31 March 2014

Majlis Ta'lim 21 Mac 2014



Tafsir al Quran



Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi




Tausiyah Istimewa : Sheikh Mustafa al Nadwi





Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada 21.03.2014 yang lalu telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Ashraff bin Mohamed Osman. Ustaz Ashraff membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 146-148, yang masih berkisar kisah dalam Perang Uhud. Ustaz Ashraff mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:

1. Orang yang ikhlas ialah orang yang tidak mengharapkan harta dunia ataupun pujian orang-ramai dengan amalannya. Orang yang cuma inginkan dunia akan diberi Allah apa yang diingininya, tetapi orang yang cerdik ialah orang yang memilih balasan yang kekal, yakni balasan akhirat.

2. Ketaatan itu akan datang melalui sifat bersyukur kepada Allah SWT. Bila kita sedar betapa banyaknya nikmat yang telah Allah berikan, maka akan datang rasa malu untuk melawan Allah dan timbul rasa ingin mentaati perintah-Nya.

3. Dalam keadaan genting berperang, para sahabat membanyakkan beristighfar, dan inilah yang patut kita contohi takkala ditimpa ujian dan musibah. Ulama juga menggalakkan perkara yang sama kerana dalam sepotong hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barangsiapa yang beristighfar, Allah Ta'ala akan melapangkan rasa gundah-gulananya dan Allah akan memberi rezeki daripada sumber yang tak disangka-sangka.”

Ustaz Mohd Ashraff bin Mohamed Osman


Pengajian diteruskan dengan bacaan bab ‘Keutamaan Sifat Qanaah dan Keburukan Orang Yang Suka Meminta-minta”, kitab Riyadhus Solihin, hadis 4 dan 5. Hadis yang dibacakan menceritakan kepayahan yang dihadapi Rasulullah SAW dan sahabat, namun itu semua tidak menjadi penghalang meraka menunaikan perintah Allah dan berdakwah menyebarkan agama Islam. Jadi, apa alasannya kita masih tak dapat mengikut perintah Allah dan Rasulullah SAW?

Ustaz Ashraff turut membawakan kisah penjual daging yang tertipu dengan syaitan. Jika nak tahu kisahnya, dan pengajaran lain lagi yang telah dikongsikan, dipersilakan menonton rakaman video di atas.

Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi
di Majlis Ta'lim Darul Murtadza, Kuala Lumpur


Kitab Bidayatul Hidayah tidak dibahaskan minggu ini untuk memberi laluan kepada tetamu istimewa - Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi. Oleh kerana gembira melihat wajah-wajah indah para jemaah MTDM, Syeikh membawakan hadis tentang doa Rasulullah SAW untuk keindahan wajah bagi orang yang mendengar, menghafal dan menyampaikan hadis baginda kepada orang lain sepertimana yang didengarinya, sebagai intipati tausiyahnya.

Memetik kata-kata Syeikh Mustafa, “Maka apa yang kita telah dengar daripada hadis Nabi SAW, hendaklah kita menghafalnya, hendaklah kita menjaganya sepertimana kita telah buka dada untuk menerima ilmu ini, maka peliharalah ilmu itu. Kemudian sampaikanlah kepada yang lain, walaupun sedikit, kerana yang mendengar sepotong hadis daripada Nabi SAW, kemudian dia sampaikan kepada yang lain, insyaAllah akan termasuk dalam golongan yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadis ini  – yakni termasuk golongan yang didoakan baginda agar wajahnya menjadi berseri-seri pada hari akhirat nanti.”

Selanjutnya, Syeikh Mustafa turut berpesan agar kita memberi perhatian sepenuh perhatian, dengan seluruh jiwa dan raga, ketika mendengar hadis sebagai tanda kita memuliakan pemilik kalam tersebut, yakni Rasulullah SAW. Syeikh Mustafa turut menekan kepentingan kita ‘menyimpan’ ilmu di dalam hati agar kita tidak terlalu bergantung kepada teknologi dan mudah untuk menyampaikan kepada yang lain.

Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi 


Syeikh Mustafa turut berkongsi kisah dimana orang yang mendengar hadis lebih faham daripada orang yang menyampaikan kepadanya. Nak tahu kisahnya? Dipersilakan menonton rakaman. Sediakan pen dan kertas untuk mencatat, kemudian sama-sama kita hafal, dan perdengarkan pula kepada yang lain, InsyaAllah. Sebelum mampu menghafalnya, kita boleh ‘sampaikan’ kepada yang lain dengan berkongsi pautan rakaman di atas dulu ;)










24 March 2014

Jemputan ke Malam Cinta Allah & Rasul Taman Medan Berselawat


Assalamualaikum

Semua lapisan masyarakat dijemput hadir ke majlis " Taman Medan Berselawat" bersama al Habib Ali Zaenal Abidin al Hamid.

Tarikh: 2 April 2014(Rabu)
Masa: 7.45pm
Tempat: Perkarangan Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan, Petaling Jaya

Nota: Digalakkan berpakaianputih (Muslimin) dan Hitam (Muslimat)

Mari share info ini untuk manfaat bersama :)

20 March 2014

Majlis Ta'lim 14 Mac 2014





Tafsir al Quran



Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi



Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali




Tausiyah Istimewa - Al Habib Abdurrahman AsSeggaf


Tausiyah Istimewa - Syeikh Abdul Qadir Al Baihani




Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada hari Jumaat, 14.03.2014 yang lalu bertambah berseri dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu Habib Abdul Rahman As-Seggaf dari Indonesia dan Syeikh Abdul Qadir Al-Baihani dari Hadhramaut, Yaman.



Guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid telah menyambung perbahasan tafsir Surah Ali Imran, ayat 142-144.  Pengajaran penting yang perlu kita ambil daripada ayat 142 ialah ujian yang diberikan Allah kepada kita adalah untuk menguji keimanan kita dan memberikan ganjaran syruga jika kita termasuk orang-orang yang bersabar menghadapinya. Al Habib menegaskan dengan membawakan pepatah bahasa kampung halamannya:

“Syurga lebih mahal daripada apa yang diimpikan manusia daripada hal-hal keduniaan. Untuk keduniaan, semua orang berlumba-lumba mencarinya, bersaing antara satu dengan yang lain, menghentam yang lain kerana tidak mahu disaingi, mengorbankan segala yang dimiliki – tenaganya, fikirannya, hartanya, waktunya. 
Tapi untuk akhirat, cuma berdoa, “Ya Allah, masukkan aku ke dalam syurga.” Doa saja, tapi tak nak berubah. Adakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga tanpa diuji Allah Ta'ala? Jangan mimpi di siang bolong!”



Al Habib turut meminta agar kita semua berdamai kepada Allah dengan berhenti melakukan maksiat dan bertaubat kepada-Nya. Berkemungkinan banyaknya musibah yang berlaku kepada kita kebelakangan ini adalah kerana dosa-dosa salah seorang daripada kita.

Pengajian diteruskan dengan bacaan bab ‘Keutamaan Sifat Qanaah dan Keburukan Orang Yang Suka Meminta-minta” daripada  kitab Riyadhus Solihin,  dari hadis 2 dan 3.

Antara iktibar yang perlu kita ambil ialah betapa cepatnya para sahabat dahulu menyahut seruan Nabi Muhammad SAW . Dalam kisah yang dibawakan, Hakim bin Hizam tidak pernah lagi meminta-minta atau menerima pemberian setelah mendengarkan sabda Rasulullah SAW bahawa tangan yang di atas lebih baik daripada yang di bawah, walaupun dalam menerima harta yang memang menjadi haknya.




Pengajian kitab Bidayatul Hidayah pula disambung pada halaman 162 – Adab Kepada Sahabat Karib. Dalam penerangannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mencari kawan yang berilmu kerana pepatah mengatakan - “Musuh berakal adalah lebih baik daripada sahabat yang bodoh.”

Habib Abdul Rahman As-Seggaf 


Seterusnya, tausiyah khas diberikan oleh kedua-dua tetamu istimewa. Habib Abdul Rahman As-Seggaf mengingatkan kita semua bahawa ketika ini, semua negara Islam sedang diberi peringatan oleh Allah SWT.  Oleh itu, kita semua perlu kembali kepada Allah dengan bertaubat dan juga bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ma’ruf nahi mungkar.

 Syeikh Abdul Qadir Al-Baihani

Manakala Syeikh Abdul Qadir Al-Baihani pula membawakan hadis Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan tanda-tanda hari kiamat. Untuk mengetahui hadis dan syarahannya beserta ilmu-ilmu lain yang telah dikongsikan, dipersilakan menonton rakaman di atas. Syeikh turut berpesan agar kita saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain, jadi dipersilakan kongsi dengan keluarga dan kenalan juga 

19 March 2014

Jemputan ke Tazkirah & Khutbah Jumaat - Masjid Jami'il Huda Kampung Melayu Ampang


Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi - Siapakah Tokoh Ilmuan ini?

Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi



Keturunan dan keluarga

Beliau dilahirkan di kampung Sanbakht, Aga, Mansurah Mesir pada 27 Ramadan 1374 Hijrah bersamaan 19 Mei 1955. Bapa beliau Syeikh  Said Badawi Ahmad Sulaiman merupakan salah seorang daripada ulama qiraat dan ilmu-ilmu yang lain di kampungnya. Syeikh Said Badawi juga merupakan syeikh tarikat al-Qahwajiah al-Syazuliah. Nasab keturunan beliau bersambung dengan Nabi Muhammad s.a.w melalui cucu baginda Saidina Husin.Syeikh Mustafa dilahirkan dalam keluarga yang sibuk dengan Al-Quran, ilmu,ibadah dan zikir. Meraikan para Qurra’ dan penuntut-penuntut ilmu dan menjadi khadam kepada setiap orang yang hadir ke rumah mereka.



 Syeikh Mustafa mempunyai 4 orang adik beradik lelaki dan beliau merupakan anak bongsu. Abang sulung beliau Syeikh Abdul  Malik telah mewarisi ayahnya berkhidmat untuk Al-Quran dan tarikat sofi mengikut manhaj Al-Quran dan al-sunnah sehingga beliau wafat pada bulan Oktober 1992. Abang beliau yang kedua Muhammad merupakan seorang jurutera. Beliau telah menyertai askar Mesir dan wafat dalam peperangan Tahrir pada Oktober  1973. Abang beliau yang ketiga Ahmad Mubarak juga merupakan khadam Al-quran dan ilmu suluk. Beliau bertugas sebagai pegawai di Institut Kebajikan Mansurah.

Pendidikan

Syeikh Mustafa telah mengahafal Al-Quran dan matan-matan ilmu sejak kecil lagi di bawah bimbingan bapa dan abang sulungnya. Antara matan-matan yang dihafal oleh beliau: Matan Jazariah dan tuhfatul Atfal (Ilmu Tajwid),  matan Ajurumiah, Alfiah Ibnu Malik dan Lamiatul Afa’l (Ilmu Nahu dan Sarf), Matan Jauharah (Ilmu Tauhid) matan Abi Syuja’ (Feqah) dan beberapa matan Qiraat.



Ketika remaja Syeikh Mustafa tela memasuki sekolah sains dan mempelajari pelbagai ilmu sains tulen seperti kimia, fizik dan lain-lain. Kemudian beliau telah melanjutkan pengajiannya di kuliah perubatan Universiti Al-Asriah dan telah mendapat keputusan cemerlang. Di samping itu beliau telah mendalami  kitab-kitab feqh syafie, tasawuf dan ilmu-ilmu lain di bawah bimbingan ayah dan abang sulungnya.

Universiti Darul Ulum Nadwatul Ulama’


Kecintaan beliau terhadap agama telah menyebabkan beliau tidak memilih kerjaya seorang doktor, sebaliknya terus mendalami ilmu agama sehinggalah Allah memberikan beliau peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Darul Ulum Nadwatul Ulama’. Di sini beliau telah memasuki kuliah Bahasa Arab dan mmperolehi keputusan cemerlang.

Syeikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi,
Guru kepada Syeikh Mustafa al Nadwi 


Kemudian, beliau telah mengambil jurusan Usuludin dan Dakwah dan mendapat keputusan yang cemerlang.  Setelah itu beliau telah mempelajari  dan menguasai seluruh ilmu di Ma’had A’li Li Dakwah wal Fikri sehingga menjadi anak murid kebanggaan Syeikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi. Beliau telah dicalonkan oleh Syeikh Al-Nadawi untuk  mengambil PHD di Darul Nadwah dan diberikan gelaran “Seorang yang mempunyai kealiman yang sempurana dalam Ilmu hadis”

Beliau telah diberikan ijazah dan sanad dalam pelbagai bidang ilmu oleh ulama-ulama besar Hindi, Pakistan dan Bangladesh seperti Maulana Al-kandahlawi, A’llamah Habibul Rahman Al-A’zomi, Syeikh Sodiq Ahmad Al-Nadawi dan lain-lain. Setelah itu Syeikh Al-Nadawi telah memberikan pengiktirafan kepada beliau dengan memakaikan serban kepunyaannya dan memberikan ijazah ilmu suluk dan tarbiah kepada beliau.

Beliau juga telah diberikan ijazah dan sanad dari ulama-ulama besar Al-Azhar, Ulama-ulama’ Maghribi, Syam, Hijaz, Indonesia, Malaysia dan lain-lain.


Tetamu di Majlis Ta'lim Darul Murtadza




InsyaAllah, Al Muhaddis Syeikh Mustafa al Nadwi dirancangkan untuk hadir bersama kita di Majlis Ta'lim Darul Murtadza Kuala Lumpur pada Jumaat ini, 21 Mac 2014. Marilah kita sama-sama berdoa agar perancangan ini dipermudahkan olehNya seterusnya memberikan manfaat yang tak terhingga kepada kita semua.

Mari sebarkan maklumat ini dan semoga usaha kecil kita ini mendapat pandangan rahmatNya - Amin



...

12 March 2014

Rakaman Maulid Bulanan Mac 2014


Rakaman Maulid Bulanan Darul Murtadza


)

Rakaman Tausiyah Al Habib Abdurrahman Ali Mahsyur bin Hafidz


)








Alhamdulillah, di samping kehadiran guru kita, Maulid Bulanan Majlis Ta'lim Darul Murtadza kali ini diserikan dengan kunjungan barisan tetamu istimewa iaitu Syeikh Mohamed bin Ibrahim Abdel Baes al-Husaini al-Kettany dari Mesir, Habib Abdurrahman Ali Mahsyur bin Hafidz dari Yaman,  Al-Habib Mahdi bin Abu Bakar Al-Hamid dan Ustaz Ashraf bin Osman, kedua-duanya dari Madrasah At-Tazkiyah.



Dalam tausiyahnya, Syeikh Mohamed bin Ibrahim Abdel Baes al-Husaini al-Kettany memberikan beberapa wasiat, khususnya kepada golongan muda yang dilihatnya ramai menghadirkan diri dalam majlis ilmu kita. Pesannya, kita hendaklah:


Meningkatkan kasih-sayang kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW, saling nasihat-menasihati dan menghiasi diri dengan akhlak Nabi Muhammad SAW. 

Dalam menerangkan kepentingan akhlak, beliau membawakan hadis Nabi Muhammad SAW yang berbunyi, “Sesungguhnya orang yang amat aku kasihi di antara kamu dan orang yang amat hampir dengan aku di antara kamu adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan orang yang paling aku benci di antara kamu dan orang yang paling jauh daripada aku di antara kamu adalah orang yang paling buruk akhlaknya.”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa dengan akhlak, seseorang itu boleh menjadi dekat dan dikasihi oleh Rasulullah SAW atau sebaliknya.

Hendaklah bersemangat mencari ilmu yang bermanfaat, berpegang kepada para ulama dan mengikhlaskan diri dalam mencari ilmu dan menjadikan ilmu itu sebagai tujuan dan memperkaya diri dengan ilmu. 

Dalam perbahasannya, beliau melarang kita daripada menuntut ilmu dengan tujuan untuk berdialog atau tujuan-tujuan lain yang tidak sepatutnya.

Ijitihad – berusaha lebih di dalam mengambil sebab untuk memperkaya diri anda dengan ilmu yakni dengan mempelajari bahasa Arab. 

Ini kerana Al-Quran nul Karim itu diturunkan dalam bahasa Arab dan ianya adalah wasilah untuk kita memahami ilmu dan rahsia Al-Quran.

Syeikh Mohamed turut menerangkan serba-sedikit tentang akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), dan menyelitkan kisah kemuliaan akhlak Rasulullah SAW yang dapat anda dengar sendiri dengan menonton rakaman video di atas.



Seterusnya, Habib Abdurrahman Ali Mahsyur bin Hafidz menyampaikan tausiyah ringkas. Antara pesanannya yang utama ialah agar kita mencatat ilmu yang diperolehi di atas kertas dan seumpamanya, kerana yang dicatat itulah yang akan kekal bersama kita. Beliau menegaskan dengan memetik kata-kata penyair,



“Ilmu itu adalah seperti buruan, dan menangkapnya adalah dengan mencatatnya. Maka, adalah tidak bijak bagi seorang yang menangkap buruannya, kemudian dilepaskan pergi begitu saja.”

Selain itu, beliau juga sempat menerangkan maksud nama majlis kita - ‘Al-Murtadza’. Jika anda berminat untuk mengetahuinya, jangan ketinggalan menonton video di atas dan pastikan anda buat catatan.

Jangan lupa kongsikan dengan yang keluarga, rakan dan teman untuk manfaat kita bersama.



...

Doa buat MH370 - Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid

)


Ya Allah, Limpahkanlah Selawat dan Salam Ke atas Junjungan baginda Muhammad dan Keluarga serta para sahabatnya.

Ya Allah, kami memohon keampunan dan keselamatan yang berterusan dalam urusan agama kami dan di dunia mahupun di akhirat...

Ya Allah berilah ganjaran baik kepada kami atas kesabaran kami terhadapmusibah yang menimpa dan gantikanlah ia dengan yang lebih baik daripada itu.

Ya Allah, berikanlah sebaik-baik ganjaran ke atas keluarga yang ditimpa musibah dari kalangan hambaMu wahai Tuhan sekalian alam...

Ya Allah, Rahmatilah orang yang telah meninggal dunia di kalangan kami.

Ya Allah, ampunilah dosa orang yang telah meninggal dunia di kalangan kami.

Ya Allah, tinggikanlah darjat orang yang telah meninggal dunia di kalangan kami.

Ya Allah, ampunilah dosa mereka, rahmatilah mereka dan kasihanilah mereka...

Hapuskanlah keburukan-keburukan mereka dan gantikannya dengan kebaikan dan kemuliaan serta kurniaanMu yang baik wahai Tuhan sekalian alam.

Dan Limpahkanlah Selawat dan salam ke atas Junjungan Muhammad, keluarga dan para sahabat serta segala puji bagiMu wahai Tuhan sekalian alam.


Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillahirabbilalamin wassalatuwassalamuala ashrafil mursalin sayyidina muhammadin waala alihi wa sahbihi ajmain.

Allah SWT berfirman:
“Kami Allah pasti akan menduga dan menguji kepada kamu semua dengan sedikit daripada perasaan takut dan lapar, kekurangan di dalam harta, nyawa dan buah-buahan. Berikan berita gembira kepada mereka orang-orang yang sabar, iaitu mereka yang bilamana di duga Allah SWT, mereka mengatakan, “Kita semua adalah milik Allah dan hanya kepada Allah kita akan kembali.”

Kejadian yang berlaku kepada MH370 adalah musibah yang berlaku khususnya kepada penumpang yang berada di dalamnya dan keluarga penumpang dan pada hakikatnya adalah musibah kepada kita semua yang kita perlu mengambil iktibar dengan ayat (di atas) Allah dan redha dengan ketentuan Allah SWT.

Saya mengajak kepada semua yang menyaksikan untuk bersama-sama menginsafi dan mengambil iktibar daripada kejadian ini.

Pertama: Kepada mereka yang berada di dalam kapal terbang, bilamana Allah menjaga dan belum dikembalikan atau diambil Allah SWT  – kita berdoa moga-moga Allah SWT menjaga di mana saja mereka berada untuk dikembalikan ke pangkuan ahli keluarga mereka.

Dan bilamana Allah SWT ingin mengambil mereka, kita berdoa juga kepada Allah SWT, moga-moga mereka itu diterima oleh Allah SWT dan mereka adalah diberi ganjaran oleh Allah SWT dan juga kita berdoa kepada Allah SWT  - ahli keluarga yang kehilangan orang-orang yang tersayang diberikan Allah kesabaran dan ketabahan dan redha menerima qada’ dan qadar ketentuan Allah SWT, yang itu adalah merupakan sikap kepada orang-orang yang beriman.

Dan saya menyeru kepada semua juga untuk bersama-sama berdoa - yang mampu untuk bermunajat dengan Allah di waktu malam, gunakan peluang itu untuk bermunajat, berdoa kepada Allah SWT agar supaya membantu.

Kepada pihak yang berkuasa, khususnya Kerajaan Malaysia, dan dibantu daripada beberapa negara yang membantu untuk mencari, agar Allah membantu kepada mereka mempertemukan nasib yang dialami oleh mereka yang berada di dalam MH370.

Bagi kita semua: berdoa kepada Allah dan mengambil iktibar. Adapun doa kita kepada Allah SWT adalah agar supaya Allah SWT menjadikan kita menjadi orang-orang yang menerima akan musibah yang menimpa.

Iktibar yang perlu kita ambil adalah:

“Tak seorang pun tahu apa rezeki yang dia akan dapat hari esok dan tak seorang pun tahu di mana dia akan meninggal dunia.”

Iktibar yang perlu kita ambil adalah – bersiap-sedia akan seruan Allah SWT kepada semua makhluk untuk kembali.

"Sebab boleh pelbagai tapi kematian adalah satu."

Kita berdoa kepada Allah SWT, dengan doa setulus hati kita, menadahkan tangan kepada Allah SWT agar supaya Allah SWT, bilamana mengkehendaki mereka kembali dengan selamat, moga-moga Allah SWT menjaga kepada mereka, di mana saja mereka berada, dibimbing, dipelihara, dan juga diberikan kawalan sebaik mungkin oleh Allah SWT kepada mereka.

Untuk ahli keluarga, semoga Allah SWT menganugerahkan kesabaran, ganjaran ketabahan dan juga redha di atas ketentuan qada’ dan qadar Allah SWT.

Kepada pihak berkuasa, semoga Allah SWT berikan ganjaran dan bantuan kepada mereka yang berusaha, bertungkus-lumus untuk menjumpai keadaan daripada mereka yang berada di dalam kapal terbang.

Dan kepada kita, moga-moga Allah SWT memberikan kepada kita pengajaran dan masing-masing mempunyai hubungan dengan Allah, berdoa kepada Allah SWT. Hazawabillahitaufik.

#kredit Transcribe dari keranakasihnabi.blogspot.com

10 March 2014

Jemputan ke Kuliah Magrib Pengajian Berkitab : Membicarakan Akhlak Terpuji Rasulullah s.a.w.




Kuliah maghrib berkitab bersama Al-Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid

Tarikh : 11/03/14
Hari : Selasa
Masa : Bermula dengan solat maghrib berjemaah
Lokasi : Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam*

Terbuka buat setiap lapisan masyarakat & mohon sebarkan !!!

Waze Link:
http://waze.to/hw281ws4z6

06 March 2014

Majlis Ta'lim 28 Feb 2014



Tafsir Quran




Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi




Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali





Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza telah berjalan lancar pada 28.02.2014 yang lalu. Guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid telah membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 137-140. Dalam perbahasannya, Al Habib telah mengingatkan jemaah bahawa:
Allah menciptakan alam dengan ‘Sunnah al-kaun’, yakni undang-undang alam atau ‘Cause and Effect’.

Misalnya: Tanah  yang subur, akan tumbuh jika ditanam, orang yang bekerja akan dapat rezeki, orang yang belajar dapat faham, dan lain-lain. Oleh itu, orang yang meninggalkan sebab – contohnya dengan tidak bekerja tapi mengharapkan rezeki adalah orang yang menyalahi sunnatul kaun.



Jika alam mempunyai sunatul kaun, begitu juga manusia - yang beriman akan mendapat kejayaan dan kemuliaan, yang kufur akan dihukum Allah SWT. Terdapat banyak kisah bala yang Allah turunkan kepada umat sebelum kita disebabkan kekufuran mereka dan kita diminta mengembara dan melihatnya. Orang yang beriman pergi mengembara bukan untuk melihat bentuk peninggalan fizikal sahaja, tetapi untuk merenung apakah iktibar yang boleh menambahkan imannya kepada Allah SWT.

Dalam perbahasan ayat-ayat seterusnya, Al Habib juga menerangkan tentang 3 jenis hidayah, hukum perbutan ‘at-Tamsil’ dan kedudukan orang syahid di sisi Allah. Untuk mengetahui huraiannya, dipersilakan menonton rakaman video di atas :)

Pengajian diteruskan dengan bacaan kitab Riyadhus Solihin dengan permulaan bab baharu: Keutamaan Sifat Qanaah dan ‘Asas, hadis 1-3 yang akan menekankan kepentingan 4 sifat berikut:

1. Qanaah – merasa cukup dengan apa yang ada
2. Menjaga kehormatan diri daripada meminta-minta
3. Bersederhana dalam memenuhi keperluan diri dan dalam berinfak
4. Kehinaan orang yang suka meminta-minta.

Dalam menerangkan kepentingan sifat-sifat ini, Al Habib memetik kata-kata Imam Al-Haddad:

“Yang Allah dah tentukan kepada orang lain, tak akan sampai kepada kamu. Yang sudah ditentukan Allah untuk kamu, pasti akan sampai kepada kamu. Apa yang kamu cita-citakan itu, sejauh mana, tetap akan berlaku apa yang sudah ditakdirkan oleh Allah SWT.”



Seterusnya, Al Habib menyambung perbahasan dalam Bab Adab Pergaulan Dengan Manusia dalam Kitab Bidayatul Hidayah, m/s 161. Kumpulan pertama yang dibincangkan ialah adab dengan orang tidak dikenali. Antara adab yang perlu kita jaga dengan golongan ini ialah:

- Tidak menyertai mereka dalam percakapan yang kosong
- Jangan mudah berkongsi hal peribadi sebelum mengenali sifat amanah mereka

Terdapat banyak lagi rahsia dan ilmu yang telah dikongsikan bersama. Untuk mendapatkan manfaatnya, sila tonton video rakaman di atas :)

Jangan lupa kongsikan dengan yang lain, kerana ingat-mengingati itu adalah sifat yang terpuji ;).











05 March 2014

Khas buat Muslimat: Jemputan ke Majlis Maulid Azzahra' Kuala Lumpur




Khas buat MUSLIMAT, semua dijemput hadir ke Majlis Maulid Azzahra' Kuala Lumpur:

Tarikh : 7 Jamadilawal 1435H bersamaan 09/03/14.
Hari : Ahad
Masa : Bermula jam 2:00pm
Lokasi : Masjid As-Syakirin KLCC
Link Waze: http://waze.to/hw283fwg2h


Jemput hadir & mohon sebarkan :)





















02 March 2014

Majlis Ta'lim 21 Feb 2014







Dalam pengajian Majlis Ta'lim darul Murtadza yang lepas (21.02.2014), Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid telah membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, dari ayat 129-136. Dalam perbahasannya, Al Habib telah mengingatkan jemaah bahawa orang yang beriman mempunyai sifat-sifat berikut:
5 sifat orang beriman:

Memberi sedekah ketika senang dan susah
Menahan marah
Membuang marah dengan memaafkan orang yang berbuat salah kepada kita
Berbuat ehsan kepada orang yang berbuat tak baik kepada kita
Bila berdosa, beristighfar dan bertaubat kepada Allah

Al Habib juga mengingatkan bahawa –
“Bukanlah orang yang kuat itu orang yang jaguh dalam bergusti, tetapi orang yang kuat ialah orang yang boleh menahan marahnya.”

Pengajian diteruskan dengan bacaan 4 hadis (518-511) daripada bab ‘Keutamaan Lapar dan Kesederhanaan Hidup’, dalam kitab Riyadhus Solihin. Hadis-hadis ini menceritakan kisah daripada perang yang berbeza tetapi keadaan Rasulullah SAW dan sahabat yang lapar dan keperihatinan sahabat dengan keadaan Rasulullah SAW itu. Memetik kata-kata Al Habib tentang kelebihan ahli Perang Khandak untuk kita jadikan teladan dan peringatan,

 “1000 orang itu (ahli Perang Khandaq) lapar semuanya… tak ada generasi yang lebih mulia daripada generasi yang hidup di zaman Rasulullah SAW – yang lapar itu… mulia, tapi diduga Allah dengan lapar, mulia tapi di duga dengan berbagai macam dugaan oleh Allah SWT. Siapa kita hendak menganggap kita mulia dan tak nak diduga oleh Allah?”

Habib juga menyambung pengajian dalam bab ‘Adab-adab Anak kepada Ibu Bapa’ daripada Kitab Bidayatul Hidayah. Kita diingatkan agar:

"Jangan berjalan atau tidak menghiraukan ketika ibu bapa bercakap, walaupun kita dimarah atau dibebel."

Atas sebab keterbatasan teknikal, kami dari pihak Majlis Ta'lim Darul Murtadza ingin meminta maaf atas kekurangan rakaman untuk kali ini. Namun, semoga usaha kecil ini sedikit sebanyak dapat memanfaatkan masa kita semua insyaAllah.

Jangan lupa kongsikan dengan yang lain untuk manfaat kita bersama.








Jemputan ke Majlis Malam Himpunan Bintang - Senawang Berselawat


Jemputan ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1435H - Surau al Mutawakkil Billah Putra Heights


Jemputan ke Ceramah Interaktif : "Cabaran & Dugaan Menuju Kebenaran"