18 February 2014

Majlis Ta'lim 14 Februari 2014



Tafsir Al Quran




Kitab Riyadhus Solihin : Imam Nawawi





Kitab Bidayatul Hidayah : Imam Ghazali





Alhamdulillah, disebalik hujan lebat membasahi bumi Setiawangsa pada malam 14.02.2014 yang lalu, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza telah berjalan dengan lancar. Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid memulakan pengajian dengan membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 123 hingga 128. Dalam perbahasannya, Al Habib telah mengingatkan jemaah bahawa:

“Segala kesuksesan, kemenangan, kejayaan itu adalah datangnya daripada Allah. Ini bukan hanya dalam Perang Badar saja, dalam apa saja urusan kita yang kita dapat - sukses dalam ‘exam’, dapat anugerah kerana sesuatu yang kita buat. 
Kalau dalam hal yang besar seperti Perang Badar itu datangnya daripada Allah, apatah lagi hal yang kecil-kecil ini. Jangan melihat diri kita hebat dengan apa saja pencapaian yang kita dapat, supaya kita tidak takbur, kerana pencapaian yang kita dapat datangnya juga daripada Allah.”

Pengajian diteruskan dengan bacaan hadis nombor 517, bab Bab Keutamaan Lapar dan Kesederhanaan Hidup dalam kitab Riyadhus Solihin. Pesan Al Habib sebagai pengajaran daripada hadis ini yang perlu kira renungkan bersama ialah:

“Kalau kamu benar-benar bertawakal kepada Allah SWT, kamu akan diberi rezeki macam mana Allah beri rezeki kepada seekor burung – keluar daripada sangkarnya dalam keadaan perut kosong, dan balik ke sangkar dalam keadaan kenyang.”

Dalam menghuraikan hadis ini, Al Habib juga menceritakan tentang ketinggian mahabbah seorang sahabat bernama Sayyidina Abu Ubaidah Al-Jarrah yang sanggup menyakiti diri sendiri demi menyelamatkan Baginda Rasulullah SAW yang cedera dalam Perang Uhud. Memetik kata-kata Al Habib, 

“Rasa sakit itu tidak dirasa bilamana yang dikasihi sakit. Ibu, kalau tengok anak sakit, walaupun ibu sakit, jadi tak sakit. Pasal apa? Kasih-sayang kepada anak itu. Macam itu juga para sahabat kepada Rasulullah SAW.”

Seterusnya, Al Habib menyambung pengajian dalam Bab “Adab-adab Seorang Murid” daripada Kitab Bidayatul Hidayah. Antara perkara yang telah diterangkan ialah hukum berdiri hormat kepada orang lain. Untuk mengetahui tentang hukum ini, atau kisah bagaimana Abu Ubaidah menyelamatkan Rasulullah SAW serta rahsia dan ilmu lain yang telah dikongsikan bersama, jangan ketinggalan untuk menonton rakaman video di atas :)

Jangan lupa kongsikan dengan yang lain untuk manfaat kita bersama.














No comments: