13 April 2014

Rakaman Maulid Bulanan April 2014








Alhamdulillah, setinggi-tingi pujian kepada Allah Yang Esa, yang dengan izin-Nya, Maulid Bulanan Majlis Ta'lim Darul Murtadza, di bawah pimpinan guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid, telah berlangsung dengan jayanya.




Tausiyah dibuka dengan lantunan qasidah “Qad Kafani” yang merupakan luahan dan rintihan hati seorang yang ‘arif dan abid - Imam Abdullah ibnu Alwi Al-Haddad. Ini bersesuaian dengan akhak Rasulullah ﷺ yang menjadi tajuk perbincangan kali ini iaitu sifat suka berdoa.

Al Habib menerangkan bahawa intipati qasidah ini ialah kepentingan doa, yang merupakan senjata ampuh bagi seseorang untuk mendapatkan pemberian yang tidak boleh diberi oleh sesiapa pun juga, melainkan Allah SWT. Al Habib menegur sikap acuh tak acuh kita dalam berdoa dengan berkata, “ Ramai orang berdoa, tapi tidak ramai yang meyakini kehebatan, keampuhan, kekuatan senjata doa.” 



Dalam menerangkan kepentingan keyakinan kita kepada Allah ketika berdoa, Al Habib membawakan kisah Nabi Zakaria yang berdoa untuk mendapat zuriat walaupun sedar keadaaan dirinya yang sudah terlalu tua. Oleh kerana keyakinannya yang tinggi kepada Allah, dan tanpa bergantung pada dirinya untuk menjadi asbab, Allah memakbulkan doanya serta-merta dengan diberikan jawapan ketika beliau masih dalam solat, tanpa ditangguh-tangguh lagi.



Satu lagi akhlak para Nabi yang perlu dicontohi ialah sifat mengulang-ulang doa. Rasulullah ﷺ sendiri suka mengulang-ulang sesuatu permintaan sebanyak 3 kali. Sabda baginda, “Allah itu suka kepada hamba yang mengulang-ulang dalam berdoa kepada-Nya.” Dalam contoh yang Al Habib bawakan, dalam mengulangi doanya, Nabi Zakaria juga mempelbagaikan bentuk doanya – ada kalanya dia meminta zuriat yang baik, dan ada kalanya dia meminta zuriat yang boleh membantu urusan dakwahnya. Jadi, teladan kedua yang perlu kita ambil ialah untuk mendoakan agar mendapat zuriat yang baik dan bermanfaat, dan bukan sekadar berdoa untuk mendapat zuriat yang elok rupa parasnya sahaja. 

Dalam perbahasannya lagi, Al Habib turut mengajarkan doa yang elok dibaca di samping mengucapkan tahniah kepada orang yang baru mendapat cahaya mata. Doanya adalah seperti dalam poster di bawah:





Akhlak Rasulullah ﷺ yang kedua yang dibincangkan ialah sifat suka memaafkan kesilapan orang lain. Nabi ﷺ pernah memberi amaran yang umatnya akan ditimpa penyakit kaum-kaum sebelum ini iaitu penyakit hasad dengki dan benci.



Sifat suka memaafkan akan dapat menghapuskan salah satu daripadanya, iaitu penyakit benci di dalam hati. Terang Al Habib lagi, “Bilamana kebencian ada di dalam hati, ia akan mencukur agama orang yang membela ‘penyakit’ itu.” Oleh sebab itu, Allah Ta'ala berfirman kepada Rasulullah ﷺ untuk mengambil sifat maaf, berbuat baik dan berpaling daripada orang yang jahil. Maksud ‘mengambil sifat maaf’ adalah seperti berikut:

Menyambung tali-silaturrahim dengan orang yang memutuskannya.
Memberi kepada orang yang tidak mahu memberi.
Memaafkan kepada orang yang berlaku zalim kepada kamu.



Seterusnya Al Habib berkongsi beberapa kisah daripada hadis tentang sifat pemaaf Rasulullah ﷺ dan sifat ‘al-ikhtimal’ iaitu menanggung sikap tidak baik orang lain terhadap dirinya. Antaranya ialah kisah Rasulullah ﷺ dan seorang Badwi penjual unta, kisah Rasulullah ﷺ dan seorang Badwi yang meminta zakat, dan juga kisah Nuaiman, sahabat Rasulullah ﷺ  yang suka bergurau.

Kesemua kisah ini dan banyak lagi pengajaran berguna boleh anda tonton sendiri daripada rakaman video di atas. Di samping itu, jangan lupa buat catatan, dan berazam untuk mengamalkan pengajarannya dan berkongsi dengan orang lain juga. Moga-moga sedikit usaha kita ini akan diberkati dan diberikan ganjaran pahala yang tinggi di sisi-Nya kelak. Amin Allahumma Amin.



























No comments: