16 June 2014
Majlis Maulid Penangguhan Bersempena Ramadhan
Assalamualaikum
Bersempena dengan kedatangan Bulan yang dinanti-nantikan setiap tahun, Bulan Ramadhan al Mubarak, Majlis Ta'lim Darul Murtadza ditangguhkan sepanjang Ramadhan dan akan bersambung semula selepas Raya Aidilfitri (tarikh pembukaan akan diberitahu kelak).
Dengan itu, Majlis pada Jumaat ini (20 Jun 2014) adalah Majlis terakhir sebelum Ramadhan dan kita sambut dengan Bacaan Maulid Dhiyaulami.
Semoga kita semua dapat niatkan yang terbaik untuk bulan Ramadhan ini. Kongsikan Maklumat ini dengan semua untuk manfaat bersama insyaAllah :)
Terima Kasih
10 June 2014
Takziah kepada Keluarga Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin
Bagi pihak keluarga besar Majlis Ta'lim Darul Murtadza, kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin, Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Semoga beliau dikumpulkan bersama-sama orang yang Soleh insyaAllah.
09 June 2014
Rakaman Maulid Jun 2014
Bacaan Maulid Adhiya Ullami
Tausiyah AlHabib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar al Hamid
08 June 2014
Majlis Ta'lim 30 Mei 2014
Tafsir Al Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali
Pengajian dimulakan dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 173-175. Dalam perbahasannya, Al Habib menekankan beberapa pengajaran penting iaitu:
- Dalam Perang Hamra’ Al-Asad, kaum musyrikin merancang serangan ulang kepada kaum muslimin yang baru kekalahan teruk dalam Perang Uhud. Walaupun tidak mempunyai kekuatan senjata mahupun fizikal, kaum muslimin mematuhi perintah Rasulullah ﷺ untuk keluar semula menyertai perang itu kerana mereka tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan dalam Perang Uhud dan perbuatan mereka itu dipuji Allah SWT.
- Kaum munafiq menyerang secara psikologi dengan mengatakan bahawa kekuatan kaum musyrikin adalah lebih besar berbanding tentera kaum muslimin. Tetapi oleh kerana kaum muslimin bergantung kepada Allah Ta'ala, maka keadaan itu menjadikan keimanan dan kebergantungan mereka kepada Allah semakin bertambah. Dengan itu, kaum muslimin diganjar kemenangan oleh Allah Ta'ala tanpa mereka perlu mengangkat senjata sekalipun.
- Syaitan takkan senang melihat manusia mendapat ganjaran besar daripada Allah SWT dan akan berusaha untuk mengajak manusia meninggalkan amalan-amalan yang lebih tinggi ganjarannya. Tapi, syaitan cuma mampu mengajak, jadi amat rugilah manusia yang terpedaya dengan tipu daya syaitan itu.
- Orang yang benar-benar beriman hanya takut kepada Allah SWT, dan tidak takut kepada syaitan atau hantu atau makhluk-makhluk yang lain.
Dalam perbahasannya, Al Habib membawakan kisah Abu Hurairah yg diajar amalan agar tidak diganggu syaitan sebelum tidur, dan kisah seorang lelaki yang dibantu syaitan untuk pergi ke masjid. Berminat untuk tahu lebih lanjut? Dipersilakan menonton rakaman di atas :)
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 3-5 daripada Bab 60 – ‘Pemurah dan Dermawan dalam Kebaikan’, kitab Riyadhus Solihin. Sebelum memulakan huraian hadis, Al Habib membawakan kisah berkenaan perawi hadis iaitu ‘Adi bin Hatim, dan ayahnya, Hatim At-Thai yang dikenali sebagai seorang yang sangat pemurah ketika itu. Kisahnya sangat menarik, jadi untuk mengetahuinya, dipersilakan menonton rakaman berkenaan di atas :)
Seterusnya, Al Habib menyambung dengan menghuraikan pengajaran-pengajaran daripada hadis. Antaranya ialah:
- Bersihkan diri daripada sifat kedekut, walaupun hanya dengan bersedekah setengah biji kurma.
- Harta yang disedekahkan akan dapat menyelamatkan diri daripada api neraka.
- Jangan anggap remeh sedekah walaupun ia kecil.
- Jangan masuk ke dalam perut kamu makanan daripada sumber yang haram, walaupun sebesar setengah biji kurma.
- Berhati-hati mencari rezeki kerana anda akan memberi makan diri dan ahli keluarga. Rezeki yang bersih akan menjadi penawar kepada segala penyakit. Perbaiki makanan kamu dan doa kamu pasti akan dimakbulkan Allah SWT. Dalam ‘asar ada dinyatakan bahawa jika seseorang itu makanannya semua halal, ia akan menjadi penawar kepada semua penyakitnya.
- Nabi ﷺ tidak pernah mengatakan ‘Tidak’ kepada orang yang meminta kepadanya. Kalau ada akan diberi, jika tiada akan dijawab dengan kata-kata yang baik.
- Ambil manfaat daripada malaikat yang mendoakan kepada orang-orang yang suka memberi pada setiap pagi. Sediakan tabung untuk mengingatkan kita agar bersedekah setiap pagi.
- Bila memberi, jangan tengok berapa yang dikeluarkan, tapi tengok berapa banyak ganjaran yang Allah SWT akan gantikan.
Dalam huraiannya, Al Habib turut dibawakan kisah kewaraqan Sayyidina Abu Bakar yang sangat menjaga makanan yang masuk ke perutnya, dan juga kisah akhlak mulia Al Imam Ali bin Hussain yang meneladai akhlak datuknya sendiri, yakni Rasulullah ﷺ yang tidak pernah mengatakan ‘Tidak’ kecuali dalam tasyahhud.
Dalam kesempatan ini juga Al Habib berpesan khas kepada kaum muslimin, “Sebagai ketua rumahtangga, kaum lelaki mesti ada bahagian manfaat ilmu yang dikongsikan dengan ahli keluarga di rumah. Tak boleh jadi ustaz ceramah di atas mimbar, ceramah dengan orang rumah kita. Lepas menghadiri MTDM atau majlis ta’lim yang lain, balik rumah cerita (pada orang rumah).”
Kemudian, perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan dengan bacaan m/s 174, perenggan ketiga yang membicangkan adab pergaulan dengan sahabat. Al Habib mengingatkan agar kita banyak menerima dan memaafkan kesilapan orang lain kerana orang yang sebegitu akan disenangi dan mempunyai ramai sahabat.
Al Habib juga membawakan pesan seorang ilmuwan, “Carilah sehingga 70 kali kemungkinan yang baik jika nampak seseorang seperti berbuat salah pada kita.” Dengan itu, kita akan sentiasa bersangka baik kepada sahabat-sahabat kita. Satu lagi hal yang perlu juga kita beri perhatian ialah sebelum menegur kesilapan sahabat, carilah masa dan tempat yang sesuai agar teguran itu tidak membuatkan sahabat berubah menjadi benci kepada kita.
Seperti biasa untuk manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman-ramakan video di atas dan jangan segan-segan untuk berkongsi dengan yang lain untuk kebaikan kita bersama, in sha Allah.
02 June 2014
Majlis Ta'lim 23 Mei 2014
Tafsir al Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali
Tausiyah Istimewa: Sheikh Ahmad Dabbagh
Tausiyah Istimewa: Al Habib Muhammad Bin Abdullah Al Aydrus
Tausiyah Istimewa: Al Habib Muhammad Bin Abdul Rahman As-Seggaf (Fattabiouni)
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Ta'ala yang memberikan kita rezeki menambah ilmu melalui satu lagi siri pengajian MTDM di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid bersama barisan-barisan tetamu istimewa dari pelbagai negara, antaranya hos rancangan “Fattabiouni” yang begitu diminati ramai iaitu Habib Muhammad Abdullah As-Saggaf, Habib Muhammad Abdullah Al-Aydrus, dari Yaman, dan Syeikh Ahmad Ad-Dabbagh dari Manchester, UK. Setinggi-tinggi rakaman terima kasih tidak terhingga kepada mereka semua yang sudi berkongsi mutiara-mutiara ilmu untuk pengajaran dan peringatan kita bersama.
Kelas dimulakan dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 169-173 oleh Al Habib Ali Zaenal Abidin. Dalam perbahasannya, Al Habib merumuskan beberapa pengajaran penting, antaranya:
Kelas dimulakan dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 169-173 oleh Al Habib Ali Zaenal Abidin. Dalam perbahasannya, Al Habib merumuskan beberapa pengajaran penting, antaranya:
- Hakikat kehidupan yang sebenar bukanlah di dunia kerana dunia ini tempat yang penuh ujian dan cabaran. Walaupun pada zahirnya nampak para syuhada itu mati, tetapi mereka sebenarnya telah mendapat hakikat kehidupan yang sebenar, yakni kehidupan penuh nikmat di alam barzakh serta mendapat rezeki berterusan di sisi Allah SWT.
- Para syuhada memberikan semangat dengan menyampaikan berita gembira akan nikmat yang mereke perolehi sebagai motivasi kepada orang beriman agar tidak ragu-ragu untuk berjihad di jalan Allah, dan sebagai menunaikan hak menginginkan kebaikan kepada orang-orang beriman yang lain.
- Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada orang-orang beriman yang sifatnya bersegera dalam menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya, walaupun terkadang apa yang disuruh itu nampak tidak logik di akal seperti disuruh berperang takkala keletihan dan tercedera. Tapi dengan kepatuhan kaum muslimin, Allah berikan kemenangan tanpa mereka perlu mengangkat senjata sekalipun.
Seterusnya, pengajian disambung dengan beberapa potong ayat Al-Quran dan 2 hadis daripada Bab 60 – ‘Pemurah dan Dermawan dalam Kebaikan’, kitab Riyadhus Solihin. Dalam menggalakan untuk bersifat pemurah, Al Habib membawakan hadis Nabi ﷺ yang berbunyi, “Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan syurga, dan jauh dari api neraka. Orang yang bakhil jauh dari Allah, jauh dari syurga, dan dekat dengan neraka.”
Beberapa pengajaran penting lain yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut:
- Jangan berasa kedekut ketika berinfak kerana setiap yang dikeluarkan pasti akan diganjarkan oleh Allah SWT, bahkan Allah boleh melipatgandakan pemberian-Nya melebihi apa yang kita keluarkan.
- Jangan mengungkit atau sesekali merasakan diri berjasa kepada orang yang diberi kerana keuntungan yang kita dapat adalah lebih banyak berbanding bantuan yang kita hulurkan. Sepatutnya kita berterima kasih pada orang yang dibantu kerana membukakan peluang untuk kita mendapat lebih daripada apa yang kita keluarkan. Perbuatan mengungkit akan menghapuskan segala ganjaran dan oleh itu, jaga diri agar tidak terpedaya dengan bisikan jahat syaitan.
- Allah SWT mengetahui apa yang kamu infakkan, oleh itu, jangan sesekali menjadikan pujian atau sanjungan orang sebagai matlamat dalam menginfakkan harta.
- Harta yang dikeluarkan itulah yang kekal milik kita, sebaliknya harta yang disimpan boleh jadi milik waris serta-merta apabila kita meninggal dunia. Oleh sebab itu, jangan berlengah-lengah atau kedekut ketika berinfak.
Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan dengan membicangkan adab kepada orang yang baru dikenali. Dalam hal ini, kesederhanaan amatlah diperlukan agar tidak terlalu memuliakan atau memandang rendah kepada seseorang. Di samping itu, apabila berkenalan dengan orang berharta, jangan sesekali menjadikan hartanya itu sebagai tujuan kerana itu akan menyebabkan seseorang itu sehingga sanggup menghinakan dirinya sendiri.
Tausiyah-tausiyah Tetamu Istimewa
Sheikh Ahmad Ad Dabbagh dari Manchester UK turut hadir dan berkongsi ilmu beliau di Majlis Ta'lim Darul Murtadza |
Al Habib Muhammad Bin Abdur Rahman As Seggaf (Fattabiouni) dan Al Habib Muhammad Abdullah Al Aydrus yang menyerikan Majlis Ta'lim Darul Murtadza kali ini |
Seterusnya, Syeikh Ahmad Ad-Dabbagh dari Manchester, UK, menyampaikan tausiyah ringkas berisi pengajaran penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj - iaitu keutamaan menjaga hubungan silaturrahim. Dalam perbahasannya, Syeikh membawakan kisah bagaimana Sayyidina Abu Hurairah menghalang orang yang memutuskan silaturrahim berada dalam majlisnya kerana dia akan menyebabkan doa-doa yang dipanjatkan dalam majlis itu tertolak. Oleh itu, mari sama-sama kita ambil pengajaran dan ambil inisiatif:
- untuk menyambung silaturrahim dengan orang yang memutuskannya dengan kita,
- memberi salam kepada yang orang yang tidak menegur kita,
- memberi hadiah kepada yang tidak memberi kepada kita hadiah,
- memaafkan dan melupakan kesalahan orang pada kita
- menziarahi mereka yang tidak menziarahi kita dll.
Al Habib Muhammad Bin Abdur Rahman As Seggaf (Fattabiouni) dan Al Habib Muhammad Abdullah Al Aydrus setelah habis Majlis |
Setelah itu, majlis disambung pula dengan tausiyah istimewa daripada Habib Muhammad Abdullah Al-Aydrus dari Yaman. Al Habib pula menekankan kepentingan agar kita mengamalkan apa yang kita telah pelajari dan bermujahadah dengannya. Dengan mengamalkan ilmu, Allah SWT akan menambahkan lagi pula dengan ilmu yang dinamakan ilmu rasa atau ilmu ‘dzaur’. Untuk memahaminya dengan lebih lanjut, dipersilakan menontoh rakaman di atas.
Pembimbing Majlis Ta'lim Darul Murtadza, Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid, menyantuni para hadirin. |
Pengajian diteruskan dengan tausiyah yang sangat-sangat dinantikan ramai iaitu himpunan mutiara kata daripada Tausiyah Habib Muhammad Abdullah As-Saggaf. Antara pesanan beliau yang utama adalah:
- Menjaga niat ketika berada di majlis ilmu kerana hati kita dipantau Allah SWT dan Allah membalas sesuai dengan apa yang kita lakukan.
- Untuk mendapatkan kebersamaan bersama Nabi Muhammad ﷺ di akhirat nanti, lakukanlah amal perbuatan baik ketika di dunia iaitu dengan kita mendahulukan apa yang disukai, diingini Nabi Muhammad ﷺ berbandingkan kepada apa yang kita inginkan.
- Allah akan berinteraksi dengan kita sebagaimana kita berinteraksi dengan makhluk. Oleh itu, jika inginkan Allah beri kemudahan, maka permudahkanlah untuk orang lain, jika ingin Allah beri kemaafan, maka maafkanlah orang lain dan seterusnya.
- Jika hadir dalam majlis, isilah tempat kosong di hadapan dan fokus kepada apa yang disampaikan oleh guru. Jangan mudah tertarik perhatian kepada keadaan sekeliling
- Kesembuhan ada dalam majlis ilmu, oleh itu, jika sakit datanglah ke majlis-majlis ilmu.
Terlalu banyak lagi perkongsian-perkongsian ilmu yang tak mampu ditampung oleh secebis catitan ini. Oleh itu, untuk manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman-ramakan video di atas dan jangan segan-segan untuk berkongsi dengan yang lain kerana tanggungjawab orang yang mendapat ilmu ialah menyampaikan pula kepada yang lain. Jom sama-sama kita usahakan :)
27 May 2014
Majlis Ta'lim 16 Mei 2014
Tafsir al Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali
Al Habib menyambung perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 164-168. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:
- Kehadiran Rasulullah ﷺ adalah sebagai hadiah daripada Allah SWT kepada semua orang beriman. Dengan perutusannya, baginda Rasulullah ﷺ membawa ajaran yang membolehkan kita membezakan yang haq dan yang batil, dan sifat kemanusiaan baginda menjadikan baginda sesuai dijadikan teladan oleh kita semua.
- Tugas Rasulullah ﷺ ialah sebagai guru yang membacakan ayat-ayat kebesaran dan wahyu Allah, mensucikan hati dan jiwa (at-tazkiyah) dan mengajarkan hikmah (at-ta’lim) Al-Quran dan hadis. Turutan ini - membaca, mensucikan, mengajarkan hikmah adalah penting kerana ilmu tanpa pembersihan jiwa belum tentu akan membawa manfaat kepada seseorang.
- Pendekatan Rasulullah ﷺ telah mengangkat kedudukan bangsa Arab yang dahulunya dilihat sebagai masyarakat yang terkebelakang sehingga digeruni dan menjadi sebutan kuasa-kuasa besar seperti Romawi dan Persia.
- Sebagai hamba, kita tidak berhak menyoal Allah SWT kenapa kita diduga. Sebaliknya, sebagai orang beriman kita perlu mengambil ikhtibar dan bertaubat atas kekhilafan yang dilakukan.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis terakhir (16) daripada Bab 57, kitab Riyadhus Solihin. Dalam hadis ini Nabi ﷺ menyatakan bahawa adab orang miskin yang sebenar ialah tetap menjaga airmukanya daripada meminta-minta. Jadi, untuk memenuhi keperluannya, orang berkemampuanlah yang perlu ambil berat dan memberi kepada mereka SEBELUM mereka meminta-minta. Dalam menerangkan hadis ini, Al Habib membawakan kisah bagaimana prihatinnya Al Imam Ali ibnu Husain bin Ali bin Abi Talib kepada orang miskin pada zamannya. Dipersilakan mendengar sendiri kisah ini daripada rakaman di atas
Kemudian, hadis tunggal daripada Bab 58: ‘Boleh Mengambil Tanpa Meminta’ dibacakan. Hadis ini mengajarkan bahawa walaupun syariat melarang kita meminta-minta, tetapi sekiranya pemberian datang tanpa kita meminta, adabnya ialah menerimanya. Walaupun tak diperlukan sekalipun, ambil dan berilah pada orang lain, tetapi jangan ditolak.
Seterusnya, hadis 1-5 daripada Bab 59: ‘Anjuran Makan Dari Hasil Usaha Tangan Sendiri & Menahan Diri Meminta dan Menuntut Diberi’ dibahaskan. Hadis-hadis tersebut mengajarkan keutamaan mencari rezeki sendiri agar umat Islam tidak malas. Kerja yang dilakukan boleh menjadi satu ibadah jika diniatkan untuk memenuhi keperluan diri agar tidak membebankan orang lain, untuk menyara keluarga, untuk menyara ibu bapa dan seumpamanya.
Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan pada halaman 170 dengan menyenaraikan adab-adab dalam bersahabat. Antaranya ialah:
- Memulakan memberi salam kepadanya
- Mengucapkan terima kasih atas bantuannya
- Meluaskan tempat untuknya dalam satu-satu majlis.
Ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis
daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat
penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan jangan segan-segan
untuk berkongsi dengan yang lain kerana tanggungjawab orang yang mendapat ilmu
ialah menyampaikan pula kepada yang lain. Jom sama-sama kita usahakan J
Majlis Ta'lim 9 Mei 2014
Tafsir al Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Tausiyah Istimewa: Al Habib Ahmad Bin Husein al Aidid
Al Habib menyambung perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 160-162. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:
- Untuk mendapatkan bantuan Allah SWT, seseorang perlu ikhlas memperjuangkan agama Allah SWT, dan tidak menunggu sahaja seumpama orang memancing tanpa umpan. Tetapi bilamana kalah atau pertolongan Allah tidak sampai, muhasabahlah diri kerana pasti berlaku kesilapan atau ketidaktelusan niat dalam perjuangan itu.
- Orang yang menjadi panglima perang (pemipin) mestilah seorang yang soleh, kerana dia akan menjadi sebab datangnya bantuan daripada Allah SWT, dan dia juga akan memastikan anak-anak buahnya mentaati perintah dan larangan Allah.
- Kekuatan iman adalah lebih utama berbanding kekuatan senjata. Terdapat banyak contoh perang yang berlaku sebelum ini di mana umat Islam tidak punya kekuatan yang setanding dengan musuh, namun tetap mendapat kemenangan.
- Tinggalkan kebergantungan kita kepada sebab, tapi jangan tinggalkan sebab. Oleh itu, seseorang masih perlu berusaha berubat jika sakit, masih perlu mencari rezeki untuk makan dan seumpamanya, tapi yang mengizinkan kesembuhan, memberi rezeki dan segalanya ialah Allah SWT.
- Al-Quran banyak merekodkan jawapan Allah SWT kepada orang yang mentohmah Rasulullah ﷺ.
- Setiap orang yang mengambil harta secara khianat, dia akan menanggung harta itu di lehernya di akhirat nanti. Nabi ﷺ ingin mengajarkan agar kaum muslimin tidak menodai niat perjuangan mereka kerana menginginkan harta orang kafir.
Dalam perbahasannya, Al Habib turut membawakan beberapa kisah menarik yang berkisar kepentingan kualiti tentera Thalut, kepetingan berusaha dan bertawakal. Untuk mengetahuinya, dipersilakan menonton rakaman video di atas.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 14 dan 15 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin. Antara pengajaran yang perlu kita ambil ialah:
- Siapa yang mahu dijamin untuk masuk ke syurga oleh Rasulullah ﷺ, jangan meminta apa-apa daripada orang lain, dan lazimkan membaca doa selepas azan.
- Tiga golongan yang dibenarkan meminta ialah meminta untuk membantu orang lain, orang yang faqir dan orang yang kehilangan segala hartanya dalam sesuatu musibah.
- Hanya orang yang hatinya keras dan tertutup tidak risau jika dia tidak dapat berjumpa Rasulullah ﷺ. Oleh itu, kita perlu ada keinginan bertemu Rasulullah ﷺ untuk mencontohi kepada para sahabat Rasulullah ﷺ.
- Nabi ﷺ juga menjamin syurga bagi sesiapa yang menjaga lidah dan kemaluannya hanya kepada yang hak. Kenapa Nabi ﷺ menjaminnya? Kerana perkara ini sukar dilakukan manusia. Oleh itu, latih diri kita untuk diam kerana itu yang lebih selamat.
Kitab Bidayatul Hidayah tidak dibacakan minggu ini untuk memberi laluan kepada tausiyah tetamu istimewa dari Yaman iaitu Habib Ahmad bin Hussein al Aidid, yang juga merupakan guru kepada Al Habib Ali Zaenal Abidin sebelum ini. Antara mutiara ilmu yang dikongsikan beliau adalah:
- Niatkan mencari ilmu untuk meraih hidayah Allah SWT, kerana dengan itu, seseorang akan lebih bersungguh dan telus agar ilmu itu membawanya ke jalan Allah SWT.
- Kita mestilah mengambil ilmu daripada guru yang bersanad bersambung sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sanad yang perlu diperhatian kerana selalu dilupakan orang ialah sanad tazkiyah yakni mengambil ilmu daripada seseorang yang memahami ilmu yang disampaikan, menghayati dan membersihkan jiwa daripada sifat-sifat lalai.
- ‘Buah’ yang sepatutnya ada pada orang-orang yang menghadiri majlis-majlis seumpama ini ialah pakaian perasaan takut kepada Allah, merasakan Allah sebagai pengawas kepada dirinya, dan berasa sentiasa dipantau Allah SWT.
- Adalah menjadi tanggungjawab kita yang mendapat ilmu untuk menyampaikan kepada yang lain khususnya keluarga, jiran, dan sahabat handai agar manfaatnya dapat dikongsi bersama.
- Orang yang hatinya dihidupkan dan bercahaya, pasti dia suka kepada Al Quran, suka menyebut nama Allah, suka kepada ketaatan, dan benci kepada kemaksiatan. Ini sesuai dengan kata-ata Saiyyidina Uthman bin Affan, “Kalau hati kita bersih, pasti takkan kenyang dengan Al Quran.”
Sebenarnya banyak lagi manfaat ilmu yang tidak mampu dikongsikan melalui catatan ringkas ini semata-mata. Oleh itu, dipersilakan membuka hati dan menadah telinga untuk menonton rakaman video di atas untuk manfaat sepenuhnya. Dipersilakan berkongsi bersama yang lain, kerana bak kata Al Habib - itu adalah tanggungjawab orang-orang yang mendapat ilmu ;)
Rakaman Maulid Mei 2014
Rakaman Bacaan Maulid Dhiya Ullami
Ustaz Hasan Saifouridzal : Keberkahan Majlis
Tausiyah : Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid : Bulan Yang Di Muliakan
Majlis diserikan dengan kehadiran rombongan dari Singapura, di ketuai Pemimpin Majelis Rasulullah ﷺ Singapura iaitu Al-Fadhil Ustaz Hasan Saiful Rizal. Beliau membuka tirai tausiyah dengan memberikan pesanan yang ringkas dan padat. Antaranya ialah beliau mengingatkan agar kita sama-sama memperbaharui dan memperbanyakkan taubat, mengingati dan bersyukur kepada Allah kerana Allah telah menyampaikan kita di bulan Rejab yang mulia ini. Beliau juga mengajarkan agar kita istiqamah mengucapkan istighfar berikut (rujuk poster) sebanyak 70x setiap hari dalam bulan ini. Untuk tahu fadhilatnya, dipersilakan menonton rakaman video yang disertakan
Sebelum memulakan perbahasan sifat Rasulullah ﷺ untuk kali ini, guru kita, Al Habib Zaenal Abidin juga berpesan agar kita menteladani sifat ‘suka beristighfar’ baginda Rasulullah ﷺ dan meningkatkan amal ibadah agar kita termasuk orang-orang yag mengambil maafaat daripada keberkatan bulan Rejab ini.
Sifat Rasulullah ﷺ yang dibahaskan kali ini untuk dijadikan teladan kita semua ialah tawadhuk. Antara isi penting yang dibawakan oleh Al Habib adalah seperti berikut:
- Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Saya, kalau nak makan, makan cara hamba sahaya, dan saya, kalau nak duduk, duduk cara hamba sahaya.” Rasulullah ﷺ menampakkan tawadhuknya dalam cara makan dan duduk apatah lagi dalam berinteraksi dengan kaum muslimin. Bahkan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah SWT juga disantuni dengan baik oleh baginda Rasulullah ﷺ.
- Baginda Rasulullah ﷺ tidak pernah menisbahkan sebarang kejayaan dakwah kepada dirinya sendiri, walaupun baginda adalah paling berjaya dalam dakwahnya ke jalan Allah Ta'ala . Baginda dididik Allah SWT untuk tawadhuk walaupun namanya sudah masyhur sebelum jasadnya diciptakan lagi.
- Kerana sifat tawadhuknya, baginda tak pernah merendahkan orang lain dan baginda sangat menjaga perasaan hati orang-orang yang dipandang hina oleh masyarakat seperti golongan hamba dan orang miskin.
- Baginda suka menyampaikan hajat orang, mengangkat kesusahan dan mempermudahkan urusan orang lain kerana orang yang menyampaikan hajat orang lain, Allah akan menyampaikan hajatnya nanti di akhirat, orang yang mengangkat kesusahan orang lain di dunia, Allah akan mengangkat kesusahannya di akhirat dan orang yang memberi kemudahan kepada orang yang susah di dunia, maka akan dimudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Sayangnya, realiti hari ini, majoriti daripada kita lari daripada menunaikan hajat orang lain, dan suka mempersulitkan kepada orang lain. Mengapa kita melakukan sebaliknya daripada apa yang diajarkan Rasulullah ﷺ?
- Antara orang yang akan mendapat syafaat baginda Nabi ﷺ di hari akhirat nanti ialah orang yang suka menolong orang lain ketika di dunia dan orang yang mengamalkan membaca doa selepas azan.
- Jika kita tidak mampu membantu atau memberi kesenangan kepada orang lain, jaga diri kita – lidah dan anggota tubuh seluruhnya daripada menyakiti orang lain, tak kira dalam bentuk apa sekalipun sama ada tulisan, kata-kata atau perbuatan. Semua anggota tubuh badan kita adalah amanah yang akan menjadi saksi kepada segala perbuatan kita di akhirat nanti. Jadi, jangan biarkan mereka menjadi saksi yang buruk kepada perbuatan-perbuatan maksiat kita.
- Kenalilah isteri-isteri dan anak-anak Baginda Rasulullah ﷺ kerana rumah tangga baginda adalah sebaik-baik teladan kepada isteri, anak-anak dan rumah tangga kita.
Tiada ganti teladan terbaik bagi kita selain daripada Rasulullah ﷺ kerana Rasulullah ﷺ dijadikan Allah SWT untuk membawa kebahagiaan kepada orang yang mahu mengikuti kepada baginda.
Al Habib banyak membawakan kisah-kisah yang berlaku yang menjadi bukti sifat tawadhuk baginda Rasulullah ﷺ. Antaranya ialah kisah:
- Rasulullah ﷺ sabar mendengar hajat wanita tua yang datang kepadanya, walaupun baginda perlu berdiri lama mendengarnya dalam kesibukan rutin harian baginda berdakwah.
- Rasulullah ﷺ memberikan alas duduknya kepada seorang bukan Islam kerana memuliakannya sebagai tetamu sedangkan baginda sendiri duduk di atas tanah.
- Rasulullah ﷺ memberikan wangnya sebagai ganti kepada seorang hamba sahaya yang menangis ketakutan kerana kehilangan wang tuannya dan juga menemankan dia pulang kerana ketakutan dimarahi tuannya kerana pulang lewat.
- jika baginda tidak sendiri tidak dapat membantu, baginda berusaha menjadi orang tengah dan mencarikan orang lain untuk membantu.
Seperti biasa, ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk pemahaman dan manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan dipersilakan berkongsi bersama yang lain. Semoga Allah bimbing kita untuk menteladani segala sifat baik daripada Rasulullah ﷺ. Amin.
23 May 2014
Jemputan ke Majlis Haul Ummul Mukminin - Yayasan al Jenderami
Assalamualaikum
Semua dijemput untuk menghadiri acara tahunan dari Yayasan Al Jenderami: Majlis Haul Ummul Mukminin - Sayyidatina Khadijah al Kubro:
Tarikh: 13 & 14 Jun 2014 (Jumaat dan Sabtu)
Tempat: Kompleks Yayasan Al Jenderami, Dengkil, Selangor
Waze Link: http://waze.to/hw2826u6fq
untuk maklumat lanjut sila ke website rasmi Yayasan al Jenderami:-
http://aljenderami.com.my/
21 May 2014
Pengajian Akbar Kitab Hidayatus Salikin
Assalamualaikum
Muslimin dan Muslimat dijemput untuk ikut serta dalam Pengajian Akbar Kitab Hidayatus Salikin yang akan dipimpin oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki, yang merupakan Timbalan Syeikhul Maahad, Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Kedah.
Butiran pengajian adalah seperti berikut:
Tempat: Masjid Wilayah Persekutuan
Tarikh: 5-8 Jun 2014
(Sempena musim cuti persekolahan pertengahan tahun)
Waktu: 9.00 pagi hingga 9.30 malam
Bayaran penyertaan: RM150.00
(termasuk makan minum, penginapan dan pengangkutan)
Sila hubungi Cik Suriati/Tengku Khalidah untuk makluman persetujuan kehadiran.
Tel: 03- 614 21 614/ sms whatsapp: 013 -669 7992/019-319 8195
Majlis pengajian akan didahului oleh Seminar Syeikh Abdus Samad al-Falimbani dan Pemikirannya pada pagi hari pertama.
Mari kita hebahkan maklumat ini untuk manfaat bersama :)
...
12 May 2014
Majlis Ta'lim 25 April 2014
Tafsir al Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali
Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta'ala, satu lagi episod pengajian MTDM telah berjalan lancar di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 25.04.2014 yang lalu.
Al Habib menyambung perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 155-159. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:
- Punca khilaf dan pelanggaran yang dilakukan manusia adalah kerana tipu daya syaitan. Namun begitu, syaitan tak punya kekuatan untuk memaksa manusia tetapi ia licik menggunakan kelemahan manusia dengan membisikan perasaan was-was. Oleh itu, setiap orang perlu mengetahui kelemahan diri sendiri dan memperbaikinya, agar pintu kelemahan itu tidak menjadi laluan syaitan untuk menjerumuskannya kepada kemungkaran Allah SWT.
- Walaupun kaum Muslimin melakukan pelanggaran, Allah telah mengampunkan mereka kerana mereka ikhlas berjuang bersama Rasulullah ﷺ. Dua kali Allah sebut pengampunan kepada mereka, agar tiada antara kita yang menyalahkan mereka. Dosa mereka adalah kepada Allah, dan telahpun Allah ampunkan, jadi kita tiada hak untuk terus mencaci kepada mereka.
- Bila berlaku yang tidak dikehendaki, jangan banyak menggunakan “andai” kerana ia akan membuka pintu syaitan. Bila keluar dengan kereta dan pancit, jangan kata, “Andai tadi naik LRT.” Sebaliknya ucapkan: “Allah sudah mentakdirkan apa yang dikehendaki-Nya, maka itu yang akan terjadi.”
- Kematian dan kehidupan bukan milik sesiapa, tapi milik mutlak Allah SWT. Keampunan dan rahmat Allah SWT kepada seseorang yang mati ketika berjihad atau ketika melakukan ketaatan kepada Allah adalah lebih bernilai daripada harta dunia yang dikumpulkan.
- Nabi ﷺ disuruh berlemah-lembut dan memohon kemaafaan kepada mereka yang melanggar arahan baginda semasa peperangan. Nabi ﷺ tak diizinkan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan sifat rahmat yang telah dilabel pada diri baginda. Inilah tarbiyaah rabbaniyyah yang perlu dijadikan teladan agar rohani terdidik untuk tidak punya sifat marah, dengki atau dendam.
- Bermesyuratlah sebelum mengambil sesuatu keputusan kerana ada barakah di dalamnya. Mesyuarat tidak bermakna yang pandangan semua orang akan diterima, tetapi adalah untuk mendengar pandangan dan memutuskan yang terbaik. Setelah keputusan diambil, bertawakallah kepada Allah SWT. Walau apa pun kesan keputusan itu, orang yang bertawakal akan redha dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah demi mendapatkan kemuliaan kasih-sayang Allah.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 12 dan 13 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin.
Hadis-hadis ini mengingatkan kita supaya meminta hanya pada Allah, dan bukan pada makhluk, kecuali meminta hak dirinya yang ada pada pihak berkuasa. Dalam membahaskan hadis-hadis ini, Al Habib bercerita lanjut tentang perawi hadis yang merupakan pemuda-pemuda istimewa pada zaman Rasulullah ﷺ. Mereka ialah Sayyidina Abdullah ibnu Mas’ud, Sayyidina Samurah bin Jundub dan Sayyidina Rafi’ bin Khudai. Untuk mengetahui kisah-kisah menarik mereka, dipersilakan menonton rakaman video di atas.
Seterusnya, kongsikan kisah-kisah itu bersama yang lain, terutamannya anak-anak muda agar menjadi sumber inspirasi dan teladan kepada mereka.
Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan pada halaman 167 dengan menyenaraikan tiga golongan manusia iaitu:
- Orang yang seperti makanan asas, yakni yang sentiasa diperlukan.
- Orang yang seperti ubat, yakni yang diperlukan pada masa-masa tertentu, dan bukan pada setiap masa.
- Orang yang seperti penyakit yang perlu dijauhi, walaupun terkadang dipertemukan dengannya, maka seseorang perlu mengambil langkah bijak agar selamat daripadanya.
Seterusnya, Al Habib membahaskan hak-hak dalam persahabatan. Dua daripadanya ialah:
1. Mendahulukan orang lain berbanding diri sendiri dalam perkara yang dibolehkan.
2. Ziarah-menziarahi.
Dalam penerangannya, Al Habib membacakan firman Allah SWT yang bermaksud, “Wajib mendapat kasih-sayang Aku kepada 2 orang yang saling kasih-mengasihi kerana Aku.”
Oleh itu, dalam persahabatan, jangan kita hanya melihat pada baiknya sahabat itu, atau keseronokan dan hiburan yang kita peroleh daripadanya, tetapi kaitkan dalam bersahabat itu dengan apa yang kita boleh dapat daripada Allah SWT agar persahabatan itu mempunyai nilai ibadah.
Sebelum menutup sesi pengajian kali ini, Al Habib mengingatkan bahawa ada pihak tertentu yang menggunakan namanya untuk berinteraksi di laman sosial seperti ‘Twitter’ dan ‘Facebook’. Oleh itu, sebagai panduan, saluran rasmi komunikasi Al Habib hanyalah seperti yang disenaraikan dalam poster berikut:
Ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan dipersilakan berkongsi bersama yang lain.
...
10 May 2014
Kuliah Magrib di Masjid al Ansar, Jalan Enggang Timur, Taman Keramat.
Assaalmualaikum
Semua dijemput hadir ke Kuliah Magrib bersama al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid seperti berikut:
Tarikh: 14 & 28 Mei 2014 (Rabu) (Minggu ke 2 dan ke 4 setiap bulan
Masa: Selepas Magrib
Tempat: di Masjid al Ansar, Jalan Enggang Timur, Taman Keramat.
Sama-sama kita azamkan untuk hadir dan hebahkan insyaAllah.
04 May 2014
UITM Shah Alam Berselawat 2014
Assalamualaikum
Semua dijemput hadir ke Majlis UITM Shah Alam Berselawat pada 7 Mei 2014, Rabu, 7.30Malam (solat Maghrib Berjemaah) di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, Shah Alam. Antara yang memeriahkan majlis adalah al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar al Hamid serta kumpulan Ahbabul Habib.
Mari sebarkan untuk manfaat semua :)
27 April 2014
Majlis Ta'lim 18 April 2014
Tafsiral Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali
Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada 18.04.2014 diteruskan di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid. Al Habib membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 153-154. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:
- Allah Ta'ala takkan memberi kemenangan kepada Islam apabila berlaku pelanggaran kepada Allah dan Rasul-Nya. Niat tidak menghalalkan cara. Jika kaum Muslimin menang dalam Perang Uhud, maka akan dikatakan kaum Muslimin boleh menang dengan pelanggaran kepada perintah Rasulullah ﷺ. Jadi, kekalahan yang berlaku menjadi bukti bahawa kemenangan hanya boleh berlaku dengan kebenaran. Islam tak mungkin tinggi dengan perkara yang batil.
- Jangan sedih jika keinginganan tak kesampaian atau apabila musibah menimpa kerana disebalik itu, ada sejuta rahsia kemenangan yang tersirat.
- Orang yang tak mahu mati akan tetapi didatangi kematian. Mereka lari daripadanya, tetapi kematian itu akan menunggu mereka di hadapan. Kematian tak bertempat untuk kita menjauhinya, sebaliknya ia sentiasa menunggu kita.
- Tidur merupakan nikmat daripada Allah SWT dan juga merupakan tentera Allah SWT yang memberi manfaat kepada mereka yang mendapatkannya.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 7-10 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin.
Hadis-hadis ini menekankan sifat al-Iffah, yakni supaya tidak meminta-minta daripada orang lain dan merasa cukup dengan rezeki yang telah diberikan oleh Allah SWT. Maka, menjaga air muka daripada meminta kepada orang lain adalah perkara yang diperintahkan agama kita agar kita tidak membiasakan diri meminta kepada orang secara terang-terangan ataupun secara sindiran. Jika ingin meminta, mintalah pada Allah Ta’ala, walaupun sekecil mana hal dan permintaan itu. Orang yang berdiri di hadapan pintu Allah, dia takkan pulang dengan tangan kosong.
Dalam perbahasannya, Al Habib berkongsi beberapa kisah, antaranya: Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah ﷺ “Apakah satu amalan yang jika dilakukan, Allah akan sayang kepada saya, dan manusia pun akan sayang kepada saya?” Jawab baginda, “Hiduplah kamu zuhud di dunia, maka Allah suka kepada kamu. Hiduplah kamu zuhud dengan apa yang dimiliki orang lain (yakni tak merasa ingin memiliki apa yang dimiliki orang lain), manusia pun akan sayang kepada kamu.”
Ada beberapa lagi kisah-kisah pengajaran yang dikongsikan oleh Al Habib, siapa tak tengok dan dengar sendiri, memang rugi!:) Seperti biasa, pautan rakaman video disertakan di atas.
Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan dengan membincangkan dua lagi sifat yang perlu ada dalam kita memilih sahabat, iaitu:- Jangan bersahabat dengan orang yang tamak dunia, kerana ‘penyakit’ tamaknya itu akan mudah menular kepada kita tanpa disedari dan jangan bersahabat dengan pendusta.
Al Habib turut berkongsi madah kata daripada Imam Al-Haddad yang berbunyi: “Barangsiapa duduk dengan orang yang baik, Allah akan tanamkan kecenderungan kepada orang itu untuk buat baik. Orang yang bersahabat dengan orang yang tidak baik, akan berpindah juga perangai tidak baiknya itu.”
Catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan kongsi-kongsikan bersama yang lain.
20 April 2014
Majlis Ta'lim 11 April 2014
Tafsir al Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali
Tausiyah Istimewa - Habib Abdurrahman Al Habsyi
Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada
11.04.2014 di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al
Hamid telah berjalan lancar. Al Habib membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat
149-152. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil
beberapa pengajaran, antaranya:
- Adalah penting untuk kita taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah ﷺ , walaupun perkara yang disuruh itu susah untuk ditunaikan. Dalam ayat yang dibincangkan, sahabat yang luka-luka kesan daripada Perang Uhud diminta oleh Rasulullah ﷺ untuk keluar semula dan bersedia menghadapi musuh yang dikhabarkan akan tiba. Dalam keadaan yang mencabar fizikal dan spiritual mereka itu, mereka mentaati perintah Rasulullah ﷺ lalu Allah memberi kemenangan kepada mereka.
- Pada setiap zaman, akan ada ajakan untuk melawan Allah dan Rasul-Nya. Sebelum kaum Muslimin keluar semula, ada ajakan daripada kaum munafiqin agar mereka tidak mentaati perintah Rasulullah ﷺ. Sendainya kaum Muslimin mendengar ajakan itu, pasti mereka akan kalah kerana hanya ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya yang akan membawa kejayaan.
Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid ketika membahaskan tafsir Surah Ali Imran di Majlis Ta'lim Darul Murtadza |
- Allah adalah sebaik-baik Penolong. Walaupun kaum Muslimin keluar tanpa bekal senjata dan kekuatan, Allah memberi mereka kemenangan dengan menjadikan musuh berasa gerun kepada mereka dan berpatah balik sebelum tiba lagi.
- Kaum Muslimin dididik bahawa mati bukanlah penghujung kepada kehidupan. Oleh sebab itu, mereka yang masuk ke medan perang kerana Allah tidak takut sekiranya mereka mati atau hidup, kalah atau menang, kerana kedua-duanya akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah.
- Dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, Allah pasti akan menunaikan janji-Nya untuk memberi kemenangan. Tetapi, jika sebaliknya, maka kaum Muslimin tidak dibantu Allah SWT. Inilah pengajaran yang perlu diambil dalam kisah ini, di mana oleh kerana sebahagian Muslimin yang melanggar perintah Allah SWT, 70 orang Islam mati syahid, ramai yang cedera termasuk Rasulullah ﷺ.
- Walaupun perbuatan sebahagian Muslimin yang melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya menyebabkan kekalahan kaum Muslimin, Allah telah memaafkan mereka. Maka, kita tidak layak untuk terus mengorek kisah ini dan mencaci, menjatuhkan maruah para sahabat Nabi ﷺ.
Sebahagian yang hadir di Majlis Ta'lim Darul Murtadza |
Seterusnya, hadis 4, 5, dan 6 daripada bab ‘Tentang Hidup
Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan
Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak
Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin diperbincangkan.
Hadis 4 menceritakan tentang Perang Dzatu-Riqa’ di mana 6
orang terpaksa bergilir-gilir menunggang 4 ekor unta. Keadaan padang pasir yang
panas terik dan jauhnya perjalanan menyebabkan mereka terpaksa mengoyakkan
kain, seluar, selendang untuk membalut selipar mereka yang menipis, dan juga
melindungi kaki mereka yang cedera sehingga ada yang tercabut kukunya.
Turut hadir, al Habib Abu Bakar Bin Salim al Hamid, ayahanda al Habib Ali Zaenal Abidin al Hamid |
Dalam menyatakan iktibar yang perlu kita ambil, Al Habib
berkata: “Ini menunjukkan yang agama ini sampai kepada kita bukan dengan tidur.
Agama yang kita nikmati sekarang ini menjadi amanah kepada kita. Agama ini
sampai kepada kita setelah sekian banyaknya pengorbanan yang dilakukan oleh
sahabat – nyawa mereka dikorbankan, tenaga mereka dikorbankan.” Al Habib seterusnya
berpesan agar kita tidak menjual maruah agama ini dengan perkara-perkara yang
bersifat keduniaan.
Antara pengajaran-pengajaran lain ialah:
- Sebaik-baiknya jangan diceritakan kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain. Biarlah ia menjadi rahsia antara kita dan Allah. Hanya jika rasa diri kuat daripada rasa riak, dan demi menunjukkan teladan, barulah boleh diceritakan.
- Nabi ﷺ menekanan sifat ‘iffah’, yakni agar kita tidak meminta-minta secara terang-terangan ataupun sindiran. Orang yang menjaga sifat ini akan dikasihi baginda Nabi ﷺ. Sayangnya, zaman sekarang ini ramai orang meminta-minta walaupun berharta kerana hatinya miskin, dan hatinya fakir dan tiada sifat qanaah.
- Jika nak memberi, dahulukan orang yang wajib diberi nafkah, yakni ahli keluarga. Orang yang melampau dalam bersedekah (yakni memberi kepada orang lain, tapi tidak kepada keluarga) adalah seumpama tidak bersedekah.
Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan pada muka
surat 164, sambungan bab ‘Cara Memilih Sahabat’. Dalam membahaskan kepentingan
memilih sahabat yang baik akhlaknya, Al Habib memetik kata-kata Imam Al-Haddad
yang berbunyi:
“Orang yang berkumpul dengan orang baik, akan dikumpulkan bersama orang yang baik walaupun pada awalnya dia tidak baik. Orang yang berkumpul dengan orang yang tidak baik, akan dikumpulkan dengan orang yang tak baik, walaupun pada asalnya dia baik.”
Al Habib AbdurRahman Bin Muhammad al Habsyi (kanan) |
Pengajian bersambung dengan tausiyah daripada tetamu
istimewa dari Kwitang, Indonesia: Al Habib Abdul Rahman bin Muhmmad Al-Habsyi.
Antara pesan beliau ialah agar kita membaca kitab ‘Nasihat Agama dan Wasiat
Iman’. Untuk mendapatkan pesanan dan pengajaran lengkap daripada kedua-dua
Habaib, dipersilakan menonton video pada pautan yang disertakan di atas. Seperti
biasa, dipersilakan berkongsi dengan seraimai yang mungkin ;)
17 April 2014
Senarai Akaun Rasmi Majlis Ta'lim Darul Murtadza serta Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar al Hamid
Berikut adalah Senarai Akaun Media Sosial Rasmi DMajlis Ta'lim Darul Murtadza (MTDM) dan Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid:-
Laman Web Rasmi: darulmurtadza.com
Facebook:
darulmurtadza
Habib Ali Zaenal Abidin al Hamid
Twitter:
@darul_murtadza
@alialhamid74
Pihak MTDM tidak bertanggungjawab atas status, respon serta aktiviti-aktiviti di dalam akaun-akaun selain dari yang tersenarai di atas. Teruskan hadiri dan menghebahkan majlis-majlis ilmu khususnya Majlis Ta'lim Darul Murtadza, yang diadakan setiap Jumaat, selepas Isyak, di Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur...
Jumpa di sana :) #darulmurtadza
13 April 2014
Rakaman Maulid Bulanan April 2014
Alhamdulillah, setinggi-tingi pujian kepada Allah Yang Esa, yang dengan izin-Nya, Maulid Bulanan Majlis Ta'lim Darul Murtadza, di bawah pimpinan guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid, telah berlangsung dengan jayanya.
Tausiyah dibuka dengan lantunan qasidah “Qad Kafani” yang merupakan luahan dan rintihan hati seorang yang ‘arif dan abid - Imam Abdullah ibnu Alwi Al-Haddad. Ini bersesuaian dengan akhak Rasulullah ﷺ yang menjadi tajuk perbincangan kali ini iaitu sifat suka berdoa.
Al Habib menerangkan bahawa intipati qasidah ini ialah kepentingan doa, yang merupakan senjata ampuh bagi seseorang untuk mendapatkan pemberian yang tidak boleh diberi oleh sesiapa pun juga, melainkan Allah SWT. Al Habib menegur sikap acuh tak acuh kita dalam berdoa dengan berkata, “ Ramai orang berdoa, tapi tidak ramai yang meyakini kehebatan, keampuhan, kekuatan senjata doa.”
Dalam menerangkan kepentingan keyakinan kita kepada Allah ketika berdoa, Al Habib membawakan kisah Nabi Zakaria yang berdoa untuk mendapat zuriat walaupun sedar keadaaan dirinya yang sudah terlalu tua. Oleh kerana keyakinannya yang tinggi kepada Allah, dan tanpa bergantung pada dirinya untuk menjadi asbab, Allah memakbulkan doanya serta-merta dengan diberikan jawapan ketika beliau masih dalam solat, tanpa ditangguh-tangguh lagi.
Satu lagi akhlak para Nabi yang perlu dicontohi ialah sifat mengulang-ulang doa. Rasulullah ﷺ sendiri suka mengulang-ulang sesuatu permintaan sebanyak 3 kali. Sabda baginda, “Allah itu suka kepada hamba yang mengulang-ulang dalam berdoa kepada-Nya.” Dalam contoh yang Al Habib bawakan, dalam mengulangi doanya, Nabi Zakaria juga mempelbagaikan bentuk doanya – ada kalanya dia meminta zuriat yang baik, dan ada kalanya dia meminta zuriat yang boleh membantu urusan dakwahnya. Jadi, teladan kedua yang perlu kita ambil ialah untuk mendoakan agar mendapat zuriat yang baik dan bermanfaat, dan bukan sekadar berdoa untuk mendapat zuriat yang elok rupa parasnya sahaja.
Dalam perbahasannya lagi, Al Habib turut mengajarkan doa yang elok dibaca di samping mengucapkan tahniah kepada orang yang baru mendapat cahaya mata. Doanya adalah seperti dalam poster di bawah:
Akhlak Rasulullah ﷺ yang kedua yang dibincangkan ialah sifat suka memaafkan kesilapan orang lain. Nabi ﷺ pernah memberi amaran yang umatnya akan ditimpa penyakit kaum-kaum sebelum ini iaitu penyakit hasad dengki dan benci.
Sifat suka memaafkan akan dapat menghapuskan salah satu daripadanya, iaitu penyakit benci di dalam hati. Terang Al Habib lagi, “Bilamana kebencian ada di dalam hati, ia akan mencukur agama orang yang membela ‘penyakit’ itu.” Oleh sebab itu, Allah Ta'ala berfirman kepada Rasulullah ﷺ untuk mengambil sifat maaf, berbuat baik dan berpaling daripada orang yang jahil. Maksud ‘mengambil sifat maaf’ adalah seperti berikut:
• Menyambung tali-silaturrahim dengan orang yang memutuskannya.
• Memberi kepada orang yang tidak mahu memberi.
• Memaafkan kepada orang yang berlaku zalim kepada kamu.
Seterusnya Al Habib berkongsi beberapa kisah daripada hadis tentang sifat pemaaf Rasulullah ﷺ dan sifat ‘al-ikhtimal’ iaitu menanggung sikap tidak baik orang lain terhadap dirinya. Antaranya ialah kisah Rasulullah ﷺ dan seorang Badwi penjual unta, kisah Rasulullah ﷺ dan seorang Badwi yang meminta zakat, dan juga kisah Nuaiman, sahabat Rasulullah ﷺ yang suka bergurau.
Kesemua kisah ini dan banyak lagi pengajaran berguna boleh anda tonton sendiri daripada rakaman video di atas. Di samping itu, jangan lupa buat catatan, dan berazam untuk mengamalkan pengajarannya dan berkongsi dengan orang lain juga. Moga-moga sedikit usaha kita ini akan diberkati dan diberikan ganjaran pahala yang tinggi di sisi-Nya kelak. Amin Allahumma Amin.
Subscribe to:
Posts (Atom)