27 May 2014

Majlis Ta'lim 9 Mei 2014



Tafsir al Quran






Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi







Tausiyah Istimewa: Al Habib Ahmad Bin Husein al Aidid



Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta'ala, satu lagi episod pengajian MTDM telah berjalan lancar di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 09.05.2014 yang lalu.

Al Habib menyambung perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 160-162. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:

  • Untuk mendapatkan bantuan Allah SWT, seseorang perlu ikhlas memperjuangkan agama Allah SWT, dan tidak menunggu sahaja seumpama orang memancing tanpa umpan. Tetapi bilamana kalah atau pertolongan Allah tidak sampai, muhasabahlah diri kerana pasti berlaku kesilapan atau ketidaktelusan niat dalam perjuangan itu.
  • Orang yang menjadi panglima perang (pemipin) mestilah seorang yang soleh, kerana dia akan menjadi sebab datangnya bantuan daripada Allah SWT, dan dia juga akan memastikan anak-anak buahnya mentaati perintah dan larangan Allah.
  • Kekuatan iman adalah lebih utama berbanding kekuatan senjata. Terdapat banyak contoh perang yang berlaku sebelum ini di mana umat Islam tidak punya kekuatan yang setanding dengan musuh, namun tetap mendapat kemenangan.
  • Tinggalkan kebergantungan kita kepada sebab, tapi jangan tinggalkan sebab. Oleh itu, seseorang masih perlu berusaha berubat jika sakit,  masih perlu mencari rezeki untuk makan dan seumpamanya, tapi yang mengizinkan kesembuhan, memberi rezeki dan segalanya ialah Allah SWT.
  • Al-Quran banyak merekodkan jawapan Allah SWT kepada orang yang mentohmah Rasulullah ﷺ. 
  • Setiap orang yang mengambil harta secara khianat, dia akan menanggung harta itu di lehernya di akhirat nanti. Nabi ﷺ ingin mengajarkan agar kaum muslimin tidak menodai niat perjuangan mereka kerana menginginkan harta orang kafir. 
Dalam perbahasannya, Al Habib turut membawakan beberapa kisah menarik yang  berkisar kepentingan kualiti tentera Thalut, kepetingan berusaha dan bertawakal. Untuk mengetahuinya, dipersilakan menonton rakaman video di atas.

Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 14 dan 15 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin. Antara pengajaran yang perlu kita ambil ialah:
  • Siapa yang mahu dijamin untuk masuk ke syurga oleh Rasulullah ﷺ, jangan meminta apa-apa daripada orang lain, dan lazimkan membaca doa selepas azan.
  • Tiga golongan yang dibenarkan meminta ialah meminta untuk membantu orang lain, orang yang faqir dan orang yang kehilangan segala hartanya dalam sesuatu musibah. 
  • Hanya orang yang hatinya keras dan tertutup tidak risau jika dia tidak dapat berjumpa Rasulullah ﷺ. Oleh itu, kita perlu ada keinginan bertemu Rasulullah ﷺ  untuk mencontohi kepada para sahabat Rasulullah ﷺ.
  • Nabi ﷺ juga menjamin syurga bagi sesiapa yang menjaga lidah dan kemaluannya hanya kepada yang hak. Kenapa Nabi ﷺ menjaminnya? Kerana perkara ini sukar dilakukan manusia. Oleh itu, latih diri kita untuk diam kerana itu yang lebih selamat.

Habib Ahmad bin Hussein al Aidid (kanan),
di Majlis Ta'lim Darul Murtadza, Kuala Lumpur

Kitab Bidayatul Hidayah tidak dibacakan minggu ini untuk memberi laluan kepada tausiyah tetamu istimewa dari Yaman iaitu Habib Ahmad bin Hussein al Aidid, yang juga merupakan guru kepada Al Habib Ali Zaenal Abidin sebelum ini. Antara mutiara ilmu yang dikongsikan beliau adalah:

  • Niatkan mencari ilmu untuk meraih hidayah Allah SWT, kerana dengan itu, seseorang akan lebih bersungguh dan telus agar ilmu itu membawanya ke jalan Allah SWT. 
  • Kita mestilah mengambil ilmu daripada guru yang bersanad bersambung sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sanad yang perlu diperhatian kerana selalu dilupakan orang ialah sanad tazkiyah yakni mengambil ilmu daripada seseorang yang memahami ilmu yang disampaikan, menghayati dan membersihkan jiwa daripada sifat-sifat lalai.
  • ‘Buah’ yang sepatutnya ada pada orang-orang yang menghadiri majlis-majlis seumpama ini ialah pakaian perasaan takut kepada Allah, merasakan Allah sebagai pengawas kepada dirinya, dan berasa sentiasa dipantau Allah SWT. 
  • Adalah menjadi tanggungjawab kita yang mendapat ilmu untuk menyampaikan kepada yang lain khususnya keluarga, jiran, dan sahabat handai agar manfaatnya dapat dikongsi bersama.
  • Orang yang hatinya dihidupkan dan bercahaya, pasti dia suka kepada Al Quran, suka menyebut nama Allah, suka kepada ketaatan, dan benci kepada kemaksiatan. Ini sesuai dengan kata-ata Saiyyidina Uthman bin Affan, “Kalau hati kita bersih, pasti takkan kenyang dengan Al Quran.”  

Sebenarnya banyak lagi manfaat ilmu yang tidak mampu dikongsikan melalui catatan ringkas ini semata-mata. Oleh itu, dipersilakan membuka hati dan menadah telinga untuk menonton rakaman video di atas untuk manfaat sepenuhnya. Dipersilakan berkongsi bersama yang lain, kerana bak kata Al Habib -  itu adalah tanggungjawab orang-orang yang mendapat ilmu ;)


















No comments: