27 May 2014

Majlis Ta'lim 16 Mei 2014



Tafsir al Quran




Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi



Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Ta'ala yang memberikan kita rezeki menambah ilmu melalui satu lagi siri pengajian MTDM di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 16.05.2014 yang lalu.

Al Habib menyambung perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 164-168. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:

  • Kehadiran Rasulullah ﷺ adalah sebagai hadiah daripada Allah SWT kepada semua orang beriman. Dengan perutusannya, baginda Rasulullah ﷺ membawa ajaran yang membolehkan kita membezakan yang haq dan yang batil, dan sifat kemanusiaan baginda menjadikan baginda sesuai dijadikan teladan oleh kita semua. 
  • Tugas Rasulullah ﷺ ialah sebagai guru yang membacakan ayat-ayat kebesaran dan wahyu Allah, mensucikan hati dan jiwa (at-tazkiyah) dan mengajarkan hikmah (at-ta’lim) Al-Quran dan hadis. Turutan ini - membaca, mensucikan, mengajarkan hikmah adalah penting kerana ilmu tanpa pembersihan jiwa belum tentu akan membawa manfaat kepada seseorang.
  • Pendekatan Rasulullah ﷺ telah mengangkat kedudukan bangsa Arab yang dahulunya dilihat sebagai masyarakat yang terkebelakang sehingga digeruni dan menjadi sebutan kuasa-kuasa besar seperti Romawi dan Persia.
  • Sebagai hamba, kita tidak berhak menyoal Allah SWT kenapa kita diduga. Sebaliknya, sebagai orang beriman kita perlu mengambil ikhtibar dan bertaubat atas kekhilafan yang dilakukan.


Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis terakhir (16) daripada Bab 57, kitab Riyadhus Solihin. Dalam hadis ini Nabi ﷺ menyatakan bahawa adab orang miskin yang sebenar ialah tetap menjaga airmukanya daripada meminta-minta. Jadi, untuk memenuhi keperluannya, orang berkemampuanlah yang perlu ambil berat dan memberi kepada mereka SEBELUM mereka meminta-minta. Dalam menerangkan hadis ini, Al Habib membawakan kisah bagaimana prihatinnya Al Imam Ali ibnu Husain bin Ali bin Abi Talib kepada orang miskin pada zamannya. Dipersilakan mendengar sendiri kisah ini daripada rakaman di atas

Kemudian, hadis tunggal daripada Bab 58: ‘Boleh Mengambil Tanpa Meminta’ dibacakan. Hadis ini mengajarkan bahawa walaupun syariat melarang kita meminta-minta, tetapi sekiranya pemberian datang tanpa kita meminta, adabnya ialah menerimanya. Walaupun tak diperlukan sekalipun, ambil dan berilah pada orang lain, tetapi jangan ditolak.

Seterusnya, hadis 1-5 daripada Bab 59: ‘Anjuran Makan Dari Hasil Usaha Tangan Sendiri & Menahan Diri Meminta dan Menuntut Diberi’ dibahaskan.  Hadis-hadis tersebut mengajarkan keutamaan mencari rezeki sendiri agar umat Islam tidak malas. Kerja yang dilakukan boleh menjadi satu ibadah jika diniatkan untuk memenuhi keperluan diri agar tidak membebankan orang lain, untuk menyara keluarga, untuk menyara ibu bapa dan seumpamanya.

Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan pada halaman 170 dengan menyenaraikan adab-adab dalam bersahabat. Antaranya ialah:
  • Memulakan memberi salam kepadanya
  • Mengucapkan terima kasih atas bantuannya
  • Meluaskan tempat untuknya dalam satu-satu majlis.
Ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan jangan segan-segan untuk berkongsi dengan yang lain kerana tanggungjawab orang yang mendapat ilmu ialah menyampaikan pula kepada yang lain. Jom sama-sama kita usahakan J



No comments: