Tafsiral Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali
Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada 18.04.2014 diteruskan di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid. Al Habib membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 153-154. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:
- Allah Ta'ala takkan memberi kemenangan kepada Islam apabila berlaku pelanggaran kepada Allah dan Rasul-Nya. Niat tidak menghalalkan cara. Jika kaum Muslimin menang dalam Perang Uhud, maka akan dikatakan kaum Muslimin boleh menang dengan pelanggaran kepada perintah Rasulullah ﷺ. Jadi, kekalahan yang berlaku menjadi bukti bahawa kemenangan hanya boleh berlaku dengan kebenaran. Islam tak mungkin tinggi dengan perkara yang batil.
- Jangan sedih jika keinginganan tak kesampaian atau apabila musibah menimpa kerana disebalik itu, ada sejuta rahsia kemenangan yang tersirat.
- Orang yang tak mahu mati akan tetapi didatangi kematian. Mereka lari daripadanya, tetapi kematian itu akan menunggu mereka di hadapan. Kematian tak bertempat untuk kita menjauhinya, sebaliknya ia sentiasa menunggu kita.
- Tidur merupakan nikmat daripada Allah SWT dan juga merupakan tentera Allah SWT yang memberi manfaat kepada mereka yang mendapatkannya.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 7-10 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin.
Hadis-hadis ini menekankan sifat al-Iffah, yakni supaya tidak meminta-minta daripada orang lain dan merasa cukup dengan rezeki yang telah diberikan oleh Allah SWT. Maka, menjaga air muka daripada meminta kepada orang lain adalah perkara yang diperintahkan agama kita agar kita tidak membiasakan diri meminta kepada orang secara terang-terangan ataupun secara sindiran. Jika ingin meminta, mintalah pada Allah Ta’ala, walaupun sekecil mana hal dan permintaan itu. Orang yang berdiri di hadapan pintu Allah, dia takkan pulang dengan tangan kosong.
Dalam perbahasannya, Al Habib berkongsi beberapa kisah, antaranya: Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah ﷺ “Apakah satu amalan yang jika dilakukan, Allah akan sayang kepada saya, dan manusia pun akan sayang kepada saya?” Jawab baginda, “Hiduplah kamu zuhud di dunia, maka Allah suka kepada kamu. Hiduplah kamu zuhud dengan apa yang dimiliki orang lain (yakni tak merasa ingin memiliki apa yang dimiliki orang lain), manusia pun akan sayang kepada kamu.”
Ada beberapa lagi kisah-kisah pengajaran yang dikongsikan oleh Al Habib, siapa tak tengok dan dengar sendiri, memang rugi!:) Seperti biasa, pautan rakaman video disertakan di atas.
Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan dengan membincangkan dua lagi sifat yang perlu ada dalam kita memilih sahabat, iaitu:- Jangan bersahabat dengan orang yang tamak dunia, kerana ‘penyakit’ tamaknya itu akan mudah menular kepada kita tanpa disedari dan jangan bersahabat dengan pendusta.
Al Habib turut berkongsi madah kata daripada Imam Al-Haddad yang berbunyi: “Barangsiapa duduk dengan orang yang baik, Allah akan tanamkan kecenderungan kepada orang itu untuk buat baik. Orang yang bersahabat dengan orang yang tidak baik, akan berpindah juga perangai tidak baiknya itu.”
Catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan kongsi-kongsikan bersama yang lain.