23 May 2014
Jemputan ke Majlis Haul Ummul Mukminin - Yayasan al Jenderami
Assalamualaikum
Semua dijemput untuk menghadiri acara tahunan dari Yayasan Al Jenderami: Majlis Haul Ummul Mukminin - Sayyidatina Khadijah al Kubro:
Tarikh: 13 & 14 Jun 2014 (Jumaat dan Sabtu)
Tempat: Kompleks Yayasan Al Jenderami, Dengkil, Selangor
Waze Link: http://waze.to/hw2826u6fq
untuk maklumat lanjut sila ke website rasmi Yayasan al Jenderami:-
http://aljenderami.com.my/
21 May 2014
Pengajian Akbar Kitab Hidayatus Salikin
Assalamualaikum
Muslimin dan Muslimat dijemput untuk ikut serta dalam Pengajian Akbar Kitab Hidayatus Salikin yang akan dipimpin oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki, yang merupakan Timbalan Syeikhul Maahad, Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Kedah.
Butiran pengajian adalah seperti berikut:
Tempat: Masjid Wilayah Persekutuan
Tarikh: 5-8 Jun 2014
(Sempena musim cuti persekolahan pertengahan tahun)
Waktu: 9.00 pagi hingga 9.30 malam
Bayaran penyertaan: RM150.00
(termasuk makan minum, penginapan dan pengangkutan)
Sila hubungi Cik Suriati/Tengku Khalidah untuk makluman persetujuan kehadiran.
Tel: 03- 614 21 614/ sms whatsapp: 013 -669 7992/019-319 8195
Majlis pengajian akan didahului oleh Seminar Syeikh Abdus Samad al-Falimbani dan Pemikirannya pada pagi hari pertama.
Mari kita hebahkan maklumat ini untuk manfaat bersama :)
...
12 May 2014
Majlis Ta'lim 25 April 2014
Tafsir al Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali
Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta'ala, satu lagi episod pengajian MTDM telah berjalan lancar di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 25.04.2014 yang lalu.
Al Habib menyambung perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 155-159. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:
- Punca khilaf dan pelanggaran yang dilakukan manusia adalah kerana tipu daya syaitan. Namun begitu, syaitan tak punya kekuatan untuk memaksa manusia tetapi ia licik menggunakan kelemahan manusia dengan membisikan perasaan was-was. Oleh itu, setiap orang perlu mengetahui kelemahan diri sendiri dan memperbaikinya, agar pintu kelemahan itu tidak menjadi laluan syaitan untuk menjerumuskannya kepada kemungkaran Allah SWT.
- Walaupun kaum Muslimin melakukan pelanggaran, Allah telah mengampunkan mereka kerana mereka ikhlas berjuang bersama Rasulullah ﷺ. Dua kali Allah sebut pengampunan kepada mereka, agar tiada antara kita yang menyalahkan mereka. Dosa mereka adalah kepada Allah, dan telahpun Allah ampunkan, jadi kita tiada hak untuk terus mencaci kepada mereka.
- Bila berlaku yang tidak dikehendaki, jangan banyak menggunakan “andai” kerana ia akan membuka pintu syaitan. Bila keluar dengan kereta dan pancit, jangan kata, “Andai tadi naik LRT.” Sebaliknya ucapkan: “Allah sudah mentakdirkan apa yang dikehendaki-Nya, maka itu yang akan terjadi.”
- Kematian dan kehidupan bukan milik sesiapa, tapi milik mutlak Allah SWT. Keampunan dan rahmat Allah SWT kepada seseorang yang mati ketika berjihad atau ketika melakukan ketaatan kepada Allah adalah lebih bernilai daripada harta dunia yang dikumpulkan.
- Nabi ﷺ disuruh berlemah-lembut dan memohon kemaafaan kepada mereka yang melanggar arahan baginda semasa peperangan. Nabi ﷺ tak diizinkan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan sifat rahmat yang telah dilabel pada diri baginda. Inilah tarbiyaah rabbaniyyah yang perlu dijadikan teladan agar rohani terdidik untuk tidak punya sifat marah, dengki atau dendam.
- Bermesyuratlah sebelum mengambil sesuatu keputusan kerana ada barakah di dalamnya. Mesyuarat tidak bermakna yang pandangan semua orang akan diterima, tetapi adalah untuk mendengar pandangan dan memutuskan yang terbaik. Setelah keputusan diambil, bertawakallah kepada Allah SWT. Walau apa pun kesan keputusan itu, orang yang bertawakal akan redha dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah demi mendapatkan kemuliaan kasih-sayang Allah.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 12 dan 13 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin.
Hadis-hadis ini mengingatkan kita supaya meminta hanya pada Allah, dan bukan pada makhluk, kecuali meminta hak dirinya yang ada pada pihak berkuasa. Dalam membahaskan hadis-hadis ini, Al Habib bercerita lanjut tentang perawi hadis yang merupakan pemuda-pemuda istimewa pada zaman Rasulullah ﷺ. Mereka ialah Sayyidina Abdullah ibnu Mas’ud, Sayyidina Samurah bin Jundub dan Sayyidina Rafi’ bin Khudai. Untuk mengetahui kisah-kisah menarik mereka, dipersilakan menonton rakaman video di atas.
Seterusnya, kongsikan kisah-kisah itu bersama yang lain, terutamannya anak-anak muda agar menjadi sumber inspirasi dan teladan kepada mereka.
Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan pada halaman 167 dengan menyenaraikan tiga golongan manusia iaitu:
- Orang yang seperti makanan asas, yakni yang sentiasa diperlukan.
- Orang yang seperti ubat, yakni yang diperlukan pada masa-masa tertentu, dan bukan pada setiap masa.
- Orang yang seperti penyakit yang perlu dijauhi, walaupun terkadang dipertemukan dengannya, maka seseorang perlu mengambil langkah bijak agar selamat daripadanya.
Seterusnya, Al Habib membahaskan hak-hak dalam persahabatan. Dua daripadanya ialah:
1. Mendahulukan orang lain berbanding diri sendiri dalam perkara yang dibolehkan.
2. Ziarah-menziarahi.
Dalam penerangannya, Al Habib membacakan firman Allah SWT yang bermaksud, “Wajib mendapat kasih-sayang Aku kepada 2 orang yang saling kasih-mengasihi kerana Aku.”
Oleh itu, dalam persahabatan, jangan kita hanya melihat pada baiknya sahabat itu, atau keseronokan dan hiburan yang kita peroleh daripadanya, tetapi kaitkan dalam bersahabat itu dengan apa yang kita boleh dapat daripada Allah SWT agar persahabatan itu mempunyai nilai ibadah.
Sebelum menutup sesi pengajian kali ini, Al Habib mengingatkan bahawa ada pihak tertentu yang menggunakan namanya untuk berinteraksi di laman sosial seperti ‘Twitter’ dan ‘Facebook’. Oleh itu, sebagai panduan, saluran rasmi komunikasi Al Habib hanyalah seperti yang disenaraikan dalam poster berikut:
Ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan dipersilakan berkongsi bersama yang lain.
...
10 May 2014
Kuliah Magrib di Masjid al Ansar, Jalan Enggang Timur, Taman Keramat.
Assaalmualaikum
Semua dijemput hadir ke Kuliah Magrib bersama al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid seperti berikut:
Tarikh: 14 & 28 Mei 2014 (Rabu) (Minggu ke 2 dan ke 4 setiap bulan
Masa: Selepas Magrib
Tempat: di Masjid al Ansar, Jalan Enggang Timur, Taman Keramat.
Sama-sama kita azamkan untuk hadir dan hebahkan insyaAllah.
04 May 2014
UITM Shah Alam Berselawat 2014
Assalamualaikum
Semua dijemput hadir ke Majlis UITM Shah Alam Berselawat pada 7 Mei 2014, Rabu, 7.30Malam (solat Maghrib Berjemaah) di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, Shah Alam. Antara yang memeriahkan majlis adalah al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar al Hamid serta kumpulan Ahbabul Habib.
Mari sebarkan untuk manfaat semua :)
27 April 2014
Majlis Ta'lim 18 April 2014
Tafsiral Quran
Kitab Riyadhus Solihin - Imam Nawawi
Kitab Bidayatul Hidayah - Imam Ghazali
Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta'lim Darul Murtadza pada 18.04.2014 diteruskan di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid. Al Habib membahaskan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 153-154. Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:
- Allah Ta'ala takkan memberi kemenangan kepada Islam apabila berlaku pelanggaran kepada Allah dan Rasul-Nya. Niat tidak menghalalkan cara. Jika kaum Muslimin menang dalam Perang Uhud, maka akan dikatakan kaum Muslimin boleh menang dengan pelanggaran kepada perintah Rasulullah ﷺ. Jadi, kekalahan yang berlaku menjadi bukti bahawa kemenangan hanya boleh berlaku dengan kebenaran. Islam tak mungkin tinggi dengan perkara yang batil.
- Jangan sedih jika keinginganan tak kesampaian atau apabila musibah menimpa kerana disebalik itu, ada sejuta rahsia kemenangan yang tersirat.
- Orang yang tak mahu mati akan tetapi didatangi kematian. Mereka lari daripadanya, tetapi kematian itu akan menunggu mereka di hadapan. Kematian tak bertempat untuk kita menjauhinya, sebaliknya ia sentiasa menunggu kita.
- Tidur merupakan nikmat daripada Allah SWT dan juga merupakan tentera Allah SWT yang memberi manfaat kepada mereka yang mendapatkannya.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 7-10 daripada bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’, kitab Riyadhus Solihin.
Hadis-hadis ini menekankan sifat al-Iffah, yakni supaya tidak meminta-minta daripada orang lain dan merasa cukup dengan rezeki yang telah diberikan oleh Allah SWT. Maka, menjaga air muka daripada meminta kepada orang lain adalah perkara yang diperintahkan agama kita agar kita tidak membiasakan diri meminta kepada orang secara terang-terangan ataupun secara sindiran. Jika ingin meminta, mintalah pada Allah Ta’ala, walaupun sekecil mana hal dan permintaan itu. Orang yang berdiri di hadapan pintu Allah, dia takkan pulang dengan tangan kosong.
Dalam perbahasannya, Al Habib berkongsi beberapa kisah, antaranya: Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah ﷺ “Apakah satu amalan yang jika dilakukan, Allah akan sayang kepada saya, dan manusia pun akan sayang kepada saya?” Jawab baginda, “Hiduplah kamu zuhud di dunia, maka Allah suka kepada kamu. Hiduplah kamu zuhud dengan apa yang dimiliki orang lain (yakni tak merasa ingin memiliki apa yang dimiliki orang lain), manusia pun akan sayang kepada kamu.”
Ada beberapa lagi kisah-kisah pengajaran yang dikongsikan oleh Al Habib, siapa tak tengok dan dengar sendiri, memang rugi!:) Seperti biasa, pautan rakaman video disertakan di atas.
Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan dengan membincangkan dua lagi sifat yang perlu ada dalam kita memilih sahabat, iaitu:- Jangan bersahabat dengan orang yang tamak dunia, kerana ‘penyakit’ tamaknya itu akan mudah menular kepada kita tanpa disedari dan jangan bersahabat dengan pendusta.
Al Habib turut berkongsi madah kata daripada Imam Al-Haddad yang berbunyi: “Barangsiapa duduk dengan orang yang baik, Allah akan tanamkan kecenderungan kepada orang itu untuk buat baik. Orang yang bersahabat dengan orang yang tidak baik, akan berpindah juga perangai tidak baiknya itu.”
Catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan kongsi-kongsikan bersama yang lain.
Subscribe to:
Posts (Atom)







