20 April 2014

Majlis Ta'lim 11 April 2014



Tafsir al Quran


Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi




Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali



Tausiyah Istimewa - Habib Abdurrahman Al Habsyi




Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada 11.04.2014 di bawah pimpinan guru kesayangan ramai,  Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid telah berjalan lancar. Al Habib membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 149-152. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:

  • Adalah penting untuk kita taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah , walaupun perkara yang disuruh itu susah untuk ditunaikan. Dalam ayat yang dibincangkan, sahabat yang luka-luka kesan daripada Perang Uhud diminta oleh Rasulullah untuk keluar semula dan bersedia menghadapi musuh yang dikhabarkan akan tiba. Dalam keadaan yang mencabar fizikal dan spiritual mereka itu, mereka mentaati perintah Rasulullah lalu Allah memberi kemenangan kepada mereka.
  • Pada setiap zaman, akan ada ajakan untuk melawan Allah dan Rasul-Nya. Sebelum kaum Muslimin keluar semula, ada ajakan daripada kaum munafiqin agar mereka tidak mentaati perintah Rasulullah ﷺ.  Sendainya kaum Muslimin mendengar ajakan itu, pasti mereka akan kalah kerana hanya ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya yang akan membawa kejayaan.
Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid ketika
membahaskan tafsir Surah Ali Imran di Majlis Ta'lim Darul Murtadza

  •  Allah adalah sebaik-baik Penolong. Walaupun kaum Muslimin keluar tanpa bekal senjata dan kekuatan, Allah memberi mereka kemenangan dengan menjadikan musuh berasa gerun kepada mereka dan berpatah balik sebelum tiba lagi.
  • Kaum Muslimin dididik bahawa mati bukanlah penghujung kepada kehidupan. Oleh sebab itu, mereka yang masuk ke medan perang kerana Allah tidak takut sekiranya mereka mati atau hidup, kalah atau menang, kerana kedua-duanya akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah.
  •  Dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, Allah pasti akan menunaikan janji-Nya untuk memberi kemenangan. Tetapi, jika sebaliknya, maka kaum Muslimin tidak dibantu Allah SWT. Inilah pengajaran yang perlu diambil dalam kisah ini, di mana oleh kerana sebahagian Muslimin yang melanggar perintah Allah SWT, 70 orang Islam mati syahid, ramai yang cedera termasuk Rasulullah .
  • Walaupun perbuatan sebahagian Muslimin yang melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya menyebabkan kekalahan kaum Muslimin, Allah telah memaafkan mereka. Maka, kita tidak layak untuk terus mengorek kisah ini dan mencaci, menjatuhkan maruah para sahabat Nabi .



Sebahagian yang hadir di Majlis Ta'lim Darul Murtadza


Seterusnya, hadis 4, 5, dan 6 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin diperbincangkan.

Hadis 4 menceritakan tentang Perang Dzatu-Riqa’ di mana 6 orang terpaksa bergilir-gilir menunggang 4 ekor unta. Keadaan padang pasir yang panas terik dan jauhnya perjalanan menyebabkan mereka terpaksa mengoyakkan kain, seluar, selendang untuk membalut selipar mereka yang menipis, dan juga melindungi kaki mereka yang cedera sehingga ada yang tercabut kukunya.

Turut hadir, al Habib Abu Bakar Bin Salim al Hamid,
ayahanda al Habib Ali Zaenal Abidin al Hamid


Dalam menyatakan iktibar yang perlu kita ambil, Al Habib berkata: “Ini menunjukkan yang agama ini sampai kepada kita bukan dengan tidur. Agama yang kita nikmati sekarang ini menjadi amanah kepada kita. Agama ini sampai kepada kita setelah sekian banyaknya pengorbanan yang dilakukan oleh sahabat – nyawa mereka dikorbankan, tenaga mereka dikorbankan.” Al Habib seterusnya berpesan agar kita tidak menjual maruah agama ini dengan perkara-perkara yang bersifat keduniaan.



Antara pengajaran-pengajaran lain ialah:
  • Sebaik-baiknya jangan diceritakan kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain. Biarlah ia menjadi rahsia antara kita dan Allah. Hanya jika rasa diri kuat daripada rasa riak, dan demi menunjukkan teladan, barulah boleh diceritakan.
  • Nabi ﷺ menekanan sifat ‘iffah’, yakni agar kita tidak meminta-minta secara terang-terangan ataupun sindiran. Orang yang menjaga sifat ini akan dikasihi baginda Nabi ﷺ. Sayangnya, zaman sekarang ini ramai orang meminta-minta walaupun berharta kerana hatinya miskin, dan hatinya fakir dan tiada sifat qanaah.
  • Jika nak memberi, dahulukan orang yang wajib diberi nafkah, yakni ahli keluarga. Orang yang melampau dalam bersedekah (yakni memberi kepada orang lain, tapi tidak kepada keluarga) adalah seumpama tidak bersedekah.



Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan pada muka surat 164, sambungan bab ‘Cara Memilih Sahabat’. Dalam membahaskan kepentingan memilih sahabat yang baik akhlaknya, Al Habib memetik kata-kata Imam Al-Haddad yang berbunyi:

“Orang yang berkumpul dengan orang baik, akan dikumpulkan bersama orang yang baik walaupun pada awalnya dia tidak baik. Orang yang berkumpul dengan orang yang tidak baik, akan dikumpulkan dengan orang yang tak baik, walaupun pada asalnya dia baik.”


Al Habib AbdurRahman Bin Muhammad al Habsyi (kanan)


Pengajian bersambung dengan tausiyah daripada tetamu istimewa dari Kwitang, Indonesia: Al Habib Abdul Rahman bin Muhmmad Al-Habsyi. Antara pesan beliau ialah agar kita membaca kitab ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’. Untuk mendapatkan pesanan dan pengajaran lengkap daripada kedua-dua Habaib, dipersilakan menonton video pada pautan yang disertakan di atas. Seperti biasa, dipersilakan berkongsi dengan seraimai yang mungkin ;)












No comments: