Showing posts with label Majlis Ta'lim. Show all posts
Showing posts with label Majlis Ta'lim. Show all posts

16 June 2014

Majlis Ta'lim 13 Jun 2014


Tafsir al Quran




Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi





Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali









08 June 2014

Majlis Ta'lim 30 Mei 2014


Tafsir Al Quran



Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi


Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali



Alhamdulillah, sekali lagi kita diizinkan menadah telinga, membuka hati untuk menimba ilmu daripada guru kita Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid dalam pengajian MTDM pada 30.05.2014 yang lalu.

Pengajian dimulakan dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 173-175. Dalam perbahasannya, Al Habib menekankan beberapa pengajaran penting iaitu:



  • Dalam Perang Hamra’ Al-Asad, kaum musyrikin merancang serangan ulang kepada kaum muslimin yang baru kekalahan teruk dalam Perang Uhud. Walaupun tidak mempunyai kekuatan senjata mahupun fizikal, kaum muslimin mematuhi perintah Rasulullah ﷺ untuk keluar semula menyertai perang itu kerana mereka tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan dalam Perang Uhud dan perbuatan mereka itu dipuji Allah SWT.
  • Kaum munafiq menyerang secara psikologi dengan mengatakan bahawa kekuatan kaum musyrikin adalah lebih besar berbanding tentera kaum muslimin. Tetapi oleh kerana kaum muslimin bergantung kepada Allah Ta'ala, maka keadaan itu menjadikan keimanan dan kebergantungan mereka kepada Allah semakin bertambah. Dengan itu, kaum muslimin diganjar kemenangan oleh Allah Ta'ala tanpa mereka perlu mengangkat senjata sekalipun.
  • Syaitan takkan senang melihat manusia mendapat ganjaran besar daripada Allah SWT dan akan berusaha untuk mengajak manusia meninggalkan amalan-amalan yang lebih tinggi ganjarannya. Tapi, syaitan cuma mampu mengajak, jadi amat rugilah manusia yang terpedaya dengan tipu daya syaitan itu.
  • Orang yang benar-benar beriman hanya takut kepada Allah SWT, dan tidak takut kepada syaitan atau hantu atau makhluk-makhluk yang lain.

Dalam perbahasannya, Al Habib membawakan kisah Abu Hurairah yg diajar amalan agar tidak diganggu syaitan sebelum tidur, dan kisah seorang lelaki yang dibantu syaitan untuk pergi ke masjid. Berminat untuk tahu lebih lanjut? Dipersilakan menonton rakaman di atas :)

Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 3-5 daripada Bab 60 – ‘Pemurah dan Dermawan dalam Kebaikan’, kitab Riyadhus Solihin. Sebelum memulakan huraian hadis, Al Habib membawakan kisah berkenaan perawi hadis iaitu ‘Adi bin Hatim, dan ayahnya, Hatim At-Thai yang dikenali sebagai seorang yang sangat pemurah ketika itu. Kisahnya sangat menarik, jadi untuk mengetahuinya, dipersilakan menonton rakaman berkenaan di atas :)

Seterusnya, Al Habib menyambung dengan menghuraikan pengajaran-pengajaran daripada hadis. Antaranya ialah:

  • Bersihkan diri daripada sifat kedekut, walaupun hanya dengan bersedekah setengah biji kurma.
  • Harta yang disedekahkan akan dapat menyelamatkan diri daripada api neraka.
  • Jangan anggap remeh sedekah walaupun ia kecil.
  • Jangan masuk ke dalam perut kamu makanan daripada sumber yang haram, walaupun sebesar setengah biji kurma.
  • Berhati-hati mencari rezeki kerana anda akan memberi makan diri dan ahli keluarga. Rezeki yang bersih akan menjadi penawar kepada segala penyakit. Perbaiki makanan kamu dan doa kamu pasti akan dimakbulkan Allah SWT. Dalam ‘asar ada dinyatakan bahawa jika seseorang itu makanannya semua halal, ia akan menjadi penawar kepada semua penyakitnya.
  • Nabi ﷺ tidak pernah mengatakan ‘Tidak’ kepada orang yang meminta kepadanya. Kalau ada akan diberi, jika tiada akan dijawab dengan kata-kata yang baik.
  • Ambil manfaat daripada malaikat yang mendoakan kepada orang-orang yang suka memberi pada setiap pagi. Sediakan tabung untuk mengingatkan kita agar bersedekah setiap pagi.
  • Bila memberi, jangan tengok berapa yang dikeluarkan, tapi tengok berapa banyak ganjaran yang Allah SWT akan gantikan.

Dalam huraiannya, Al Habib turut dibawakan kisah kewaraqan Sayyidina Abu Bakar yang sangat menjaga makanan yang masuk ke perutnya, dan juga kisah akhlak mulia Al Imam Ali bin Hussain yang meneladai akhlak datuknya sendiri, yakni Rasulullah ﷺ yang tidak pernah mengatakan ‘Tidak’ kecuali dalam tasyahhud.



Dalam kesempatan ini juga  Al Habib berpesan khas kepada kaum muslimin, “Sebagai ketua rumahtangga, kaum lelaki mesti ada bahagian manfaat ilmu yang dikongsikan dengan ahli keluarga di rumah. Tak boleh jadi ustaz ceramah di atas mimbar, ceramah dengan orang rumah kita. Lepas menghadiri MTDM atau majlis ta’lim yang lain, balik rumah cerita (pada orang rumah).”

Kemudian, perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan dengan bacaan m/s 174, perenggan ketiga yang  membicangkan adab pergaulan dengan sahabat. Al Habib mengingatkan agar kita banyak menerima dan memaafkan kesilapan orang lain kerana orang yang sebegitu akan disenangi dan mempunyai ramai sahabat.

Al Habib juga membawakan pesan seorang ilmuwan, “Carilah sehingga 70 kali kemungkinan yang baik jika nampak seseorang seperti berbuat salah pada kita.” Dengan itu, kita akan sentiasa bersangka baik kepada sahabat-sahabat kita. Satu lagi hal yang perlu juga kita beri perhatian ialah sebelum menegur kesilapan sahabat, carilah masa dan tempat yang sesuai agar teguran itu tidak membuatkan sahabat berubah menjadi benci kepada kita.

Seperti biasa untuk manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman-ramakan video di atas dan jangan segan-segan untuk berkongsi dengan yang lain untuk kebaikan kita bersama, in sha Allah.










02 June 2014

Majlis Ta'lim 23 Mei 2014





Tafsir al Quran



Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi



Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali




Tausiyah Istimewa: Sheikh Ahmad Dabbagh



Tausiyah Istimewa: Al Habib Muhammad Bin Abdullah Al Aydrus



Tausiyah Istimewa: Al Habib Muhammad Bin Abdul Rahman As-Seggaf (Fattabiouni)





Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Ta'ala yang memberikan kita rezeki menambah ilmu melalui satu lagi siri pengajian MTDM di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid bersama barisan-barisan tetamu istimewa dari pelbagai negara, antaranya hos rancangan “Fattabiouni” yang begitu diminati ramai iaitu Habib Muhammad Abdullah As-Saggaf, Habib Muhammad Abdullah Al-Aydrus, dari Yaman, dan Syeikh Ahmad Ad-Dabbagh dari Manchester, UK. Setinggi-tinggi rakaman terima kasih tidak terhingga kepada mereka semua yang sudi berkongsi mutiara-mutiara ilmu untuk pengajaran dan peringatan kita bersama.

Kelas dimulakan dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 169-173 oleh Al Habib Ali Zaenal Abidin. Dalam perbahasannya, Al Habib merumuskan beberapa pengajaran penting, antaranya:

  • Hakikat kehidupan yang sebenar bukanlah di dunia kerana dunia ini tempat yang penuh ujian dan cabaran. Walaupun pada zahirnya nampak para syuhada itu mati, tetapi mereka sebenarnya telah mendapat hakikat kehidupan yang sebenar, yakni kehidupan penuh nikmat di alam barzakh serta mendapat rezeki berterusan di sisi Allah SWT. 
  • Para syuhada memberikan semangat dengan menyampaikan berita gembira akan nikmat yang mereke perolehi sebagai motivasi kepada orang beriman agar tidak ragu-ragu untuk berjihad di jalan Allah, dan sebagai menunaikan hak menginginkan kebaikan kepada orang-orang beriman yang lain.
  • Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada orang-orang beriman yang sifatnya bersegera dalam menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya, walaupun terkadang apa yang disuruh itu nampak tidak logik di akal seperti disuruh berperang takkala keletihan dan tercedera. Tapi dengan kepatuhan kaum muslimin, Allah berikan kemenangan tanpa mereka perlu mengangkat senjata sekalipun.
Seterusnya, pengajian disambung dengan beberapa potong ayat Al-Quran dan 2 hadis daripada Bab 60 – ‘Pemurah dan Dermawan dalam Kebaikan’, kitab Riyadhus Solihin. Dalam menggalakan untuk bersifat pemurah, Al Habib membawakan hadis Nabi ﷺ yang berbunyi, “Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan syurga, dan jauh dari api neraka. Orang yang bakhil jauh dari Allah, jauh dari syurga, dan dekat dengan neraka.” 

Beberapa pengajaran penting lain yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut:

  • Jangan berasa kedekut ketika berinfak kerana setiap yang dikeluarkan pasti akan diganjarkan oleh Allah SWT, bahkan Allah boleh melipatgandakan pemberian-Nya melebihi apa yang kita keluarkan.
  • Jangan mengungkit atau sesekali merasakan diri berjasa kepada orang yang diberi kerana keuntungan yang kita dapat adalah lebih banyak berbanding bantuan yang kita hulurkan. Sepatutnya kita berterima kasih pada orang yang dibantu kerana membukakan peluang untuk kita mendapat lebih daripada apa yang kita keluarkan. Perbuatan mengungkit akan menghapuskan segala ganjaran dan oleh itu, jaga diri agar tidak terpedaya dengan bisikan jahat syaitan.
  • Allah SWT mengetahui apa yang kamu infakkan, oleh itu, jangan sesekali menjadikan pujian atau sanjungan orang sebagai matlamat dalam menginfakkan harta.
  • Harta yang dikeluarkan itulah yang kekal milik kita, sebaliknya harta yang disimpan boleh jadi milik waris serta-merta apabila kita meninggal dunia. Oleh sebab itu, jangan berlengah-lengah atau kedekut ketika berinfak.

Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan dengan membicangkan adab kepada orang yang baru dikenali. Dalam hal ini, kesederhanaan amatlah diperlukan agar tidak terlalu memuliakan atau memandang rendah kepada seseorang. Di samping itu, apabila berkenalan dengan orang berharta, jangan sesekali menjadikan hartanya itu sebagai tujuan kerana itu akan menyebabkan seseorang itu sehingga sanggup menghinakan dirinya sendiri.

Tausiyah-tausiyah Tetamu Istimewa

Sheikh Ahmad Ad Dabbagh dari Manchester UK turut hadir dan berkongsi ilmu beliau di Majlis Ta'lim Darul Murtadza
Al Habib Muhammad Bin Abdur Rahman As Seggaf (Fattabiouni) dan Al Habib Muhammad Abdullah Al Aydrus yang menyerikan Majlis Ta'lim Darul Murtadza kali ini

Seterusnya, Syeikh Ahmad Ad-Dabbagh dari Manchester, UK, menyampaikan tausiyah ringkas berisi pengajaran penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj - iaitu keutamaan menjaga hubungan silaturrahim. Dalam perbahasannya, Syeikh membawakan kisah bagaimana Sayyidina Abu Hurairah menghalang orang yang memutuskan silaturrahim berada dalam majlisnya kerana dia akan menyebabkan doa-doa yang dipanjatkan dalam majlis itu tertolak. Oleh itu, mari sama-sama kita ambil pengajaran dan ambil inisiatif:

  • untuk menyambung silaturrahim dengan orang yang memutuskannya dengan kita,
  • memberi salam kepada yang orang yang tidak menegur kita,
  •  memberi hadiah kepada yang tidak memberi kepada kita hadiah,
  • memaafkan dan melupakan kesalahan orang pada kita
  • menziarahi mereka yang tidak menziarahi kita dll.


Al Habib Muhammad Bin Abdur Rahman As Seggaf (Fattabiouni) dan Al Habib Muhammad Abdullah Al Aydrus  setelah habis Majlis


Setelah itu, majlis disambung pula dengan tausiyah istimewa daripada Habib Muhammad Abdullah Al-Aydrus dari Yaman. Al Habib pula menekankan kepentingan agar kita mengamalkan apa yang kita telah pelajari dan bermujahadah dengannya. Dengan mengamalkan ilmu, Allah SWT akan menambahkan lagi pula dengan ilmu yang dinamakan ilmu rasa atau ilmu ‘dzaur’. Untuk memahaminya dengan lebih lanjut, dipersilakan menontoh rakaman di atas.

Pembimbing Majlis Ta'lim Darul Murtadza, Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid, menyantuni para hadirin. 


Pengajian diteruskan dengan tausiyah yang sangat-sangat dinantikan ramai iaitu himpunan mutiara kata daripada Tausiyah Habib Muhammad Abdullah As-Saggaf. Antara pesanan beliau yang utama adalah:


  1. Menjaga niat ketika berada di majlis ilmu kerana hati kita dipantau Allah SWT dan Allah membalas sesuai dengan apa yang kita lakukan.
  2. Untuk mendapatkan kebersamaan bersama Nabi Muhammad ﷺ di akhirat nanti, lakukanlah amal perbuatan baik ketika di dunia iaitu dengan kita mendahulukan apa yang disukai, diingini Nabi Muhammad ﷺ berbandingkan kepada apa yang kita inginkan.
  3. Allah akan berinteraksi dengan kita sebagaimana kita berinteraksi dengan makhluk. Oleh itu, jika inginkan Allah beri kemudahan, maka permudahkanlah untuk orang lain, jika ingin Allah beri kemaafan, maka maafkanlah orang lain dan seterusnya.
  4. Jika hadir dalam majlis, isilah tempat kosong di hadapan dan fokus kepada apa yang disampaikan oleh guru. Jangan mudah tertarik perhatian kepada keadaan sekeliling
  5. Kesembuhan ada dalam majlis ilmu, oleh itu, jika sakit datanglah ke majlis-majlis ilmu.


Terlalu banyak lagi perkongsian-perkongsian ilmu yang tak mampu ditampung oleh secebis catitan ini. Oleh itu, untuk manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman-ramakan video di atas dan jangan segan-segan untuk berkongsi dengan yang lain kerana tanggungjawab orang yang mendapat ilmu ialah menyampaikan pula kepada yang lain. Jom sama-sama kita usahakan :)












27 May 2014

Majlis Ta'lim 16 Mei 2014



Tafsir al Quran




Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi



Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Ta'ala yang memberikan kita rezeki menambah ilmu melalui satu lagi siri pengajian MTDM di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 16.05.2014 yang lalu.

Al Habib menyambung perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 164-168. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:

  • Kehadiran Rasulullah ﷺ adalah sebagai hadiah daripada Allah SWT kepada semua orang beriman. Dengan perutusannya, baginda Rasulullah ﷺ membawa ajaran yang membolehkan kita membezakan yang haq dan yang batil, dan sifat kemanusiaan baginda menjadikan baginda sesuai dijadikan teladan oleh kita semua. 
  • Tugas Rasulullah ﷺ ialah sebagai guru yang membacakan ayat-ayat kebesaran dan wahyu Allah, mensucikan hati dan jiwa (at-tazkiyah) dan mengajarkan hikmah (at-ta’lim) Al-Quran dan hadis. Turutan ini - membaca, mensucikan, mengajarkan hikmah adalah penting kerana ilmu tanpa pembersihan jiwa belum tentu akan membawa manfaat kepada seseorang.
  • Pendekatan Rasulullah ﷺ telah mengangkat kedudukan bangsa Arab yang dahulunya dilihat sebagai masyarakat yang terkebelakang sehingga digeruni dan menjadi sebutan kuasa-kuasa besar seperti Romawi dan Persia.
  • Sebagai hamba, kita tidak berhak menyoal Allah SWT kenapa kita diduga. Sebaliknya, sebagai orang beriman kita perlu mengambil ikhtibar dan bertaubat atas kekhilafan yang dilakukan.


Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis terakhir (16) daripada Bab 57, kitab Riyadhus Solihin. Dalam hadis ini Nabi ﷺ menyatakan bahawa adab orang miskin yang sebenar ialah tetap menjaga airmukanya daripada meminta-minta. Jadi, untuk memenuhi keperluannya, orang berkemampuanlah yang perlu ambil berat dan memberi kepada mereka SEBELUM mereka meminta-minta. Dalam menerangkan hadis ini, Al Habib membawakan kisah bagaimana prihatinnya Al Imam Ali ibnu Husain bin Ali bin Abi Talib kepada orang miskin pada zamannya. Dipersilakan mendengar sendiri kisah ini daripada rakaman di atas

Kemudian, hadis tunggal daripada Bab 58: ‘Boleh Mengambil Tanpa Meminta’ dibacakan. Hadis ini mengajarkan bahawa walaupun syariat melarang kita meminta-minta, tetapi sekiranya pemberian datang tanpa kita meminta, adabnya ialah menerimanya. Walaupun tak diperlukan sekalipun, ambil dan berilah pada orang lain, tetapi jangan ditolak.

Seterusnya, hadis 1-5 daripada Bab 59: ‘Anjuran Makan Dari Hasil Usaha Tangan Sendiri & Menahan Diri Meminta dan Menuntut Diberi’ dibahaskan.  Hadis-hadis tersebut mengajarkan keutamaan mencari rezeki sendiri agar umat Islam tidak malas. Kerja yang dilakukan boleh menjadi satu ibadah jika diniatkan untuk memenuhi keperluan diri agar tidak membebankan orang lain, untuk menyara keluarga, untuk menyara ibu bapa dan seumpamanya.

Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan pada halaman 170 dengan menyenaraikan adab-adab dalam bersahabat. Antaranya ialah:
  • Memulakan memberi salam kepadanya
  • Mengucapkan terima kasih atas bantuannya
  • Meluaskan tempat untuknya dalam satu-satu majlis.
Ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan jangan segan-segan untuk berkongsi dengan yang lain kerana tanggungjawab orang yang mendapat ilmu ialah menyampaikan pula kepada yang lain. Jom sama-sama kita usahakan J



Majlis Ta'lim 9 Mei 2014



Tafsir al Quran






Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi







Tausiyah Istimewa: Al Habib Ahmad Bin Husein al Aidid



Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta'ala, satu lagi episod pengajian MTDM telah berjalan lancar di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 09.05.2014 yang lalu.

Al Habib menyambung perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 160-162. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:

  • Untuk mendapatkan bantuan Allah SWT, seseorang perlu ikhlas memperjuangkan agama Allah SWT, dan tidak menunggu sahaja seumpama orang memancing tanpa umpan. Tetapi bilamana kalah atau pertolongan Allah tidak sampai, muhasabahlah diri kerana pasti berlaku kesilapan atau ketidaktelusan niat dalam perjuangan itu.
  • Orang yang menjadi panglima perang (pemipin) mestilah seorang yang soleh, kerana dia akan menjadi sebab datangnya bantuan daripada Allah SWT, dan dia juga akan memastikan anak-anak buahnya mentaati perintah dan larangan Allah.
  • Kekuatan iman adalah lebih utama berbanding kekuatan senjata. Terdapat banyak contoh perang yang berlaku sebelum ini di mana umat Islam tidak punya kekuatan yang setanding dengan musuh, namun tetap mendapat kemenangan.
  • Tinggalkan kebergantungan kita kepada sebab, tapi jangan tinggalkan sebab. Oleh itu, seseorang masih perlu berusaha berubat jika sakit,  masih perlu mencari rezeki untuk makan dan seumpamanya, tapi yang mengizinkan kesembuhan, memberi rezeki dan segalanya ialah Allah SWT.
  • Al-Quran banyak merekodkan jawapan Allah SWT kepada orang yang mentohmah Rasulullah ﷺ. 
  • Setiap orang yang mengambil harta secara khianat, dia akan menanggung harta itu di lehernya di akhirat nanti. Nabi ﷺ ingin mengajarkan agar kaum muslimin tidak menodai niat perjuangan mereka kerana menginginkan harta orang kafir. 
Dalam perbahasannya, Al Habib turut membawakan beberapa kisah menarik yang  berkisar kepentingan kualiti tentera Thalut, kepetingan berusaha dan bertawakal. Untuk mengetahuinya, dipersilakan menonton rakaman video di atas.

Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 14 dan 15 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin. Antara pengajaran yang perlu kita ambil ialah:
  • Siapa yang mahu dijamin untuk masuk ke syurga oleh Rasulullah ﷺ, jangan meminta apa-apa daripada orang lain, dan lazimkan membaca doa selepas azan.
  • Tiga golongan yang dibenarkan meminta ialah meminta untuk membantu orang lain, orang yang faqir dan orang yang kehilangan segala hartanya dalam sesuatu musibah. 
  • Hanya orang yang hatinya keras dan tertutup tidak risau jika dia tidak dapat berjumpa Rasulullah ﷺ. Oleh itu, kita perlu ada keinginan bertemu Rasulullah ﷺ  untuk mencontohi kepada para sahabat Rasulullah ﷺ.
  • Nabi ﷺ juga menjamin syurga bagi sesiapa yang menjaga lidah dan kemaluannya hanya kepada yang hak. Kenapa Nabi ﷺ menjaminnya? Kerana perkara ini sukar dilakukan manusia. Oleh itu, latih diri kita untuk diam kerana itu yang lebih selamat.

Habib Ahmad bin Hussein al Aidid (kanan),
di Majlis Ta'lim Darul Murtadza, Kuala Lumpur

Kitab Bidayatul Hidayah tidak dibacakan minggu ini untuk memberi laluan kepada tausiyah tetamu istimewa dari Yaman iaitu Habib Ahmad bin Hussein al Aidid, yang juga merupakan guru kepada Al Habib Ali Zaenal Abidin sebelum ini. Antara mutiara ilmu yang dikongsikan beliau adalah:

  • Niatkan mencari ilmu untuk meraih hidayah Allah SWT, kerana dengan itu, seseorang akan lebih bersungguh dan telus agar ilmu itu membawanya ke jalan Allah SWT. 
  • Kita mestilah mengambil ilmu daripada guru yang bersanad bersambung sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sanad yang perlu diperhatian kerana selalu dilupakan orang ialah sanad tazkiyah yakni mengambil ilmu daripada seseorang yang memahami ilmu yang disampaikan, menghayati dan membersihkan jiwa daripada sifat-sifat lalai.
  • ‘Buah’ yang sepatutnya ada pada orang-orang yang menghadiri majlis-majlis seumpama ini ialah pakaian perasaan takut kepada Allah, merasakan Allah sebagai pengawas kepada dirinya, dan berasa sentiasa dipantau Allah SWT. 
  • Adalah menjadi tanggungjawab kita yang mendapat ilmu untuk menyampaikan kepada yang lain khususnya keluarga, jiran, dan sahabat handai agar manfaatnya dapat dikongsi bersama.
  • Orang yang hatinya dihidupkan dan bercahaya, pasti dia suka kepada Al Quran, suka menyebut nama Allah, suka kepada ketaatan, dan benci kepada kemaksiatan. Ini sesuai dengan kata-ata Saiyyidina Uthman bin Affan, “Kalau hati kita bersih, pasti takkan kenyang dengan Al Quran.”  

Sebenarnya banyak lagi manfaat ilmu yang tidak mampu dikongsikan melalui catatan ringkas ini semata-mata. Oleh itu, dipersilakan membuka hati dan menadah telinga untuk menonton rakaman video di atas untuk manfaat sepenuhnya. Dipersilakan berkongsi bersama yang lain, kerana bak kata Al Habib -  itu adalah tanggungjawab orang-orang yang mendapat ilmu ;)


















12 May 2014

Majlis Ta'lim 25 April 2014




Tafsir al Quran




Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi



Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali






Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta'ala, satu lagi episod pengajian MTDM telah berjalan lancar di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 25.04.2014 yang lalu.

Al Habib menyambung perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 155-159. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:


  • Punca khilaf dan pelanggaran yang dilakukan manusia adalah kerana tipu daya syaitan. Namun begitu, syaitan tak punya kekuatan untuk memaksa manusia tetapi ia licik menggunakan kelemahan manusia dengan membisikan perasaan was-was. Oleh itu, setiap orang perlu mengetahui kelemahan diri sendiri dan memperbaikinya, agar pintu kelemahan itu tidak menjadi laluan syaitan untuk menjerumuskannya kepada kemungkaran Allah SWT.
  • Walaupun kaum Muslimin melakukan pelanggaran, Allah telah mengampunkan mereka kerana mereka ikhlas berjuang bersama Rasulullah ﷺ. Dua kali Allah sebut pengampunan kepada mereka, agar tiada antara kita yang menyalahkan mereka. Dosa mereka adalah kepada Allah, dan telahpun Allah ampunkan, jadi kita tiada hak untuk terus mencaci kepada mereka. 
  • Bila berlaku yang tidak dikehendaki, jangan banyak menggunakan “andai” kerana ia akan membuka pintu syaitan. Bila keluar dengan kereta dan pancit, jangan kata, “Andai tadi naik LRT.” Sebaliknya ucapkan: “Allah sudah mentakdirkan apa yang dikehendaki-Nya, maka itu yang akan terjadi.”
  • Kematian dan kehidupan bukan milik sesiapa, tapi milik mutlak Allah SWT. Keampunan dan rahmat Allah SWT kepada seseorang yang mati ketika berjihad atau ketika melakukan ketaatan kepada Allah adalah lebih bernilai daripada harta dunia yang dikumpulkan. 
  • Nabi ﷺ disuruh berlemah-lembut dan memohon kemaafaan kepada mereka yang melanggar arahan baginda semasa peperangan. Nabi ﷺ tak diizinkan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan sifat rahmat yang telah dilabel pada diri baginda. Inilah tarbiyaah rabbaniyyah yang perlu dijadikan teladan agar rohani terdidik untuk tidak punya sifat marah, dengki atau dendam.
  • Bermesyuratlah sebelum mengambil sesuatu keputusan kerana ada barakah di dalamnya. Mesyuarat tidak bermakna yang pandangan semua orang akan diterima, tetapi adalah untuk mendengar pandangan dan memutuskan yang terbaik. Setelah keputusan diambil, bertawakallah kepada Allah SWT. Walau apa pun kesan keputusan itu, orang yang bertawakal akan redha dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah demi mendapatkan kemuliaan kasih-sayang Allah.



Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 12 dan 13 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin.

Hadis-hadis ini mengingatkan kita supaya meminta hanya pada Allah, dan bukan pada makhluk, kecuali meminta hak dirinya yang ada pada pihak berkuasa. Dalam membahaskan hadis-hadis ini, Al Habib bercerita lanjut tentang perawi hadis yang merupakan pemuda-pemuda istimewa pada zaman Rasulullah ﷺ. Mereka ialah Sayyidina Abdullah ibnu Mas’ud, Sayyidina Samurah bin Jundub dan Sayyidina Rafi’ bin Khudai. Untuk mengetahui kisah-kisah menarik mereka, dipersilakan menonton rakaman video di atas.

Seterusnya, kongsikan kisah-kisah itu bersama yang lain, terutamannya anak-anak muda agar menjadi sumber inspirasi dan teladan kepada mereka.

Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan pada halaman 167 dengan menyenaraikan tiga golongan manusia iaitu:


  1. Orang yang seperti makanan asas, yakni yang sentiasa diperlukan.
  2. Orang yang seperti ubat, yakni yang diperlukan pada masa-masa tertentu, dan bukan pada setiap masa.
  3. Orang yang seperti penyakit yang perlu dijauhi, walaupun terkadang dipertemukan dengannya, maka seseorang perlu mengambil langkah bijak agar selamat daripadanya. 


Seterusnya, Al Habib membahaskan hak-hak dalam persahabatan. Dua daripadanya ialah:

1. Mendahulukan orang lain berbanding diri sendiri dalam perkara yang dibolehkan.
2. Ziarah-menziarahi.

Dalam penerangannya, Al Habib membacakan firman Allah SWT yang bermaksud, “Wajib mendapat kasih-sayang Aku kepada 2 orang yang saling kasih-mengasihi kerana Aku.”

Oleh itu, dalam persahabatan, jangan kita hanya melihat pada baiknya sahabat itu, atau keseronokan dan hiburan yang kita peroleh daripadanya, tetapi kaitkan dalam bersahabat itu dengan apa yang kita boleh dapat daripada Allah SWT agar persahabatan itu mempunyai nilai ibadah.

Sebelum menutup sesi pengajian kali ini, Al Habib mengingatkan bahawa ada pihak tertentu yang menggunakan namanya untuk berinteraksi di laman sosial seperti ‘Twitter’ dan ‘Facebook’. Oleh itu, sebagai panduan, saluran rasmi komunikasi Al Habib hanyalah seperti yang disenaraikan dalam poster berikut:



Ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan dipersilakan berkongsi bersama yang lain.




...















20 April 2014

Majlis Ta'lim 11 April 2014



Tafsir al Quran


Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi




Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali



Tausiyah Istimewa - Habib Abdurrahman Al Habsyi




Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada 11.04.2014 di bawah pimpinan guru kesayangan ramai,  Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid telah berjalan lancar. Al Habib membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 149-152. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:

  • Adalah penting untuk kita taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah , walaupun perkara yang disuruh itu susah untuk ditunaikan. Dalam ayat yang dibincangkan, sahabat yang luka-luka kesan daripada Perang Uhud diminta oleh Rasulullah untuk keluar semula dan bersedia menghadapi musuh yang dikhabarkan akan tiba. Dalam keadaan yang mencabar fizikal dan spiritual mereka itu, mereka mentaati perintah Rasulullah lalu Allah memberi kemenangan kepada mereka.
  • Pada setiap zaman, akan ada ajakan untuk melawan Allah dan Rasul-Nya. Sebelum kaum Muslimin keluar semula, ada ajakan daripada kaum munafiqin agar mereka tidak mentaati perintah Rasulullah ﷺ.  Sendainya kaum Muslimin mendengar ajakan itu, pasti mereka akan kalah kerana hanya ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya yang akan membawa kejayaan.
Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid ketika
membahaskan tafsir Surah Ali Imran di Majlis Ta'lim Darul Murtadza

  •  Allah adalah sebaik-baik Penolong. Walaupun kaum Muslimin keluar tanpa bekal senjata dan kekuatan, Allah memberi mereka kemenangan dengan menjadikan musuh berasa gerun kepada mereka dan berpatah balik sebelum tiba lagi.
  • Kaum Muslimin dididik bahawa mati bukanlah penghujung kepada kehidupan. Oleh sebab itu, mereka yang masuk ke medan perang kerana Allah tidak takut sekiranya mereka mati atau hidup, kalah atau menang, kerana kedua-duanya akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah.
  •  Dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, Allah pasti akan menunaikan janji-Nya untuk memberi kemenangan. Tetapi, jika sebaliknya, maka kaum Muslimin tidak dibantu Allah SWT. Inilah pengajaran yang perlu diambil dalam kisah ini, di mana oleh kerana sebahagian Muslimin yang melanggar perintah Allah SWT, 70 orang Islam mati syahid, ramai yang cedera termasuk Rasulullah .
  • Walaupun perbuatan sebahagian Muslimin yang melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya menyebabkan kekalahan kaum Muslimin, Allah telah memaafkan mereka. Maka, kita tidak layak untuk terus mengorek kisah ini dan mencaci, menjatuhkan maruah para sahabat Nabi .



Sebahagian yang hadir di Majlis Ta'lim Darul Murtadza


Seterusnya, hadis 4, 5, dan 6 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin diperbincangkan.

Hadis 4 menceritakan tentang Perang Dzatu-Riqa’ di mana 6 orang terpaksa bergilir-gilir menunggang 4 ekor unta. Keadaan padang pasir yang panas terik dan jauhnya perjalanan menyebabkan mereka terpaksa mengoyakkan kain, seluar, selendang untuk membalut selipar mereka yang menipis, dan juga melindungi kaki mereka yang cedera sehingga ada yang tercabut kukunya.

Turut hadir, al Habib Abu Bakar Bin Salim al Hamid,
ayahanda al Habib Ali Zaenal Abidin al Hamid


Dalam menyatakan iktibar yang perlu kita ambil, Al Habib berkata: “Ini menunjukkan yang agama ini sampai kepada kita bukan dengan tidur. Agama yang kita nikmati sekarang ini menjadi amanah kepada kita. Agama ini sampai kepada kita setelah sekian banyaknya pengorbanan yang dilakukan oleh sahabat – nyawa mereka dikorbankan, tenaga mereka dikorbankan.” Al Habib seterusnya berpesan agar kita tidak menjual maruah agama ini dengan perkara-perkara yang bersifat keduniaan.



Antara pengajaran-pengajaran lain ialah:
  • Sebaik-baiknya jangan diceritakan kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain. Biarlah ia menjadi rahsia antara kita dan Allah. Hanya jika rasa diri kuat daripada rasa riak, dan demi menunjukkan teladan, barulah boleh diceritakan.
  • Nabi ﷺ menekanan sifat ‘iffah’, yakni agar kita tidak meminta-minta secara terang-terangan ataupun sindiran. Orang yang menjaga sifat ini akan dikasihi baginda Nabi ﷺ. Sayangnya, zaman sekarang ini ramai orang meminta-minta walaupun berharta kerana hatinya miskin, dan hatinya fakir dan tiada sifat qanaah.
  • Jika nak memberi, dahulukan orang yang wajib diberi nafkah, yakni ahli keluarga. Orang yang melampau dalam bersedekah (yakni memberi kepada orang lain, tapi tidak kepada keluarga) adalah seumpama tidak bersedekah.



Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan pada muka surat 164, sambungan bab ‘Cara Memilih Sahabat’. Dalam membahaskan kepentingan memilih sahabat yang baik akhlaknya, Al Habib memetik kata-kata Imam Al-Haddad yang berbunyi:

“Orang yang berkumpul dengan orang baik, akan dikumpulkan bersama orang yang baik walaupun pada awalnya dia tidak baik. Orang yang berkumpul dengan orang yang tidak baik, akan dikumpulkan dengan orang yang tak baik, walaupun pada asalnya dia baik.”


Al Habib AbdurRahman Bin Muhammad al Habsyi (kanan)


Pengajian bersambung dengan tausiyah daripada tetamu istimewa dari Kwitang, Indonesia: Al Habib Abdul Rahman bin Muhmmad Al-Habsyi. Antara pesan beliau ialah agar kita membaca kitab ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’. Untuk mendapatkan pesanan dan pengajaran lengkap daripada kedua-dua Habaib, dipersilakan menonton video pada pautan yang disertakan di atas. Seperti biasa, dipersilakan berkongsi dengan seraimai yang mungkin ;)












01 April 2014

Majlis Ta'lim 28 Mac 2014





Tafsir al Quran





Tausiyah Istimewa : Al Habib 





Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada 28.03.2014 kembali dipimpin oleh guru kesayangan kita,  Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid. Al Habib membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 145-148. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:

Setiap yang bernyawa pasti akan mengalami nasib yang sama iaitu kematian. Cuma sebabnya boleh pelbagai, mungkin meninggal atas katil, ketika berjalan, ketika memandu, ketika naik kapal terbang atau kapal laut. Namun, walau apa pun sebabnya, semuanya berlaku hanya dengan izin Allah SWT.

Orang Islam mesti maju di dunia juga, tetapi perlu berteraskan untuk akhirat. Dengan kemajuan, orang Islam tak akan perlu bergantung kepada orang bukan Islam yang tak peduli tentang halal dan haram. Kita perlukan kepakaran dalam pelbagai bidang keduniaan daripada orang yang takutkan Allah SWT, yang ilmunya berteraskan iman kepada Allah SWT.

Orang-orang yang berperang bersama para nabi sebelum ini adalah orang-orang yang mempunyai ilmu. Jadi, seorang mujahidin bukan perlukan semangat saja. Ilmu akan menjadi pembimbing, tetapi semangat tanpa ilmu akan menjadikan seseorang mengikut emosi.

Kita mengaku cinta Allah, cinta Rasulullah SAW , tapi adakah Allah cinta kepada  kita? Antara orang yang diberi jaminan mendapat cinta Allah ialah orang yang sabar. Oleh itu, jika anda menghadapi dugaan, jadikan dugaan itu peluang mendapatkan kasih-sayang daripada Allah SWT. Adalah bodoh tindakan seseorang yang menolak musibah kerana dengan itu dia juga menolak kasih-sayang Allah SWT.

Sebelum berdoa, kita perlu beristighfar kepada Allah SWT. Jangan kita minta, minta, minta kepada Allah SWT sementara kita bermaksiat kepada Allah dengan apa yang kita minta - minta nikmat, kita tak bersyukur kepada Allah, minta rezeki, kita tak gunakan untuk taat kepada Allah.

Dalam perbahasannya, Al Habib turut menyelitkan pesanan penting yang berbunyi,



“Saya suka sangat ingatkan untuk tidak banyak komen di facebook. Sebab..kata-kata anda ditimbang oleh Allah SWT, kepada perkara yang kalau anda tak turut campur pun anda tak akan disoal oleh Allah SWT, tapi kalau anda komen, anda akan disoal. Jangan komen kecuali yang positif.”

Oleh itu, sebagai menghargai Al Habib yang tak pernah jemu memberi peringatan, diharapkan kita semua akan lebih berhati-hati dengan interaksi kita di alam maya selepas ini.

Dalam perbahasannya, Al Habib turut membawakan kisah seorang budak kecil yang ingin dibunuh Raja yang zalim tapi tak berjaya. Jika anda nak tahu bagaimana akhirnya budak kecil itu dapat dibunuh dan sebab penurunan surah Al-Buruj, dipersilakan meluangkan masa menonton rakaman tausiyah hingga ke akhiranya. Anda juga akan mengetahui tentang satu lagi golongan yang dijanjikan akan mendapat cinta Allah SWT.

Al Habib Muhammad Quraisy bin Qasim Baharun,Pemimpin Pesantren Jerebon di Indonesia,
memberikan tausiyahnya di Darul Murtadza, Kuala Lumpur, Malaysia


Pengajian disambung terus dengan tausiyah daripada tetamu istimewa, yang juga teman seperjuangan Al Habib sendiri iaitu Al Habib Muhammad Quraisy bin Qasim Baharun, Pemimpin Pesantren Jerebon di Indonesia.

Al Habib Muhammad Quraiys memulakan tausiyah dengan menyatakan fadhilat majlis ta’lim. Katanya,

“Dengan majlis ta’lim seperti inilah umat Islam akan mengerti Tuhannya, memahami agamanya, mencintai Nabinya dan akan berkasih-sayang antara satu dengan yang lain dan hanya dengan ilmu, maka kaum muslimin akan menjadi baik, menjadi jaya, dan menjadi mulia.”

Al Habib turut membawakan firman Allah yang menyatakan kedudukan orang beriman dan berilmu adalah sehingga 700 darjat lebih tinggi berbanding orang yang beriman sahaja. Tambahnya lagi menurut Abdullah ibni Abbas, “Sesungguhnya antara satu darjat dengan darjat yang lain adalah seperti seorang manusia di bumi melihat tingginya bintang.”

Semoga kata-kata seperti ini akan menjadi sumber inspirasi untuk kita terus istiqamah dalam mencari ilmu, mengamalkan dan menyampaikan kepada yang lain pula.

Seterusnya, Al Habib Quraisy berpesan agar kita mengambil ilmu daripada guru yang alim, yang berguru dengan guru yang alim, yang bersambung terus kepada Nabi ﷺ . Jangan berguru di internet, atau VCD atau yang seumpama dengannya.

Dalam tausiyahnya Al Habib membawakan banyak kisah-kisah kecintaan sahabat kepada baginda Rasulullah SAW. Untuk mendapatkan manfaatnya, dipersilakan menonoton video di atas.
Kalau makan makanan sedap, kita suka berkongsi dengan yang lain. Oleh itu, setelah kita direzekikan mendapat ilmu yang bermanfaat sebegini, sewajarnyalah kita berkongsi sama dengan orang lain juga, betul tak? :)

31 March 2014

Majlis Ta'lim 21 Mac 2014



Tafsir al Quran



Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi




Tausiyah Istimewa : Sheikh Mustafa al Nadwi





Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada 21.03.2014 yang lalu telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Ashraff bin Mohamed Osman. Ustaz Ashraff membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 146-148, yang masih berkisar kisah dalam Perang Uhud. Ustaz Ashraff mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:

1. Orang yang ikhlas ialah orang yang tidak mengharapkan harta dunia ataupun pujian orang-ramai dengan amalannya. Orang yang cuma inginkan dunia akan diberi Allah apa yang diingininya, tetapi orang yang cerdik ialah orang yang memilih balasan yang kekal, yakni balasan akhirat.

2. Ketaatan itu akan datang melalui sifat bersyukur kepada Allah SWT. Bila kita sedar betapa banyaknya nikmat yang telah Allah berikan, maka akan datang rasa malu untuk melawan Allah dan timbul rasa ingin mentaati perintah-Nya.

3. Dalam keadaan genting berperang, para sahabat membanyakkan beristighfar, dan inilah yang patut kita contohi takkala ditimpa ujian dan musibah. Ulama juga menggalakkan perkara yang sama kerana dalam sepotong hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barangsiapa yang beristighfar, Allah Ta'ala akan melapangkan rasa gundah-gulananya dan Allah akan memberi rezeki daripada sumber yang tak disangka-sangka.”

Ustaz Mohd Ashraff bin Mohamed Osman


Pengajian diteruskan dengan bacaan bab ‘Keutamaan Sifat Qanaah dan Keburukan Orang Yang Suka Meminta-minta”, kitab Riyadhus Solihin, hadis 4 dan 5. Hadis yang dibacakan menceritakan kepayahan yang dihadapi Rasulullah SAW dan sahabat, namun itu semua tidak menjadi penghalang meraka menunaikan perintah Allah dan berdakwah menyebarkan agama Islam. Jadi, apa alasannya kita masih tak dapat mengikut perintah Allah dan Rasulullah SAW?

Ustaz Ashraff turut membawakan kisah penjual daging yang tertipu dengan syaitan. Jika nak tahu kisahnya, dan pengajaran lain lagi yang telah dikongsikan, dipersilakan menonton rakaman video di atas.

Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi
di Majlis Ta'lim Darul Murtadza, Kuala Lumpur


Kitab Bidayatul Hidayah tidak dibahaskan minggu ini untuk memberi laluan kepada tetamu istimewa - Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi. Oleh kerana gembira melihat wajah-wajah indah para jemaah MTDM, Syeikh membawakan hadis tentang doa Rasulullah SAW untuk keindahan wajah bagi orang yang mendengar, menghafal dan menyampaikan hadis baginda kepada orang lain sepertimana yang didengarinya, sebagai intipati tausiyahnya.

Memetik kata-kata Syeikh Mustafa, “Maka apa yang kita telah dengar daripada hadis Nabi SAW, hendaklah kita menghafalnya, hendaklah kita menjaganya sepertimana kita telah buka dada untuk menerima ilmu ini, maka peliharalah ilmu itu. Kemudian sampaikanlah kepada yang lain, walaupun sedikit, kerana yang mendengar sepotong hadis daripada Nabi SAW, kemudian dia sampaikan kepada yang lain, insyaAllah akan termasuk dalam golongan yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadis ini  – yakni termasuk golongan yang didoakan baginda agar wajahnya menjadi berseri-seri pada hari akhirat nanti.”

Selanjutnya, Syeikh Mustafa turut berpesan agar kita memberi perhatian sepenuh perhatian, dengan seluruh jiwa dan raga, ketika mendengar hadis sebagai tanda kita memuliakan pemilik kalam tersebut, yakni Rasulullah SAW. Syeikh Mustafa turut menekan kepentingan kita ‘menyimpan’ ilmu di dalam hati agar kita tidak terlalu bergantung kepada teknologi dan mudah untuk menyampaikan kepada yang lain.

Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi 


Syeikh Mustafa turut berkongsi kisah dimana orang yang mendengar hadis lebih faham daripada orang yang menyampaikan kepadanya. Nak tahu kisahnya? Dipersilakan menonton rakaman. Sediakan pen dan kertas untuk mencatat, kemudian sama-sama kita hafal, dan perdengarkan pula kepada yang lain, InsyaAllah. Sebelum mampu menghafalnya, kita boleh ‘sampaikan’ kepada yang lain dengan berkongsi pautan rakaman di atas dulu ;)










20 March 2014

Majlis Ta'lim 14 Mac 2014





Tafsir al Quran



Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi



Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali




Tausiyah Istimewa - Al Habib Abdurrahman AsSeggaf


Tausiyah Istimewa - Syeikh Abdul Qadir Al Baihani




Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada hari Jumaat, 14.03.2014 yang lalu bertambah berseri dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu Habib Abdul Rahman As-Seggaf dari Indonesia dan Syeikh Abdul Qadir Al-Baihani dari Hadhramaut, Yaman.



Guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid telah menyambung perbahasan tafsir Surah Ali Imran, ayat 142-144.  Pengajaran penting yang perlu kita ambil daripada ayat 142 ialah ujian yang diberikan Allah kepada kita adalah untuk menguji keimanan kita dan memberikan ganjaran syruga jika kita termasuk orang-orang yang bersabar menghadapinya. Al Habib menegaskan dengan membawakan pepatah bahasa kampung halamannya:

“Syurga lebih mahal daripada apa yang diimpikan manusia daripada hal-hal keduniaan. Untuk keduniaan, semua orang berlumba-lumba mencarinya, bersaing antara satu dengan yang lain, menghentam yang lain kerana tidak mahu disaingi, mengorbankan segala yang dimiliki – tenaganya, fikirannya, hartanya, waktunya. 
Tapi untuk akhirat, cuma berdoa, “Ya Allah, masukkan aku ke dalam syurga.” Doa saja, tapi tak nak berubah. Adakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga tanpa diuji Allah Ta'ala? Jangan mimpi di siang bolong!”



Al Habib turut meminta agar kita semua berdamai kepada Allah dengan berhenti melakukan maksiat dan bertaubat kepada-Nya. Berkemungkinan banyaknya musibah yang berlaku kepada kita kebelakangan ini adalah kerana dosa-dosa salah seorang daripada kita.

Pengajian diteruskan dengan bacaan bab ‘Keutamaan Sifat Qanaah dan Keburukan Orang Yang Suka Meminta-minta” daripada  kitab Riyadhus Solihin,  dari hadis 2 dan 3.

Antara iktibar yang perlu kita ambil ialah betapa cepatnya para sahabat dahulu menyahut seruan Nabi Muhammad SAW . Dalam kisah yang dibawakan, Hakim bin Hizam tidak pernah lagi meminta-minta atau menerima pemberian setelah mendengarkan sabda Rasulullah SAW bahawa tangan yang di atas lebih baik daripada yang di bawah, walaupun dalam menerima harta yang memang menjadi haknya.




Pengajian kitab Bidayatul Hidayah pula disambung pada halaman 162 – Adab Kepada Sahabat Karib. Dalam penerangannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mencari kawan yang berilmu kerana pepatah mengatakan - “Musuh berakal adalah lebih baik daripada sahabat yang bodoh.”

Habib Abdul Rahman As-Seggaf 


Seterusnya, tausiyah khas diberikan oleh kedua-dua tetamu istimewa. Habib Abdul Rahman As-Seggaf mengingatkan kita semua bahawa ketika ini, semua negara Islam sedang diberi peringatan oleh Allah SWT.  Oleh itu, kita semua perlu kembali kepada Allah dengan bertaubat dan juga bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ma’ruf nahi mungkar.

 Syeikh Abdul Qadir Al-Baihani

Manakala Syeikh Abdul Qadir Al-Baihani pula membawakan hadis Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan tanda-tanda hari kiamat. Untuk mengetahui hadis dan syarahannya beserta ilmu-ilmu lain yang telah dikongsikan, dipersilakan menonton rakaman di atas. Syeikh turut berpesan agar kita saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain, jadi dipersilakan kongsi dengan keluarga dan kenalan juga 

12 March 2014

Rakaman Maulid Bulanan Mac 2014


Rakaman Maulid Bulanan Darul Murtadza


)

Rakaman Tausiyah Al Habib Abdurrahman Ali Mahsyur bin Hafidz


)








Alhamdulillah, di samping kehadiran guru kita, Maulid Bulanan Majlis Ta'lim Darul Murtadza kali ini diserikan dengan kunjungan barisan tetamu istimewa iaitu Syeikh Mohamed bin Ibrahim Abdel Baes al-Husaini al-Kettany dari Mesir, Habib Abdurrahman Ali Mahsyur bin Hafidz dari Yaman,  Al-Habib Mahdi bin Abu Bakar Al-Hamid dan Ustaz Ashraf bin Osman, kedua-duanya dari Madrasah At-Tazkiyah.



Dalam tausiyahnya, Syeikh Mohamed bin Ibrahim Abdel Baes al-Husaini al-Kettany memberikan beberapa wasiat, khususnya kepada golongan muda yang dilihatnya ramai menghadirkan diri dalam majlis ilmu kita. Pesannya, kita hendaklah:


Meningkatkan kasih-sayang kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW, saling nasihat-menasihati dan menghiasi diri dengan akhlak Nabi Muhammad SAW. 

Dalam menerangkan kepentingan akhlak, beliau membawakan hadis Nabi Muhammad SAW yang berbunyi, “Sesungguhnya orang yang amat aku kasihi di antara kamu dan orang yang amat hampir dengan aku di antara kamu adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan orang yang paling aku benci di antara kamu dan orang yang paling jauh daripada aku di antara kamu adalah orang yang paling buruk akhlaknya.”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa dengan akhlak, seseorang itu boleh menjadi dekat dan dikasihi oleh Rasulullah SAW atau sebaliknya.

Hendaklah bersemangat mencari ilmu yang bermanfaat, berpegang kepada para ulama dan mengikhlaskan diri dalam mencari ilmu dan menjadikan ilmu itu sebagai tujuan dan memperkaya diri dengan ilmu. 

Dalam perbahasannya, beliau melarang kita daripada menuntut ilmu dengan tujuan untuk berdialog atau tujuan-tujuan lain yang tidak sepatutnya.

Ijitihad – berusaha lebih di dalam mengambil sebab untuk memperkaya diri anda dengan ilmu yakni dengan mempelajari bahasa Arab. 

Ini kerana Al-Quran nul Karim itu diturunkan dalam bahasa Arab dan ianya adalah wasilah untuk kita memahami ilmu dan rahsia Al-Quran.

Syeikh Mohamed turut menerangkan serba-sedikit tentang akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), dan menyelitkan kisah kemuliaan akhlak Rasulullah SAW yang dapat anda dengar sendiri dengan menonton rakaman video di atas.



Seterusnya, Habib Abdurrahman Ali Mahsyur bin Hafidz menyampaikan tausiyah ringkas. Antara pesanannya yang utama ialah agar kita mencatat ilmu yang diperolehi di atas kertas dan seumpamanya, kerana yang dicatat itulah yang akan kekal bersama kita. Beliau menegaskan dengan memetik kata-kata penyair,



“Ilmu itu adalah seperti buruan, dan menangkapnya adalah dengan mencatatnya. Maka, adalah tidak bijak bagi seorang yang menangkap buruannya, kemudian dilepaskan pergi begitu saja.”

Selain itu, beliau juga sempat menerangkan maksud nama majlis kita - ‘Al-Murtadza’. Jika anda berminat untuk mengetahuinya, jangan ketinggalan menonton video di atas dan pastikan anda buat catatan.

Jangan lupa kongsikan dengan yang keluarga, rakan dan teman untuk manfaat kita bersama.



...

06 March 2014

Majlis Ta'lim 28 Feb 2014



Tafsir Quran




Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi




Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali





Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza telah berjalan lancar pada 28.02.2014 yang lalu. Guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid telah membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 137-140. Dalam perbahasannya, Al Habib telah mengingatkan jemaah bahawa:
Allah menciptakan alam dengan ‘Sunnah al-kaun’, yakni undang-undang alam atau ‘Cause and Effect’.

Misalnya: Tanah  yang subur, akan tumbuh jika ditanam, orang yang bekerja akan dapat rezeki, orang yang belajar dapat faham, dan lain-lain. Oleh itu, orang yang meninggalkan sebab – contohnya dengan tidak bekerja tapi mengharapkan rezeki adalah orang yang menyalahi sunnatul kaun.



Jika alam mempunyai sunatul kaun, begitu juga manusia - yang beriman akan mendapat kejayaan dan kemuliaan, yang kufur akan dihukum Allah SWT. Terdapat banyak kisah bala yang Allah turunkan kepada umat sebelum kita disebabkan kekufuran mereka dan kita diminta mengembara dan melihatnya. Orang yang beriman pergi mengembara bukan untuk melihat bentuk peninggalan fizikal sahaja, tetapi untuk merenung apakah iktibar yang boleh menambahkan imannya kepada Allah SWT.

Dalam perbahasan ayat-ayat seterusnya, Al Habib juga menerangkan tentang 3 jenis hidayah, hukum perbutan ‘at-Tamsil’ dan kedudukan orang syahid di sisi Allah. Untuk mengetahui huraiannya, dipersilakan menonton rakaman video di atas :)

Pengajian diteruskan dengan bacaan kitab Riyadhus Solihin dengan permulaan bab baharu: Keutamaan Sifat Qanaah dan ‘Asas, hadis 1-3 yang akan menekankan kepentingan 4 sifat berikut:

1. Qanaah – merasa cukup dengan apa yang ada
2. Menjaga kehormatan diri daripada meminta-minta
3. Bersederhana dalam memenuhi keperluan diri dan dalam berinfak
4. Kehinaan orang yang suka meminta-minta.

Dalam menerangkan kepentingan sifat-sifat ini, Al Habib memetik kata-kata Imam Al-Haddad:

“Yang Allah dah tentukan kepada orang lain, tak akan sampai kepada kamu. Yang sudah ditentukan Allah untuk kamu, pasti akan sampai kepada kamu. Apa yang kamu cita-citakan itu, sejauh mana, tetap akan berlaku apa yang sudah ditakdirkan oleh Allah SWT.”



Seterusnya, Al Habib menyambung perbahasan dalam Bab Adab Pergaulan Dengan Manusia dalam Kitab Bidayatul Hidayah, m/s 161. Kumpulan pertama yang dibincangkan ialah adab dengan orang tidak dikenali. Antara adab yang perlu kita jaga dengan golongan ini ialah:

- Tidak menyertai mereka dalam percakapan yang kosong
- Jangan mudah berkongsi hal peribadi sebelum mengenali sifat amanah mereka

Terdapat banyak lagi rahsia dan ilmu yang telah dikongsikan bersama. Untuk mendapatkan manfaatnya, sila tonton video rakaman di atas :)

Jangan lupa kongsikan dengan yang lain, kerana ingat-mengingati itu adalah sifat yang terpuji ;).