27 May 2014

Rakaman Maulid Mei 2014


Rakaman Bacaan Maulid Dhiya Ullami 




Ustaz Hasan Saifouridzal : Keberkahan Majlis 



Tausiyah :  Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid : Bulan Yang Di Muliakan 



Alhamdulillah, setinggi-tingi pujian kepada Allah Yang Maha Esa, yang dengan izin-Nya, Maulid Bulanan Majlis Ta'lim Darul Murtadza, di bawah pimpinan guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid, telah berlangsung dengan jayanya pada 02.05.2014 yang lalu.

Majlis diserikan dengan kehadiran rombongan dari Singapura, di ketuai Pemimpin Majelis Rasulullah ﷺ Singapura iaitu Al-Fadhil Ustaz Hasan Saiful Rizal. Beliau membuka tirai tausiyah dengan memberikan pesanan yang ringkas dan padat. Antaranya ialah beliau mengingatkan agar kita sama-sama  memperbaharui dan memperbanyakkan taubat, mengingati dan bersyukur kepada Allah kerana Allah telah menyampaikan kita di bulan Rejab yang mulia ini. Beliau juga mengajarkan agar kita istiqamah mengucapkan istighfar berikut (rujuk poster) sebanyak 70x setiap hari dalam bulan ini. Untuk tahu fadhilatnya, dipersilakan menonton rakaman video yang disertakan



Sebelum memulakan perbahasan sifat Rasulullah ﷺ untuk kali ini, guru kita, Al Habib Zaenal Abidin juga berpesan agar kita menteladani sifat ‘suka beristighfar’ baginda Rasulullah ﷺ dan meningkatkan amal ibadah agar kita termasuk orang-orang yag mengambil maafaat daripada keberkatan bulan Rejab ini.




Sifat Rasulullah ﷺ yang dibahaskan kali ini untuk dijadikan teladan kita semua ialah tawadhuk. Antara isi penting yang dibawakan oleh Al Habib adalah seperti berikut:


  • Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Saya, kalau nak makan, makan cara hamba sahaya, dan saya, kalau nak duduk, duduk cara hamba sahaya.” Rasulullah ﷺ menampakkan tawadhuknya dalam cara makan dan duduk apatah lagi dalam berinteraksi dengan kaum muslimin. Bahkan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah SWT juga disantuni dengan baik oleh baginda Rasulullah ﷺ.
  • Baginda Rasulullah ﷺ tidak pernah menisbahkan sebarang kejayaan dakwah kepada dirinya sendiri, walaupun baginda adalah paling berjaya dalam dakwahnya ke jalan Allah Ta'ala . Baginda dididik Allah SWT untuk tawadhuk walaupun namanya sudah masyhur sebelum jasadnya diciptakan lagi.
  • Kerana sifat tawadhuknya, baginda tak pernah merendahkan orang lain dan baginda sangat menjaga perasaan hati orang-orang  yang dipandang hina oleh masyarakat seperti golongan hamba dan orang miskin. 
  • Baginda suka menyampaikan hajat orang, mengangkat kesusahan dan mempermudahkan urusan orang lain kerana orang yang menyampaikan hajat orang lain, Allah akan menyampaikan hajatnya nanti di akhirat, orang yang mengangkat kesusahan orang lain di dunia, Allah akan mengangkat kesusahannya di akhirat dan orang yang memberi kemudahan kepada orang yang susah di dunia, maka akan dimudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Sayangnya, realiti hari ini, majoriti daripada kita lari daripada menunaikan hajat orang lain, dan suka mempersulitkan kepada orang lain. Mengapa kita melakukan sebaliknya daripada apa yang diajarkan Rasulullah ﷺ?
  • Antara orang yang akan mendapat syafaat baginda Nabi ﷺ di hari akhirat nanti ialah orang yang suka menolong orang lain ketika di dunia dan orang yang mengamalkan membaca doa selepas azan.
  • Jika kita tidak mampu membantu atau memberi kesenangan kepada orang lain, jaga diri kita – lidah dan anggota tubuh seluruhnya daripada menyakiti orang lain, tak kira dalam bentuk apa sekalipun sama ada tulisan, kata-kata atau perbuatan. Semua anggota tubuh badan kita adalah amanah yang akan menjadi saksi kepada segala perbuatan kita di akhirat nanti. Jadi, jangan biarkan mereka menjadi saksi yang buruk kepada perbuatan-perbuatan maksiat kita.
  • Kenalilah isteri-isteri dan anak-anak Baginda Rasulullah ﷺ kerana rumah tangga baginda adalah sebaik-baik teladan kepada isteri, anak-anak dan rumah tangga kita.

Tiada ganti teladan terbaik bagi kita selain daripada Rasulullah ﷺ kerana Rasulullah ﷺ dijadikan Allah SWT untuk membawa kebahagiaan kepada orang yang mahu mengikuti kepada baginda.

Al Habib banyak membawakan kisah-kisah yang berlaku yang menjadi bukti sifat tawadhuk baginda Rasulullah ﷺ. Antaranya ialah kisah: 

  • Rasulullah ﷺ sabar mendengar hajat wanita tua yang datang kepadanya, walaupun baginda perlu berdiri lama mendengarnya dalam kesibukan rutin harian baginda berdakwah.
  • Rasulullah ﷺ memberikan alas duduknya kepada seorang bukan Islam kerana  memuliakannya sebagai tetamu sedangkan baginda sendiri duduk di atas tanah.
  • Rasulullah ﷺ memberikan wangnya sebagai ganti kepada seorang hamba sahaya yang menangis ketakutan kerana kehilangan wang tuannya dan juga menemankan dia pulang kerana ketakutan dimarahi tuannya kerana pulang lewat.
  • jika baginda tidak sendiri tidak dapat membantu, baginda berusaha menjadi orang tengah dan mencarikan orang lain untuk membantu.

Seperti biasa, ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk pemahaman dan manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan dipersilakan berkongsi bersama yang lain. Semoga Allah bimbing kita untuk menteladani segala sifat baik daripada Rasulullah ﷺ. Amin.









No comments: