27 May 2014

Rakaman Maulid Mei 2014


Rakaman Bacaan Maulid Dhiya Ullami 




Ustaz Hasan Saifouridzal : Keberkahan Majlis 



Tausiyah :  Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid : Bulan Yang Di Muliakan 



Alhamdulillah, setinggi-tingi pujian kepada Allah Yang Maha Esa, yang dengan izin-Nya, Maulid Bulanan Majlis Ta'lim Darul Murtadza, di bawah pimpinan guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid, telah berlangsung dengan jayanya pada 02.05.2014 yang lalu.

Majlis diserikan dengan kehadiran rombongan dari Singapura, di ketuai Pemimpin Majelis Rasulullah ﷺ Singapura iaitu Al-Fadhil Ustaz Hasan Saiful Rizal. Beliau membuka tirai tausiyah dengan memberikan pesanan yang ringkas dan padat. Antaranya ialah beliau mengingatkan agar kita sama-sama  memperbaharui dan memperbanyakkan taubat, mengingati dan bersyukur kepada Allah kerana Allah telah menyampaikan kita di bulan Rejab yang mulia ini. Beliau juga mengajarkan agar kita istiqamah mengucapkan istighfar berikut (rujuk poster) sebanyak 70x setiap hari dalam bulan ini. Untuk tahu fadhilatnya, dipersilakan menonton rakaman video yang disertakan



Sebelum memulakan perbahasan sifat Rasulullah ﷺ untuk kali ini, guru kita, Al Habib Zaenal Abidin juga berpesan agar kita menteladani sifat ‘suka beristighfar’ baginda Rasulullah ﷺ dan meningkatkan amal ibadah agar kita termasuk orang-orang yag mengambil maafaat daripada keberkatan bulan Rejab ini.




Sifat Rasulullah ﷺ yang dibahaskan kali ini untuk dijadikan teladan kita semua ialah tawadhuk. Antara isi penting yang dibawakan oleh Al Habib adalah seperti berikut:


  • Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Saya, kalau nak makan, makan cara hamba sahaya, dan saya, kalau nak duduk, duduk cara hamba sahaya.” Rasulullah ﷺ menampakkan tawadhuknya dalam cara makan dan duduk apatah lagi dalam berinteraksi dengan kaum muslimin. Bahkan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah SWT juga disantuni dengan baik oleh baginda Rasulullah ﷺ.
  • Baginda Rasulullah ﷺ tidak pernah menisbahkan sebarang kejayaan dakwah kepada dirinya sendiri, walaupun baginda adalah paling berjaya dalam dakwahnya ke jalan Allah Ta'ala . Baginda dididik Allah SWT untuk tawadhuk walaupun namanya sudah masyhur sebelum jasadnya diciptakan lagi.
  • Kerana sifat tawadhuknya, baginda tak pernah merendahkan orang lain dan baginda sangat menjaga perasaan hati orang-orang  yang dipandang hina oleh masyarakat seperti golongan hamba dan orang miskin. 
  • Baginda suka menyampaikan hajat orang, mengangkat kesusahan dan mempermudahkan urusan orang lain kerana orang yang menyampaikan hajat orang lain, Allah akan menyampaikan hajatnya nanti di akhirat, orang yang mengangkat kesusahan orang lain di dunia, Allah akan mengangkat kesusahannya di akhirat dan orang yang memberi kemudahan kepada orang yang susah di dunia, maka akan dimudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Sayangnya, realiti hari ini, majoriti daripada kita lari daripada menunaikan hajat orang lain, dan suka mempersulitkan kepada orang lain. Mengapa kita melakukan sebaliknya daripada apa yang diajarkan Rasulullah ﷺ?
  • Antara orang yang akan mendapat syafaat baginda Nabi ﷺ di hari akhirat nanti ialah orang yang suka menolong orang lain ketika di dunia dan orang yang mengamalkan membaca doa selepas azan.
  • Jika kita tidak mampu membantu atau memberi kesenangan kepada orang lain, jaga diri kita – lidah dan anggota tubuh seluruhnya daripada menyakiti orang lain, tak kira dalam bentuk apa sekalipun sama ada tulisan, kata-kata atau perbuatan. Semua anggota tubuh badan kita adalah amanah yang akan menjadi saksi kepada segala perbuatan kita di akhirat nanti. Jadi, jangan biarkan mereka menjadi saksi yang buruk kepada perbuatan-perbuatan maksiat kita.
  • Kenalilah isteri-isteri dan anak-anak Baginda Rasulullah ﷺ kerana rumah tangga baginda adalah sebaik-baik teladan kepada isteri, anak-anak dan rumah tangga kita.

Tiada ganti teladan terbaik bagi kita selain daripada Rasulullah ﷺ kerana Rasulullah ﷺ dijadikan Allah SWT untuk membawa kebahagiaan kepada orang yang mahu mengikuti kepada baginda.

Al Habib banyak membawakan kisah-kisah yang berlaku yang menjadi bukti sifat tawadhuk baginda Rasulullah ﷺ. Antaranya ialah kisah: 

  • Rasulullah ﷺ sabar mendengar hajat wanita tua yang datang kepadanya, walaupun baginda perlu berdiri lama mendengarnya dalam kesibukan rutin harian baginda berdakwah.
  • Rasulullah ﷺ memberikan alas duduknya kepada seorang bukan Islam kerana  memuliakannya sebagai tetamu sedangkan baginda sendiri duduk di atas tanah.
  • Rasulullah ﷺ memberikan wangnya sebagai ganti kepada seorang hamba sahaya yang menangis ketakutan kerana kehilangan wang tuannya dan juga menemankan dia pulang kerana ketakutan dimarahi tuannya kerana pulang lewat.
  • jika baginda tidak sendiri tidak dapat membantu, baginda berusaha menjadi orang tengah dan mencarikan orang lain untuk membantu.

Seperti biasa, ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk pemahaman dan manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan dipersilakan berkongsi bersama yang lain. Semoga Allah bimbing kita untuk menteladani segala sifat baik daripada Rasulullah ﷺ. Amin.









23 May 2014

Jemputan ke Majlis Haul Ummul Mukminin - Yayasan al Jenderami



Assalamualaikum

Semua dijemput untuk menghadiri acara tahunan dari Yayasan Al Jenderami: Majlis Haul Ummul Mukminin - Sayyidatina Khadijah al Kubro:

Tarikh: 13 & 14 Jun 2014 (Jumaat dan Sabtu)
Tempat: Kompleks Yayasan Al Jenderami, Dengkil, Selangor
Waze Link: http://waze.to/hw2826u6fq


untuk maklumat lanjut sila ke website rasmi Yayasan al Jenderami:-

http://aljenderami.com.my/









21 May 2014

Jemputan ke Malam Belia Berselawat


Pengajian Akbar Kitab Hidayatus Salikin



Assalamualaikum

Muslimin dan Muslimat dijemput untuk ikut serta dalam Pengajian Akbar Kitab Hidayatus Salikin yang akan dipimpin oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki, yang merupakan Timbalan Syeikhul Maahad, Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Kedah.

Butiran pengajian adalah seperti berikut:

Tempat: Masjid Wilayah Persekutuan
Tarikh: 5-8 Jun 2014
(Sempena musim cuti persekolahan pertengahan tahun)
Waktu: 9.00 pagi hingga 9.30 malam
Bayaran penyertaan: RM150.00
(termasuk makan minum, penginapan dan pengangkutan)
Sila hubungi Cik Suriati/Tengku Khalidah untuk makluman persetujuan kehadiran.
Tel: 03- 614 21 614/ sms whatsapp: 013 -669 7992/019-319 8195


Majlis pengajian akan didahului oleh Seminar Syeikh Abdus Samad al-Falimbani dan Pemikirannya pada pagi hari pertama.

Mari kita hebahkan maklumat ini untuk manfaat bersama :)




...

12 May 2014

Majlis Ta'lim 25 April 2014




Tafsir al Quran




Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi



Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali






Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta'ala, satu lagi episod pengajian MTDM telah berjalan lancar di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 25.04.2014 yang lalu.

Al Habib menyambung perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 155-159. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:


  • Punca khilaf dan pelanggaran yang dilakukan manusia adalah kerana tipu daya syaitan. Namun begitu, syaitan tak punya kekuatan untuk memaksa manusia tetapi ia licik menggunakan kelemahan manusia dengan membisikan perasaan was-was. Oleh itu, setiap orang perlu mengetahui kelemahan diri sendiri dan memperbaikinya, agar pintu kelemahan itu tidak menjadi laluan syaitan untuk menjerumuskannya kepada kemungkaran Allah SWT.
  • Walaupun kaum Muslimin melakukan pelanggaran, Allah telah mengampunkan mereka kerana mereka ikhlas berjuang bersama Rasulullah ﷺ. Dua kali Allah sebut pengampunan kepada mereka, agar tiada antara kita yang menyalahkan mereka. Dosa mereka adalah kepada Allah, dan telahpun Allah ampunkan, jadi kita tiada hak untuk terus mencaci kepada mereka. 
  • Bila berlaku yang tidak dikehendaki, jangan banyak menggunakan “andai” kerana ia akan membuka pintu syaitan. Bila keluar dengan kereta dan pancit, jangan kata, “Andai tadi naik LRT.” Sebaliknya ucapkan: “Allah sudah mentakdirkan apa yang dikehendaki-Nya, maka itu yang akan terjadi.”
  • Kematian dan kehidupan bukan milik sesiapa, tapi milik mutlak Allah SWT. Keampunan dan rahmat Allah SWT kepada seseorang yang mati ketika berjihad atau ketika melakukan ketaatan kepada Allah adalah lebih bernilai daripada harta dunia yang dikumpulkan. 
  • Nabi ﷺ disuruh berlemah-lembut dan memohon kemaafaan kepada mereka yang melanggar arahan baginda semasa peperangan. Nabi ﷺ tak diizinkan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan sifat rahmat yang telah dilabel pada diri baginda. Inilah tarbiyaah rabbaniyyah yang perlu dijadikan teladan agar rohani terdidik untuk tidak punya sifat marah, dengki atau dendam.
  • Bermesyuratlah sebelum mengambil sesuatu keputusan kerana ada barakah di dalamnya. Mesyuarat tidak bermakna yang pandangan semua orang akan diterima, tetapi adalah untuk mendengar pandangan dan memutuskan yang terbaik. Setelah keputusan diambil, bertawakallah kepada Allah SWT. Walau apa pun kesan keputusan itu, orang yang bertawakal akan redha dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah demi mendapatkan kemuliaan kasih-sayang Allah.



Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 12 dan 13 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin.

Hadis-hadis ini mengingatkan kita supaya meminta hanya pada Allah, dan bukan pada makhluk, kecuali meminta hak dirinya yang ada pada pihak berkuasa. Dalam membahaskan hadis-hadis ini, Al Habib bercerita lanjut tentang perawi hadis yang merupakan pemuda-pemuda istimewa pada zaman Rasulullah ﷺ. Mereka ialah Sayyidina Abdullah ibnu Mas’ud, Sayyidina Samurah bin Jundub dan Sayyidina Rafi’ bin Khudai. Untuk mengetahui kisah-kisah menarik mereka, dipersilakan menonton rakaman video di atas.

Seterusnya, kongsikan kisah-kisah itu bersama yang lain, terutamannya anak-anak muda agar menjadi sumber inspirasi dan teladan kepada mereka.

Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan pada halaman 167 dengan menyenaraikan tiga golongan manusia iaitu:


  1. Orang yang seperti makanan asas, yakni yang sentiasa diperlukan.
  2. Orang yang seperti ubat, yakni yang diperlukan pada masa-masa tertentu, dan bukan pada setiap masa.
  3. Orang yang seperti penyakit yang perlu dijauhi, walaupun terkadang dipertemukan dengannya, maka seseorang perlu mengambil langkah bijak agar selamat daripadanya. 


Seterusnya, Al Habib membahaskan hak-hak dalam persahabatan. Dua daripadanya ialah:

1. Mendahulukan orang lain berbanding diri sendiri dalam perkara yang dibolehkan.
2. Ziarah-menziarahi.

Dalam penerangannya, Al Habib membacakan firman Allah SWT yang bermaksud, “Wajib mendapat kasih-sayang Aku kepada 2 orang yang saling kasih-mengasihi kerana Aku.”

Oleh itu, dalam persahabatan, jangan kita hanya melihat pada baiknya sahabat itu, atau keseronokan dan hiburan yang kita peroleh daripadanya, tetapi kaitkan dalam bersahabat itu dengan apa yang kita boleh dapat daripada Allah SWT agar persahabatan itu mempunyai nilai ibadah.

Sebelum menutup sesi pengajian kali ini, Al Habib mengingatkan bahawa ada pihak tertentu yang menggunakan namanya untuk berinteraksi di laman sosial seperti ‘Twitter’ dan ‘Facebook’. Oleh itu, sebagai panduan, saluran rasmi komunikasi Al Habib hanyalah seperti yang disenaraikan dalam poster berikut:



Ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan dipersilakan berkongsi bersama yang lain.




...















10 May 2014

Kuliah Magrib di Masjid al Ansar, Jalan Enggang Timur, Taman Keramat.






Assaalmualaikum

Semua dijemput hadir ke Kuliah Magrib bersama al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid seperti berikut:

Tarikh: 14 & 28 Mei 2014 (Rabu) (Minggu ke 2 dan ke 4 setiap bulan
Masa: Selepas Magrib
Tempat: di Masjid al Ansar, Jalan Enggang Timur, Taman Keramat.

Sama-sama kita azamkan untuk hadir dan hebahkan insyaAllah.

04 May 2014

UITM Shah Alam Berselawat 2014


Assalamualaikum

Semua dijemput hadir ke Majlis UITM Shah Alam Berselawat pada 7 Mei 2014, Rabu, 7.30Malam (solat Maghrib Berjemaah) di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, Shah Alam. Antara yang memeriahkan majlis adalah al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar al Hamid serta kumpulan Ahbabul Habib. 


Mari sebarkan untuk manfaat semua :)