Tafsir al Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Tausiyah Istimewa : Sheikh Mustafa al Nadwi
1. Orang yang ikhlas ialah orang yang tidak mengharapkan harta dunia ataupun pujian orang-ramai dengan amalannya. Orang yang cuma inginkan dunia akan diberi Allah apa yang diingininya, tetapi orang yang cerdik ialah orang yang memilih balasan yang kekal, yakni balasan akhirat.
2. Ketaatan itu akan datang melalui sifat bersyukur kepada Allah SWT. Bila kita sedar betapa banyaknya nikmat yang telah Allah berikan, maka akan datang rasa malu untuk melawan Allah dan timbul rasa ingin mentaati perintah-Nya.
3. Dalam keadaan genting berperang, para sahabat membanyakkan beristighfar, dan inilah yang patut kita contohi takkala ditimpa ujian dan musibah. Ulama juga menggalakkan perkara yang sama kerana dalam sepotong hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barangsiapa yang beristighfar, Allah Ta'ala akan melapangkan rasa gundah-gulananya dan Allah akan memberi rezeki daripada sumber yang tak disangka-sangka.”
Ustaz Mohd Ashraff bin Mohamed Osman |
Pengajian diteruskan dengan bacaan bab ‘Keutamaan Sifat Qanaah dan Keburukan Orang Yang Suka Meminta-minta”, kitab Riyadhus Solihin, hadis 4 dan 5. Hadis yang dibacakan menceritakan kepayahan yang dihadapi Rasulullah SAW dan sahabat, namun itu semua tidak menjadi penghalang meraka menunaikan perintah Allah dan berdakwah menyebarkan agama Islam. Jadi, apa alasannya kita masih tak dapat mengikut perintah Allah dan Rasulullah SAW?
Ustaz Ashraff turut membawakan kisah penjual daging yang tertipu dengan syaitan. Jika nak tahu kisahnya, dan pengajaran lain lagi yang telah dikongsikan, dipersilakan menonton rakaman video di atas.
Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi di Majlis Ta'lim Darul Murtadza, Kuala Lumpur |
Kitab Bidayatul Hidayah tidak dibahaskan minggu ini untuk memberi laluan kepada tetamu istimewa - Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi. Oleh kerana gembira melihat wajah-wajah indah para jemaah MTDM, Syeikh membawakan hadis tentang doa Rasulullah SAW untuk keindahan wajah bagi orang yang mendengar, menghafal dan menyampaikan hadis baginda kepada orang lain sepertimana yang didengarinya, sebagai intipati tausiyahnya.
Memetik kata-kata Syeikh Mustafa, “Maka apa yang kita telah dengar daripada hadis Nabi SAW, hendaklah kita menghafalnya, hendaklah kita menjaganya sepertimana kita telah buka dada untuk menerima ilmu ini, maka peliharalah ilmu itu. Kemudian sampaikanlah kepada yang lain, walaupun sedikit, kerana yang mendengar sepotong hadis daripada Nabi SAW, kemudian dia sampaikan kepada yang lain, insyaAllah akan termasuk dalam golongan yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadis ini – yakni termasuk golongan yang didoakan baginda agar wajahnya menjadi berseri-seri pada hari akhirat nanti.”
Selanjutnya, Syeikh Mustafa turut berpesan agar kita memberi perhatian sepenuh perhatian, dengan seluruh jiwa dan raga, ketika mendengar hadis sebagai tanda kita memuliakan pemilik kalam tersebut, yakni Rasulullah SAW. Syeikh Mustafa turut menekan kepentingan kita ‘menyimpan’ ilmu di dalam hati agar kita tidak terlalu bergantung kepada teknologi dan mudah untuk menyampaikan kepada yang lain.
Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi |
Syeikh Mustafa turut berkongsi kisah dimana orang yang mendengar hadis lebih faham daripada orang yang menyampaikan kepadanya. Nak tahu kisahnya? Dipersilakan menonton rakaman. Sediakan pen dan kertas untuk mencatat, kemudian sama-sama kita hafal, dan perdengarkan pula kepada yang lain, InsyaAllah. Sebelum mampu menghafalnya, kita boleh ‘sampaikan’ kepada yang lain dengan berkongsi pautan rakaman di atas dulu ;)
No comments:
Post a Comment