. Habib Abdul Rahman As-Seggaf mengingatkan kita semua bahawa ketika ini, semua negara Islam sedang diberi peringatan oleh Allah SWT.  Oleh itu, kita semua perlu kembali kepada Allah dengan bertaubat dan juga bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ma’ruf nahi mungkar.

 Syeikh Abdul Qadir Al-Baihani

Manakala Syeikh Abdul Qadir Al-Baihani pula membawakan hadis Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan tanda-tanda hari kiamat. Untuk mengetahui hadis dan syarahannya beserta ilmu-ilmu lain yang telah dikongsikan, dipersilakan menonton rakaman di atas. Syeikh turut berpesan agar kita saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain, jadi dipersilakan kongsi dengan keluarga dan kenalan juga 

No comments: