03 November 2013

Salam Maal Hijrah 1435 : Persediaan Menyambut Awal Tahun Hijrah 1435



"Didalam peredaran waktu dan putaran siang dan malam adalah tanda akan semakin hampirnya kehidupan ini kepada penghujungnya. Marilah kita berazam di tahun baru ini untuk berbekal dengan ketaatan di dunia yang tidak lama akan berakhir, demi menikmati alam yang tiada mempunyai akhiran"

Alhamdulillah sedar tidak sedar, kita telah memasuki tahun baru 1435 Hijrah. Sudahkah kita bersedia untuk berhadapan dengan tahun-tahun yang mendatang?

Seperti biasa, kita akan membacakan doa awal serta akhir tahun. Berikut adalah "Repost" info dari Blogpost kami yang lepas untuk manfaat semua: -

Doa Akhir Tahun 

Doa ini dibaca sebanyak 3 kali ketika akhir tahun baru Islam dan ia diamalkan selepas waktu Asar atau sebelum maghrib pada 29 atau 30 Dzulhijah.

Dengan doa ini kita memohon agar kita akan mengakhiri perjalanan tahun yang akan ditinggalkan ini dengan mendapatkan keampunan dari Allah S.W.T. atas perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh-Nya, dan apabila dalam tahun yang akan ditinggalkannya itu ada perbuatan-perbuatan yang diredhai oleh Allah S.W.T. yang kita kerjakan, maka mohonlah agar amal tersebut diterima oleh Allah S.W.T.

Sebaik-baiknya kita memulakan dan mengakhiri setiap doa kita dengan adab iaitu dengan puji-pujian kepada Allah S.W.T. serta selawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.




Maksud Doa Akhir Tahun:-

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Semoga Allah cucurkan Rahmat dan Sejahtera atas Junjungan Nabi Muhammad S.A.W. serta keluarga dan Sahabat-sahabat baginda sekalian

Ya Allah, Wahai Tuhan kami, perkara-perkara yang telah kami lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang engkau larang dalam tahun ini

Maka kami belum bertaubat darpadanya.

Padahal, Engkau tidak meredhai dan Engkau memang tidak lupakannya.

Dan Engkau berlembut tidak mengazabkan kami, malah memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami menceburkan diri melakukan maksiat itu.

Maka kami sekalian memohon keampunanMu

Ya Allah, ampunilah kami dan mana-mana perbuatan yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini.

Manakala amalan-amalan kami yang Engkau redhai dan yang telah Engkau janjikan ganjaran pahalanya,

Maka kami memohon diperkenankan akan perbuatan amal bakti yang telah kami lakukan itu

Dan janganlah Engkau menghampakan harapan kami

Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemurah


Doa Awal Tahun 


Doa ini dibaca sebanyak 3 kali ketika masuk tahun baru iaitu 1 Muharam. Boleh dilakukan selepas Maghrib atau pun sesudahnya. Dengan doa ini kita memohon kepada Allah S.W.T. agar di dalam tahun baru ini kita dapat meningkatkan amal kebajikan dan ketaqwaan kepadaNya.

Sebaik-baiknya kita memulakan dan mengakhiri setiap doa kita dengan adab iaitu dengan puji-pujian kepada Allah S.W.T. serta selawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.




Maksud Doa Awal Tahun:-

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Rahmat dan Sejahtera keatas Penghulu Kami Nabi Muhammad dan keatas keluarganya dan Sahabat-sahabat baginda sekalian.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang kekal selama-lamanya, sedia ada, tiada permulaan.

KelebihanMu Maha Besar dan kemurahanMu sangat-sangat diharapkan.

Tibalah sudah tahun baru, kami memohon kepadaMu agar terpelihara kami sekalian di dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat.

Juga daripada kuncu-kuncu syaitan dan bala tenteranya.

Dan Kami memohon daripadaMu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (Nafsu yang mendorong kepada kejahatan).

Kami memohon juga kepadaMu Ya Allah, akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepadaMu.

Ya Allah, Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Mulia,

Ya Allah yang sebaik-baik yang mengurniakan Rahmat.







***
Marilah kita bersama-sama kita "share" doa ini untuk amalan semua insyaAllah. 

Salam Maal Hijrah dari kami, Majlis Ta'lim Darul Murtadza :)

...

No comments: