02 June 2014

Majlis Ta'lim 23 Mei 2014





Tafsir al Quran



Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi



Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali




Tausiyah Istimewa: Sheikh Ahmad Dabbagh



Tausiyah Istimewa: Al Habib Muhammad Bin Abdullah Al Aydrus



Tausiyah Istimewa: Al Habib Muhammad Bin Abdul Rahman As-Seggaf (Fattabiouni)





Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Ta'ala yang memberikan kita rezeki menambah ilmu melalui satu lagi siri pengajian MTDM di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid bersama barisan-barisan tetamu istimewa dari pelbagai negara, antaranya hos rancangan “Fattabiouni” yang begitu diminati ramai iaitu Habib Muhammad Abdullah As-Saggaf, Habib Muhammad Abdullah Al-Aydrus, dari Yaman, dan Syeikh Ahmad Ad-Dabbagh dari Manchester, UK. Setinggi-tinggi rakaman terima kasih tidak terhingga kepada mereka semua yang sudi berkongsi mutiara-mutiara ilmu untuk pengajaran dan peringatan kita bersama.

Kelas dimulakan dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 169-173 oleh Al Habib Ali Zaenal Abidin. Dalam perbahasannya, Al Habib merumuskan beberapa pengajaran penting, antaranya:

  • Hakikat kehidupan yang sebenar bukanlah di dunia kerana dunia ini tempat yang penuh ujian dan cabaran. Walaupun pada zahirnya nampak para syuhada itu mati, tetapi mereka sebenarnya telah mendapat hakikat kehidupan yang sebenar, yakni kehidupan penuh nikmat di alam barzakh serta mendapat rezeki berterusan di sisi Allah SWT. 
  • Para syuhada memberikan semangat dengan menyampaikan berita gembira akan nikmat yang mereke perolehi sebagai motivasi kepada orang beriman agar tidak ragu-ragu untuk berjihad di jalan Allah, dan sebagai menunaikan hak menginginkan kebaikan kepada orang-orang beriman yang lain.
  • Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada orang-orang beriman yang sifatnya bersegera dalam menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya, walaupun terkadang apa yang disuruh itu nampak tidak logik di akal seperti disuruh berperang takkala keletihan dan tercedera. Tapi dengan kepatuhan kaum muslimin, Allah berikan kemenangan tanpa mereka perlu mengangkat senjata sekalipun.
Seterusnya, pengajian disambung dengan beberapa potong ayat Al-Quran dan 2 hadis daripada Bab 60 – ‘Pemurah dan Dermawan dalam Kebaikan’, kitab Riyadhus Solihin. Dalam menggalakan untuk bersifat pemurah, Al Habib membawakan hadis Nabi ﷺ yang berbunyi, “Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan syurga, dan jauh dari api neraka. Orang yang bakhil jauh dari Allah, jauh dari syurga, dan dekat dengan neraka.” 

Beberapa pengajaran penting lain yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut:

  • Jangan berasa kedekut ketika berinfak kerana setiap yang dikeluarkan pasti akan diganjarkan oleh Allah SWT, bahkan Allah boleh melipatgandakan pemberian-Nya melebihi apa yang kita keluarkan.
  • Jangan mengungkit atau sesekali merasakan diri berjasa kepada orang yang diberi kerana keuntungan yang kita dapat adalah lebih banyak berbanding bantuan yang kita hulurkan. Sepatutnya kita berterima kasih pada orang yang dibantu kerana membukakan peluang untuk kita mendapat lebih daripada apa yang kita keluarkan. Perbuatan mengungkit akan menghapuskan segala ganjaran dan oleh itu, jaga diri agar tidak terpedaya dengan bisikan jahat syaitan.
  • Allah SWT mengetahui apa yang kamu infakkan, oleh itu, jangan sesekali menjadikan pujian atau sanjungan orang sebagai matlamat dalam menginfakkan harta.
  • Harta yang dikeluarkan itulah yang kekal milik kita, sebaliknya harta yang disimpan boleh jadi milik waris serta-merta apabila kita meninggal dunia. Oleh sebab itu, jangan berlengah-lengah atau kedekut ketika berinfak.

Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan dengan membicangkan adab kepada orang yang baru dikenali. Dalam hal ini, kesederhanaan amatlah diperlukan agar tidak terlalu memuliakan atau memandang rendah kepada seseorang. Di samping itu, apabila berkenalan dengan orang berharta, jangan sesekali menjadikan hartanya itu sebagai tujuan kerana itu akan menyebabkan seseorang itu sehingga sanggup menghinakan dirinya sendiri.

Tausiyah-tausiyah Tetamu Istimewa

Sheikh Ahmad Ad Dabbagh dari Manchester UK turut hadir dan berkongsi ilmu beliau di Majlis Ta'lim Darul Murtadza
Al Habib Muhammad Bin Abdur Rahman As Seggaf (Fattabiouni) dan Al Habib Muhammad Abdullah Al Aydrus yang menyerikan Majlis Ta'lim Darul Murtadza kali ini

Seterusnya, Syeikh Ahmad Ad-Dabbagh dari Manchester, UK, menyampaikan tausiyah ringkas berisi pengajaran penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj - iaitu keutamaan menjaga hubungan silaturrahim. Dalam perbahasannya, Syeikh membawakan kisah bagaimana Sayyidina Abu Hurairah menghalang orang yang memutuskan silaturrahim berada dalam majlisnya kerana dia akan menyebabkan doa-doa yang dipanjatkan dalam majlis itu tertolak. Oleh itu, mari sama-sama kita ambil pengajaran dan ambil inisiatif:

  • untuk menyambung silaturrahim dengan orang yang memutuskannya dengan kita,
  • memberi salam kepada yang orang yang tidak menegur kita,
  •  memberi hadiah kepada yang tidak memberi kepada kita hadiah,
  • memaafkan dan melupakan kesalahan orang pada kita
  • menziarahi mereka yang tidak menziarahi kita dll.


Al Habib Muhammad Bin Abdur Rahman As Seggaf (Fattabiouni) dan Al Habib Muhammad Abdullah Al Aydrus  setelah habis Majlis


Setelah itu, majlis disambung pula dengan tausiyah istimewa daripada Habib Muhammad Abdullah Al-Aydrus dari Yaman. Al Habib pula menekankan kepentingan agar kita mengamalkan apa yang kita telah pelajari dan bermujahadah dengannya. Dengan mengamalkan ilmu, Allah SWT akan menambahkan lagi pula dengan ilmu yang dinamakan ilmu rasa atau ilmu ‘dzaur’. Untuk memahaminya dengan lebih lanjut, dipersilakan menontoh rakaman di atas.

Pembimbing Majlis Ta'lim Darul Murtadza, Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid, menyantuni para hadirin. 


Pengajian diteruskan dengan tausiyah yang sangat-sangat dinantikan ramai iaitu himpunan mutiara kata daripada Tausiyah Habib Muhammad Abdullah As-Saggaf. Antara pesanan beliau yang utama adalah:


  1. Menjaga niat ketika berada di majlis ilmu kerana hati kita dipantau Allah SWT dan Allah membalas sesuai dengan apa yang kita lakukan.
  2. Untuk mendapatkan kebersamaan bersama Nabi Muhammad ﷺ di akhirat nanti, lakukanlah amal perbuatan baik ketika di dunia iaitu dengan kita mendahulukan apa yang disukai, diingini Nabi Muhammad ﷺ berbandingkan kepada apa yang kita inginkan.
  3. Allah akan berinteraksi dengan kita sebagaimana kita berinteraksi dengan makhluk. Oleh itu, jika inginkan Allah beri kemudahan, maka permudahkanlah untuk orang lain, jika ingin Allah beri kemaafan, maka maafkanlah orang lain dan seterusnya.
  4. Jika hadir dalam majlis, isilah tempat kosong di hadapan dan fokus kepada apa yang disampaikan oleh guru. Jangan mudah tertarik perhatian kepada keadaan sekeliling
  5. Kesembuhan ada dalam majlis ilmu, oleh itu, jika sakit datanglah ke majlis-majlis ilmu.


Terlalu banyak lagi perkongsian-perkongsian ilmu yang tak mampu ditampung oleh secebis catitan ini. Oleh itu, untuk manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman-ramakan video di atas dan jangan segan-segan untuk berkongsi dengan yang lain kerana tanggungjawab orang yang mendapat ilmu ialah menyampaikan pula kepada yang lain. Jom sama-sama kita usahakan :)












No comments: