Tafsir Al Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali
Pengajian dimulakan dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 173-175. Dalam perbahasannya, Al Habib menekankan beberapa pengajaran penting iaitu:
- Dalam Perang Hamra’ Al-Asad, kaum musyrikin merancang serangan ulang kepada kaum muslimin yang baru kekalahan teruk dalam Perang Uhud. Walaupun tidak mempunyai kekuatan senjata mahupun fizikal, kaum muslimin mematuhi perintah Rasulullah ﷺ untuk keluar semula menyertai perang itu kerana mereka tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan dalam Perang Uhud dan perbuatan mereka itu dipuji Allah SWT.
- Kaum munafiq menyerang secara psikologi dengan mengatakan bahawa kekuatan kaum musyrikin adalah lebih besar berbanding tentera kaum muslimin. Tetapi oleh kerana kaum muslimin bergantung kepada Allah Ta'ala, maka keadaan itu menjadikan keimanan dan kebergantungan mereka kepada Allah semakin bertambah. Dengan itu, kaum muslimin diganjar kemenangan oleh Allah Ta'ala tanpa mereka perlu mengangkat senjata sekalipun.
- Syaitan takkan senang melihat manusia mendapat ganjaran besar daripada Allah SWT dan akan berusaha untuk mengajak manusia meninggalkan amalan-amalan yang lebih tinggi ganjarannya. Tapi, syaitan cuma mampu mengajak, jadi amat rugilah manusia yang terpedaya dengan tipu daya syaitan itu.
- Orang yang benar-benar beriman hanya takut kepada Allah SWT, dan tidak takut kepada syaitan atau hantu atau makhluk-makhluk yang lain.
Dalam perbahasannya, Al Habib membawakan kisah Abu Hurairah yg diajar amalan agar tidak diganggu syaitan sebelum tidur, dan kisah seorang lelaki yang dibantu syaitan untuk pergi ke masjid. Berminat untuk tahu lebih lanjut? Dipersilakan menonton rakaman di atas :)
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 3-5 daripada Bab 60 – ‘Pemurah dan Dermawan dalam Kebaikan’, kitab Riyadhus Solihin. Sebelum memulakan huraian hadis, Al Habib membawakan kisah berkenaan perawi hadis iaitu ‘Adi bin Hatim, dan ayahnya, Hatim At-Thai yang dikenali sebagai seorang yang sangat pemurah ketika itu. Kisahnya sangat menarik, jadi untuk mengetahuinya, dipersilakan menonton rakaman berkenaan di atas :)
Seterusnya, Al Habib menyambung dengan menghuraikan pengajaran-pengajaran daripada hadis. Antaranya ialah:
- Bersihkan diri daripada sifat kedekut, walaupun hanya dengan bersedekah setengah biji kurma.
- Harta yang disedekahkan akan dapat menyelamatkan diri daripada api neraka.
- Jangan anggap remeh sedekah walaupun ia kecil.
- Jangan masuk ke dalam perut kamu makanan daripada sumber yang haram, walaupun sebesar setengah biji kurma.
- Berhati-hati mencari rezeki kerana anda akan memberi makan diri dan ahli keluarga. Rezeki yang bersih akan menjadi penawar kepada segala penyakit. Perbaiki makanan kamu dan doa kamu pasti akan dimakbulkan Allah SWT. Dalam ‘asar ada dinyatakan bahawa jika seseorang itu makanannya semua halal, ia akan menjadi penawar kepada semua penyakitnya.
- Nabi ﷺ tidak pernah mengatakan ‘Tidak’ kepada orang yang meminta kepadanya. Kalau ada akan diberi, jika tiada akan dijawab dengan kata-kata yang baik.
- Ambil manfaat daripada malaikat yang mendoakan kepada orang-orang yang suka memberi pada setiap pagi. Sediakan tabung untuk mengingatkan kita agar bersedekah setiap pagi.
- Bila memberi, jangan tengok berapa yang dikeluarkan, tapi tengok berapa banyak ganjaran yang Allah SWT akan gantikan.
Dalam huraiannya, Al Habib turut dibawakan kisah kewaraqan Sayyidina Abu Bakar yang sangat menjaga makanan yang masuk ke perutnya, dan juga kisah akhlak mulia Al Imam Ali bin Hussain yang meneladai akhlak datuknya sendiri, yakni Rasulullah ﷺ yang tidak pernah mengatakan ‘Tidak’ kecuali dalam tasyahhud.
Dalam kesempatan ini juga Al Habib berpesan khas kepada kaum muslimin, “Sebagai ketua rumahtangga, kaum lelaki mesti ada bahagian manfaat ilmu yang dikongsikan dengan ahli keluarga di rumah. Tak boleh jadi ustaz ceramah di atas mimbar, ceramah dengan orang rumah kita. Lepas menghadiri MTDM atau majlis ta’lim yang lain, balik rumah cerita (pada orang rumah).”
Kemudian, perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan dengan bacaan m/s 174, perenggan ketiga yang membicangkan adab pergaulan dengan sahabat. Al Habib mengingatkan agar kita banyak menerima dan memaafkan kesilapan orang lain kerana orang yang sebegitu akan disenangi dan mempunyai ramai sahabat.
Al Habib juga membawakan pesan seorang ilmuwan, “Carilah sehingga 70 kali kemungkinan yang baik jika nampak seseorang seperti berbuat salah pada kita.” Dengan itu, kita akan sentiasa bersangka baik kepada sahabat-sahabat kita. Satu lagi hal yang perlu juga kita beri perhatian ialah sebelum menegur kesilapan sahabat, carilah masa dan tempat yang sesuai agar teguran itu tidak membuatkan sahabat berubah menjadi benci kepada kita.
Seperti biasa untuk manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman-ramakan video di atas dan jangan segan-segan untuk berkongsi dengan yang lain untuk kebaikan kita bersama, in sha Allah.
No comments:
Post a Comment